Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Thursday, January 31, 2013

Sukarelawan Dicari - Program Pemberian Makanan Kepada Asnaf 2013

10:22 AM Posted by Lobam 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur  kepada Allah atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga. Selawat dan salam buat Sayyiduna Rasul tercinta.


Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ) mempelawa kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai sukarelawan bagi Program Pemberian Makanan Kepada Asnaf 2013. 

Maklumat lanjut, boleh hubungi nombor yang tertera.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya sedekah seseorang walau hanya sesuap, akan dikembang biakkan olehNya seperti gunung, maka bersedekahlah." (HR Bukhari Muslim)
Terima kasih.

Monday, January 28, 2013

Video Politik Tongong : Apa kata Afdlin

11:48 AM Posted by Lobam , 3 comments
Assalamulaikum.

Salam 1 Dunia. Alhamdulillah. syukur kepada Allah atas segala kurniaan nikmat. Selawat dan salam buat Rasulullah serta para sahabat baginda serta Ahli Bait yang tercinta.

Hari ini saya lari dari kebiasaan. Bukan berniat mahu bercerita politik tetapi sekadar MAHU AMBIL TAHU. 


Saya kira isu video POLITIK TONGONG ini antara isu yang hangat diperkatakan. Bukan fokus apa yang dicerita, tetapi ramai yang serkap jarang meneka-neka siapakah empunya wajah di sebalik topeng itu. Sekali imbas, pasti ramai penonton sudah dapat mengagak siapakah empunya diri yang berselindung. Tambahan beberapa hint yang disebut menguatkan keyakinan kepada penonton memang benar Afdiln Shauki dan Nabil punya angkara.

Ternyata isu ini telah mendapat perhatian daripada Afdlin Shauki sendiri. Masakan tidak, video ini telah membuatkan ramai yang menghentam dirinya. Malah kisah ini juga turut mengheret semua ahli Kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki, Nabil dan Harun Salim Bachik. Kebencian masyarakat jelas semakin memuncak apabila kumpulan Boboi di 'boo' semasa mereka mengadakan persembahan Maharaja Lawak Mega di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sabtu lalu, Afdlin Shauki bangkit mempertahankan diri bagi menangkis fitnah yang berputar di alam saiber. Berikut adalah petikan daripada laman Facebook Afdlin Shauki 
Assalammualaikum,
Malam ni saya terpanggil untuk menjawab Fitnah yg telah di buat ke atas saya dan rakan-rakan Boboi saya, Nabil dan abg Harun yg di katakan membuat video 'Politik Tongong' yg sedang hangat di perkatakan di internet ini.

NAUZUBILLAH. Mula-mula sekali pada awal tahun 2012 ya kami ada buat video Bangkang dari longkang (masih ada yg belum di keluarkan) dan video ini tujuannya adalah sebagai membalas video-video pembangkang yg menimbulkan isu-isu mengenai kerajaan. So video war ni bukan di mulakan oleh kami. Anyway, kami pun bersetuju untuk bersama rakan rakan lain membuat video itu hanya apabila di beri kepastian yg video itu adalah mengenai isu-isu berbangkit dan bukan personal attack kepada mana-mana individu.

Dalam video itu kami tak bertopeng pun. Jadi kenapa pulak tiba-tiba kami nak bertopeng sambil bagi hint besar yg saya ni fan liverpool dan baru balik Gaza kepada org untuk ingat yg individu di dalam video itu saya. tak masuk akal. Baik tak payah pakai topeng.

Kami sangat terkejut kerana walau pun kami ada kecenderungan kami dari segi politik, tapi saya adalah orang islam, dan saya faham ada perbatasan dalam kita melakukan sesuatu. Apa yg di buat di dalam video tongong itu melampaui batas islam dan kemanusiaan pasal menghina dgn cara yg sangat keji.

Pada saya biar org tak suka saya pasal saya ahli umno, tapi jgn sampai ada yg berdosa kerana memfitnah saya dan ahli boboi lain berada dlm video 'Politik Tongong' ni.

Ingin saya tekankan yg kami tidak sekali-kali akan mempersendakan ulamak-ulamak dan tok guru pasal saya hormati mereka, dan saya tak berminat dgn politik attack org! Pada saya politikkanlah isu-isu rakyat, jangan mengaibkan dan memfitnah jika kita tak ada bukti yang nyata.

Lebih-lebih lagi selepas saya pulang dari Gaza, diri saya sendiri dah langsung tak minat dgn politik dan sekarang ini hanya menumpukan fokus membetulkan diri dan Deen saya, serta membuat kerja-kerja kemanusiaan yg membantu Islam dan masyarakat.

In Sha Allah sekarang saya berusaha nak mencari keberkatan dari-Nya sahaja.

Saya tak peduli org tak suka saya, dan awak boleh caci saya, dan maki hamun saya tetapi ianya tidak akan mengubah kebenaran hakiki yg saya dan rakan-rakan Boboi tidak membuat video Politik Tongong itu.

Mintak maaf tapi kami tak buat lawak POLITIK TONGONG tu! Saya nak nasihat kan individu-individu di dalam video itu iaitu jika anda betul-betul percaya dgn apa yg awak lakukan dan buat, kenapa perlu bertopeng, sampai mendatangkan ftnah kepada org lain. Cukup sekadar memainkan isu dan janganlah menghina org sebegitu rupa.

SEKALI LAGI SAYA TEGASKAN, VIDEO 'POLITIK TONGONG' ITU BUKAN SAYA DAN NABIL ATAU ABG HARUN.

Dan ingatlah amaran daripada Allah SWT mengenai dosa melakukan fitnah sebagaimana firmannya yg berbunyi
"Dan fitnah itu lebih kejam daripada melakukan pembunuhan" - Surah Al-Baqarah, ayat 191.

Dan juga sila rujuk dalam surah An Nur, ayat 11-21. Ayat ini di turunkan adalah untuk menjelaskan situasi yg di hadapi oleh isteri SAW, yg mulia dan dari keturunan yg mulia ketikamana dia telah di fitnah dan di aibkan dgn seaib-aibnya sehinggalah Rasullulah SAW mengambil pendirian untuk berdiam diri dan berdoa serta menyerahkan urusan ini kepada Allah SWT.

Saya tak tertekan dgn situasi ni kerana saya tahu saya di pihak yg benar. Tapi saya tidak mahu saudara seislam saya berdosa dgn saya,nabil dan abg harun kerana banyak sangat dosa lain yg kita ada yg kita inginkan pengampunan dari Allah SWT, tak perlulah kita menokok-nambahnya lagi dgn perkara yg sangat sia-sia ini.

"Maka hanya bersabar itulah yg terbaik (bagiku) dan kepada Allah sahaja aku memohon pertolongannya terhadap apa yg kamu ceritakan" -Surah Yusuf. Ayat 18

"Hanya kepada Allah sahajalah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku. Dan aku mengetahui daripada Allah SWT apa yang kamu tidak ketahui" -Surah Yusuf. Ayat 86

Dan saya, Afdlin Shauki bin Aksan, dgn ini menyatakan dgn atas nama ALLAH SWT dgn berlafaz "WALLAHI, WATALLAHI, WABILLAHI" bahawasanya saya tidak terlibat samaada secara lansung atau tidak dgn video POLITIK TONGONG itu.

Wallahu a'lam wa ahkam. (Dan Allah maha lebih mengetahui dan maha lebih tepat keputusan-NYA)

Jazakumullah khairal Jazak.
Tepuk dada tanyalah selera. Pihak Afdlin telah mengeluarkan kenyataan, jadi terpulanglah kepada pembaca untuk menilainya.

Bagi anda yang belum sempat menonton, anda boleh menonton video tersebut di Episod 1 dan Episod 2.

Saturday, January 26, 2013

Peraduan Umrah Percuma Bersama Penulis Novel Popular

10:58 PM Posted by Lobam , 4 comments

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang berharga. Selawat dan salam juga buat Sayyiduna Rasul Tercinta. Bertemu lagi kita di dalam rahmat Ilahi.

Bagi peminat novel Sejarah Islam, nama Abdul Latip Talib pasti bukan asing lagi. Penulis yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Jelebu baru-baru ini telah berjaya mengangkat novel Sejarah Islam dan Pejuang Melayu ke tahap yang membanggakan. Beliau telah menjadi idola kepada penulis-penulis muda yang mahu memulakan langkah di dalam bidang penulisan. Pemilik nama panggilan Pak Latip ini pernah terbang merentasi benua semata-mata untuk menyampaikan dakwah dan memugar semangat penulis-penulis muda yang berada di luar negara.

Malah kesungguhan Pak Latip dapat dilihat dari usaha beliau yang sanggup berkelana ke serata dunia semata-mata mahu mencari fakta yang tepat mengenai ikon yang bakal ditulis. 

Bagi meraikan peminat-peminat Sejarah Islam, Pak Latip menganjurkan satu peraduan mudah untuk pembaca setia karya-karya penulisan beliau. Hadiahnya saaaaaangat lumayan. 
Pakej Umrah Percuma buat 3 pembaca bertuah
Wah. Sangat mengujakan. Cara penyertaannya juga mudah. Hanya Tuliskan Kesan Ke Atas Diri Saya Selepas Membaca Novel Sejarah Islam dan PM beliau di FB bersama sekeping gambar. Untuk makluman pembaca semua, ini adalah tahun kedua beliau menganjurkan peraduan seperti ini.

Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba. Inilah penyertaan saya yang dipetik dari laman Facebook beliau. Doakan kejayaan saya ya. Doa dari kalian sangat saya dambakan. Jom kita sertai bersama-sama.. 

PESERTA KE 14 

KESAN KE ATAS SEORANG GURU CEMERLANG SETELAH MEMBACA NOVEL SEJARAH ISLAM 




Assalamualaikum Tuan yang mulia.

Bersama ini saya sertakan penyertaan saya.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat dan ahli bait baginda. Syukur di kesempatan yang ada ini, saya diberi kekuatan untuk mencoretkan sedikit nukilan buat perkongsian kita bersama.

Alhamdulillah. Saya mula mengenali Pak Latip lewat karya beliau iaitu Tariq, Menang Ataupun Syahid. Karya Agung ini diperkenalkan kepada saya melaui adik ipar yang juga peminat karya-karya penulis tersohor ini. Di awal pembacaan, saya sudah tertarik dengan gaya bahasa yang santai serta info sejarah yang bukan digayakan dalam bentuk ceramah mahupun artikel. Plot perbualan nampak kemas serta gaya bicaranya tidaklah keterlaluan. Ibarat kata Dari Mata Jatuh Ke Hati, begitulah apa yang saya rasa. Bermula dengan menyelak beberapa halaman akhirnya tanpa sedari habis sebuah buku saya langsaikan.

Tiada kata secantik bahasa. Begitulah saya ibaratkan karya-karya hebat ini yang berjaya merubah atmosfera penerbitan novel sejarah tanah air. Jika dahulu novel sejarah pasti hanya dipandang sebelah mata. Tetapi dengan kelahiran novel sejarah karya sasterawan Abdul Latip Talib ini mampu menembusi pasaran remaja serta menambat hati orang dewasa. Tanpa kita sedar, terselit mutiara indah di balik lumpur yang menyelaputi cengkerang tiraman. Dalam lambakan novel picisan yang membawa kepada kelalaian, terselit juga khazanah negara yang perlu dijaga bagi memastikan sejarah Islam dan pahlawan negara diabadi dan diangkat selayaknya.

Pertemuan dengan Tariq, membuatkan episod kecintaan saya kepada novel-novel sejarah Islam semakin mekar membunga. Satu demi satu saya selami akhirnya membuatkan naluri saya terjentik. Ya inilah yang saya cari selama ini.


Jujur saya katakan, dahulu saya lebih gemar membaca karya-karya cinta, karya-karya perosak bahasa dan karya-karya picisan yang bersepah di pasaran. Tetapi sejak bertentang mata dengan karya agung ini, saya mula belajar mencintainya. Saya berkhalwat malah karya-karya hebat ini sentiasa menjadi peneman saya di ranjang. Sebelum mengakhiri diari seharian hidup saya, tidak lengkap kiranya jika tidak membaca barang seperenggan dua buat pemugar semangat dalam menempuhi hari esoknya.

Sudah pasti ketokohan serta kegagahan dan ketaatan para pejuang ini kepada Maha Pencipta membuatkan hati saya tersentuh. Masakan tidak, dalam sibuk menyiapkan diri demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi, ketaatan mereka kepada Tuhan tidak pernah surut. Malah semakin meluap-luap rasa cinta kepada Rasulullah serta kehambaan kepada Yang Maha Agung. Kerdilnya diri saya bila mengingatkan, yang saya hanya sekadar insan biasa. Lupa kepada Tuhan selepas berjaya. Angkuh dengan kehidupan yang sempurna. Sedangkan para sahabat dahulu hidup dalam kesusahan semata-mata ingin mengejar kehidupan sejahtera di syurga yang abadi. Masya-Allah zalimnya diri saya kepada Tuhan yang maha pencipta. Jauh benar iman saya jika mahu diukur dengan kekuatan dan kekentalan iman para sahabat.

Sebuah lagi judul yang benar-benar membuka lorong kejayaan saya ialah Karya HIJRAH. Karya itu benar-benar membantu saya dan dengannya juga memberi rezeki yang melimpah ruah kepada saya dengan izin Allah semestinya. Sudah pasti apabila tibanya Muharram membawa ke Rabi’ul Awal karya agung itu akan menajdi rujukan utama saya. Subhanallah, atas kurniaan rezeki yang datang dari pintu yang tidak disangka-sangka. Masakan tidak, saya berjaya membawa cerita yang lari dari kebiasaan. Yang kita tahu ketika kelahiran Sayyiduna Rasul, Abrahah bersama tenteranya menyerang Mekah. Padahal kisah mengapa Abrahah menyerang Kaabah jarang dibuka sirahnya. Dengan kelahiran khazanah HIJRAH, saya berjaya membawa kisah sisi Abrahah dan al-Qlisynya. Sudah pasti, ramai yang tersenyum girang kerana sirah kelahiran Rasul diceritakan dari sisi serangan Abrahah bersama tentera bergajahnya pula. Modal yang sikit tetapi pulangannya Tabarakallah. Hanya Allah sahaja yang mampu menilai betapa berharganya ilmu yang jarang didendang itu.

Disamping itu juga, karya agung ini menjadi sumber rujukan utama saya ketika sesi pengajaran dan pelajaran di sekolah. Sudah pasti dengan kepelbagaian sumber rujukan menjadikan sesi pembelajaran sangat berkesan. Kadang-kadang saya membuat dalam bentuk lakonan dan kadang-kadang dalam bentuk penceritaan. Harapan saya agar apa yang telah saya lakukan akan memberi kesan dalam fikiran anak-anak pelajar sekalian.

Tambahan pula, perpustakaan sekolah telah menyediakan beberapa set siri Sejarah Islam karangan Tuan Yang Mulia. Sudah pasti saya berbangga. Nampaknya siri yang dahulu hanya dipandang sepi kini menjadi juara antara buku yang kerap dipinjam pelajar. Lebih menggembirakan lagi bila Perbadanan Perpustakaan Awam Sungai Besar juga menyediakan buku-buku tulisan Tuan di sana. Wah nampak hebat. Impak fenomena Pak Latip telah menggegar dunia penulisan sejarah Islam di Malaysia mengalahkan fenomena Gangnam Style yang meletup seketika dan terus sepi selamanya.

Kehebataan Saidina Rasul dalam mendidik para sahabat baginda juga membuka ruang untuk saya meneroka TEKNIK MENDORONG CARA NABI seperti yang diperkenalkan oleh Puan Ainon yang mulia. Jujur saya katakan, karya-karya agung inilah yang mendorong saya untuk mengikuti kursus batch pertama di De Palma tahun lalu. Alhamdulillah ternyatalah bahawa Sayyiduna Rasul adalah merupakan qudwah hasanah dan apa yang dibawa adalah benar belaka.

Dengan menggunakan TEKNIK MENDORONG CARA NABI perlahan-lahan saya aplikasikan kepada anak-anak saya. Ya saya yakin apa yang dibawa oleh Sayyiduna Rasul adalah benar. Insya-Allah pasti kejayaan akan mengiringi anak-anak saya kelak. Bagaimana semua ini bermula? Sudah tentu, tenaga yang tertanam ini berjaya saya cungkil hasil dorongan daripada karya-karya agung sentuhan emas daripada Pak Latip yang mulia.

Ya benar, karya-karya agung inilah yang telah merubah kehidupan saya. Saya sangat bersyukur kepada Allah atas kurniaan seorang insan yang mulia. Bertungkus-lumus membanting tenaga demi memastikan sirah Rasulullah dan para sahabat diangkat ke tempat selayaknya. Biarpun pernah dipalit derita dengan fitnah beliau bersekongkol dengan syiah, tetapi hanya Allah yang mampu menilai dimana selayaknya dia. Semoga Tuan Yang Mulia juga Tokoh Maulidur Rasul Daerah Jelebu akan terus tsabat dalam arena dakwah penulisan dalam memandaikan bangsa di era millennium ini. Saya mendoakan agar kudrat tuan sentiasa muda dalam menegakkan syiar islam ke mata dunia.

Salam sayang daripada hamba yang hina

Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
Guru Bimbingan & Kaunseling
SAM Sungai Haji Dorani
Sungai Besar, Selangor


Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia

5:56 PM Posted by Lobam , 6 comments
Assalamualikum.

Alhamdulillah, syukur atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Mulia serta para sahabat tercinta.


Alhamdulillah hari ini saya diberi kesempatan untuk bersama dalam satu majlis mega yang melibatkan sektor perguruan terutamanya guru-guru di zon tengah. Program yang saya maksudkan ialah Himpunan Guru Muda 1Malaysia bersama Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin.

Program yang diadakan di SMK Sungai Besar ini berjaya menghimpunkan sekitar 2000 orang guru dari Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian Perak. Secara amnya Guru Muda 1Malaysia (GM1M) yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana menteri, bakal menjadi pemangkin kepada guru muda dalam membantu melonjakkan transformasi pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, melalui GM1M, para pendidik akan turut sama memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat tersebut. Selain itu, katanya, para pendidik muda ini juga akan menjadi pemangkin sekaligus dapat memberikan sumbangan kepada program transformasi negara.
"GM1M turut bertujuan mengukuhkan lagi profesion perguruan di negara ini di samping memberi tumpuan utama untuk membina negara bangsa dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. 
 "Idea GM1M adalah ilham Timbalan Perdana Menteri dan tercetus daripada hasrat beliau untuk mengumpulkan guru muda di Kementerian Pelajaran sekali gus membantu negara menjayakan program transformasi.
"Sesungguhnya para pendidik di negara ini memainkan peranan penting dalam membantu negara merealisasikan hasrat tersebut," katanya.
Untuk program ini saya bertugas di booth Sektor Psikologi & Kaunseling Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Antara tarikan yang ada di booth ini ialah Pemeriksaan kesihatan Secara Percuma menggunakan alat elektrostatik dan Mengatasi Fobia Bermain Dengan Ular. Para pengunjung juga boleh membuat Ujian Saringan Minda Sihat bagi mengukur tahap kesihatan minda seseorang. Semua instrumen ini dikendalikan oleh Kaunselor yang bertauliah serta bepengalaman.

Pada hari ini juga YAB Timbalan Perdana Menteri berbesar hati merasmikan Buletin SPsK Jabatan Pelajaran Negeri Selangor edisi pertama.

Saat ketibaan YAB TPM

Merasmikan Buletin SPsK edisi pertama


Ketua Sektor menerangkan sesuatu

Bukti TPM hadir ke booth kami

Ular kacukan. Albino + Sawa Batik. Harganya RM7500.00

Terima kasih

Peserta menguji keberanian mereka

Pemeriksaan kesihatan

Tim yang bertugas hari ini.

Wednesday, January 23, 2013

Tutorial Membalas Email Google Secara Automatik

11:34 AM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Salam Rabiul Awal buat semua pembaca Kisah Seorang Lobam yang budiman. Selawat serta salam buat Rasul Junjungan Tercinta Nabi Muhammad s.a.w

Beberapa hari lalu saya ada membuat tutorial Membalas Email Yahoo Secara Automatik. Hari ini kita beralih ke Gmail pula

1. Sila sign in ke Gmail dahulu. Kemudian klik pada butang di bahagian atas sebelah kanan.


 2. Pilih Setting.



3. Anda akan dibawa ke paparan seperti berikut.


4. Klik di bahagian bawah sekali dan anda akan terjumpa paparan seperti di bawah. Check pada Vacation Responder On pilih First Day dan masukkan Subjek. Kemudian masukkan mesej anda. Akhir sekali jangan lupa klik Save Changes.

Selamat mencuba dan semoga berjaya. Oh ya. Jangan lupa perbanyakkan selawat buat Rasul Tercinta. Sollu Ala Nabi.

Monday, January 21, 2013

Tutorial Membalas Email Yahoo Secara Automatik

3:04 PM Posted by Lobam , 8 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah berjumpa lagi kita di hari pertama minggu ke 4 bulan pertama tahun 2013. Syukur ke hadrat Allah atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi. Mudah-mudahan perasaan syukur akan terus mekar di hati.

Hari ini saya ingin berkongsi sesuatu dengan para pembaca yang budiman. Lazimnya sewaktu kita menghantar email kepada seseorang, pasti kita tertanya-tanya adakah email yang dihantar itu sudah diterima atau sebaliknya. Tambahan pula jika email itu mengandungi perkara yang penting. Pasti hati menjadi gundah gulana kerana email yang dihantar itu masih belum menerima balasan. Jadi apa kata hari ini kita mulakan sesuatu yang baru. Kita bantu sahabat-sahabat yang menghantar email, menyatakan bahawa email mereka sudah kita terima.

Saya kira semua pelayar internet pasti memiliki email. Tambahan pula jika mempunyai akaun di Facebook. Email merupakan sesuatu perkara wajib ada. Ada pelbagai jenis penyedia email. Hari ini saya ingin tumpukan hanya kepada pengguna email Yahoo.

1. Buka email anda dan klik SETTING yang terletak di bahagian atas sebelah kanan.


2. Klik MAIL OPTION


3. Klik VACATION RESPONSE dan ikut arahan seperti di dalam gambar


4. Contoh email yang diterima.


Selamat mencuba dan semoga berjaya.

Perkongsian daripada rakan blogger daripada Indonesia - Naufal

Sunday, January 20, 2013

Meningkatkan Pagerank Melalui Kaedah MLM

12:15 AM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Saya terjumpa artikel ini melalui seorang blogger daripada Indonesia. Caranya agak unik. Saya kira tak salah untuk kita cuba. Artikel ini saya sudah ubah suai menggunakan Bahasa Melayu.


Artikelnya bermula dari :

Cara meningkatkan PageRank dan speed " traffic blog ", hanya diperuntukkan bagi anda yang menginginkan page Rank tinggi dan trafik blog yang sangat banyak dengan cara segera. Cara meningkatkan page rank dengan cepat atau traffic blog speed adalah dengan cara penyebaran link menggunakan sistem Multi Level Marketing? heheh,,, kedengaran aneh tapi berkesan.. Tidak percaya? buktikan aja Tips ini.." Cara Meningkatkan Traffik " atau bahasa lainnya Teknik SEO

Kali ini saya mahu mengajak anda semua untuk memanfaatkan kedahsyatan dan kecepatan penyebaran ini dalam bentuk Backlink Percuma.


Cara Meningkatkan PageRank dan Traffic Blog dengan cepat ternyata cukup mudah. Yang perlu anda lakukan adalah meletakkan link-link berikut ini di blog atau artikel dengan cara Copy Paste KESELURUHAN artikel ini ke BLOG ANDA.


  1. Kisah Seorang Lobam
  2. Tips Minum Air Dan Cara Mengeluarkan Kalori Tanpa Bersenam
  3. download software gratis
  4. Cheat Ninja Saga
  5. Free Download Game
  6. Cara Membuat Blog
  7. Bisnis Investasi Terbaik
  8. Bisnis Internet
  9. Artikel Gratis
  10. Intuisiblog
  11. SEOjaguars
  12. Iklan baris
  13. Ki Dukun
  14. Blogobusiness
  15. Rosandika
  16. Brojomusti
  17. Zona Tutorial Blog
  18. Zona Review Blog
  19. Zona Tutorial Bisnis
  20. Ilmu
  21. Sang Pengawas
  22. Gendhogo Al-Ikhlas
  23. Gema Hati
  24. Blogger Indonesia
  25. SEO macan
  26. Pakde SEO 
  27. Hunter X Hunter Subtitle Indonesia
  28. google
  29. Facebook
  30. Naruto Shippuden Subtitle Indonesia
  31. Tema E63 E71 Full Icon
  32. Games 320x240
Caranya, anda perlu meletakkan LINK BLOG ANDA beserta teks PADA NOMBOR 1 seperti susunan diatas. ( Pastikan agar link blog tidak hilang ) 

Kemudian PADAMKAN nombor 33 dari senarai ( maskima hanya 32 link sahaja ) sehingga semua peserta naik 1 level. Yang berada di nombor 1 jatuh kepada nombor 2, nombor 2 jadi nombor 3 dan seterusnya. 

Jika tiap peserta mampu mengajak 5 orang saja, maka jumlah backlink yang akan didapat adalah

Ketika posisi blog anda 1, jumlah backlink = 1
Posisi 2, jumlah backlink = 5
Posisi 3, jumlah backlink = 25
Posisi 4, jumlah backlink = 125
Posisi 5, jumlah backlink = 625
Posisi 6, jumlah backlink = 3,125
Posisi 7, jumlah backlink = 15,625
Posisi 8, jumlah backlink = 78,125
Posisi 9, jumlah backlink = 390,625
Posisi 10, jumlah backlink = 1,953,125

Jika anda memasang sehingga posisi 10 saja, dan semuanya menggunakan kata kunci (anchor text) yang anda inginkan. Dari sisi SEO, anda sudah mendapatkan 1,953,125 backlink dan efeknya sangat luar biasa, jika pengunjung web para downline anda mengklik link itu, automatik blog anda akan mendapat tambahan trafik.

Nah, silakan Copy Paste artikel Cara Cepat Meningkatkan Page Rank Dan Traffic Blog, dan padamkan peserta nombor 33 lalu tambahkan link blog / website anda di posisi 1. Ingat, anda harus mulai dari posisi 1 agar hasilnya maksima . Jom apa tunggu lagi. Salin KESELURUHAN ARTIKEL dan tampal di blog anda.

Saturday, January 19, 2013

Tips Minum Air & 10 Cara Pengeluaran Kalori Tanpa Bersenam

1:22 PM Posted by Lobam 7 comments
Assalamulaikum.

Syukur ke hadrat Allah atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta pada hari sabtu yang berbahagia ini. Mudah-mudahan kita sentiasa beroleh rahmat dan kekal di bawah lindungan dan kasih sayang Allah sentiasa.


Setelah lama tidak menerjah 'GYM' semalam saya kembali melangkah ke Gimnasium Rakyat Sabak Bernam. Ditambah dengan program senaman bersama rakan Kelab Nutrisi Cergas Seeheart di Stadium Sungai Besar pagi tadi.


Bagi saya untuk mendapatkan berat badan yang ideal, selain mengawal pemakanan senaman juga perlu dilakukan. Tipulah jika ada yang mengatakan untuk kurus tidak perlu kurangkan makan. Ya Kurang Makan memang tidak perlu tetapi kuantiti makanan itu yang perlu dijaga.

Kita ambil contoh, jika sebelum ini kita makan tiga kali sehari, teruskan dan jangan disekat. Cuma jika kita makan nasi 3 senduk apa kata kita CUBA kurangkan menjadi 1 setengah senduk. Untuk mendapatkan berat ideal, KITA PERLU BERKORBAN. Alhamdulillah, sehingga hari ini saya berjaya mengurangkan 12 kg.


Air juga menjadi agen utama dalam sesi penurunan berat badan. Jika kita menjaga pemakanan tetapi tidak mendapatkan air masak secukupnya pasti apa yang kita lakukan kurang berkesan. Sifirnya mudah. 25kg = 1 liter air. Jika berat badan kita mencecah 100 kg bermakna kita pelu mengambil sekurang-kurangnya 4 liter air sehari. Saya teruja bila mendapat tahu ada sahabat yang minum sehingga 10 liter sehari. Wow. Hebat.

Mesti ada yang merasakan sukarnya untuk minum air. Ingin saya kongsikan cara yang lebih mudah.

Sehari kita menunaikan 5 waktu solat. Apa kata setiap kali mahu bersolat kita sediakan sebotol air masak 500 ml. Minum separuh sebelum solat dan separuh lagi selepas solat. Jika kita amalkan, bermakna kita telah minum 2.5 liter air masak sehari. Tambahkan 500 ml lagi ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Nah. Jumlahnya 4 liter. Mudah kan? Jadi saya kira tiada alasan untuk kita tidak minum air masak. AWAS! Kurangkan pengambilan air manis.

Untuk memastikan badan kekal sihat dan cantik, pastikan kita mengamalkan Defisit Kalori. Defisit kalori bermaksud pengambilan kalori tidak melebihi had maksimum. Cara untuk membakar kalori yang berlebihan adalah melalui senaman. Walau bagaimanapun, masih ada cara yang efisyen untuk membakar kalori tanpa bersenam.

Kevin Zahri berkongsi tips Membakar Kalori Tanpa Bersenam.



  1. Naik tangga setiap larian tangga boleh membakar sebanyak 5 kalori. Walaupun hanya 5 kalori, lebih baik daripada tiada langsung.
  2. Letakkan kenderaan anda jauh memaksa anda lebih berjalan. Pada dasarnya, berjalan di mana sahaja dan pada bila masa yang boleh.
  3. Makan dengan lebih kerap. Dengan makan lebih kerap, sememangnya amalan yang patut dilakukan, badan anda akan selalu mencerna makanan dan menjadi lebih aktif.
  4. Makan makanan pedas. Ini memanaskan badan anda, menyebabkan ia membakar kalori lebih banyak lagi.
  5. Hubungan kelamin (seks) adalah senaman yang baik dan dapat membakar banyak kalori.
  6. Sexercise? Tahukah anda bahawa 30min hubungan kelamin (seks) dapat bakar 100 kalori atau lebih?
  7. Ketawa. Boleh mengurangkan stres dan juga membakar kalori.
  8. Kopi dan suplemen metabolisme lain dapat menolong menambahkan pengeluaran kalori.
  9. Bermain dengan anak-anak anda. Bukan sahaja dapat merapatkan hubungan keluarga tetapi senaman yang bagus juga.
  10. Jalan-jalan di pusat membeli belah juga bagus. Lebih anda berjalan, lebih banyak kalori dibakar.
  11. Melakukan kerja rumah. Cuci rumah, basuh baju dan lain-lain kerja rumah adalah salah satu cara bersenam juga.

Tips yang dipaparkan ini adalah melalui pengalaman saya sendiri serta diambil dari Kevin Zahri seorang jurulatih peribadi yang berpengalaman selama lebih 10 tahun.

Friday, January 18, 2013

Cendol Atok Yang Mengujakan

12:22 AM Posted by Lobam , , 2 comments
Assalamualaikum.

Syukur Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Mulia, keluarga Baginda serta para sahabat dan ulamak yang meneruskan legasi perjuangan Baginda Rasul.

Alhamdulillah bertemu lagi kita di entri ini. Jutaan terima kasih saya layangkan kepada pembaca blog Kisah Seorang Lobam yang masih setia membaca biarpun tiada apa yang istimewa. Sekadar hanya bercerita tentang seputar Kisah Kehidupan Seorang Lobam.



Hari ini saya rasa sangat bertuah kerana saya telah terpilih dalam Projek 10 Blogger anjuran Blogger Eyriqazz. Insya-Allah selepas ini bermulalah kehidupan saya sebagai penulis jemputan di halaman sebelah sana. Biarpun hanya dalam tempoh percubaan tetapi siapa yang tidak rasa gembira bila dapat berkerjasama dengan blogger yang mencapai 3000 UV sehari.

Para pembaca yang budiman. Jika anda melalui Lebuhraya Klang - Teluk Intan melalui jalan Kuala Selangor - Tanjung Karang - Sekinchan - Sungai Besar pasti anda dapat menjamu pandangan dengan melihat hamparan sawah padi yang cukup indah di sepanjang perjalanan. Pemandangan indah itu pasti mampu mencuci daki-daki debu kota yang melingkari kehidupan saban hari. Hasilnya ketenangan pasti singgah di sanubari menghalau kekusutan yang dialami.

Malah setiap tempat juga ada jenama mereka sendiri. Terutamanya makanan. Jika lalu di Kuala Selangor, jangan lupa untuk merasai kelazatan Cendol Durian Borhan. Jika berada di Sekinchan pula Mentarang Lazat Sekinchan sedia menanti. Oh ya. Alang-alang sudah sampai di Sekinchan, jangan lupa untuk singgah membeli buah-buahan segar di sepanjang perjalanan. Jika anda meneruskan perjalanan menghala ke Sabak Bernam, pasti anda akan tiba di satu kawasan yang dinamakan Kampung Sungai Limau. Di situlah letaknya sebuah warung Cendol yang agak terkenal di kawasan itu iaitu Cendol Atok. Warung yang terletak bersebelahan jalan besar akan berada di sebelah kiri anda jika menghala ke arah Sabak Bernam.



Warung ini dimiliki oleh sepasang suami isteri. Suaminya agak uzur dan hanya berkerusi roda. Mungkin itulah ATOK yang dimaksudkan. Walaupun namanya Cendol Atok, tetapi nampaknya Opah yang banyak menguruskan perjalanan warung. Warung ini juga menyediakan pelbagai variasi cendol dengan harga yang sangat berpatutan. Malah mangkuknya juga lebih besar dari warung cendol yang lain.


Para pengunjung boleh mencuba pelbagai perasa cendol. Untuk saya sudah pasti Cendol Durian menjadi pilihan. Santannya yang berlemak serta kemanisan gula melaka pasti menjentik deria rasa anda. Terasa segar di kerongkong saat cendol berlari-lari masuk menuju ke perut. Kemanisan gulanya seakan melompat-lompat minta ditelan. Wah. Sungguh menyenangkan Selain cendol, warung ini juga menyediakan 2 menu makanan iaitu Rojak dan Laksa. Bagi penggemar rojak dan laksa jangan lepaskan peluang untuk mencuba kedua-dua makanan ini. Bagi saya, rojaknya sangat segar ( tidak lembik ) dan kuah kacangnya pula cukup dari segi rasa. Begitu juga dengan laksa. Kuahnya pekat dan lazat pasti anda akan menghirup sehingga ke titisan yang terakhir.

Cendol Durian + Pulut

Rojak yang lazat


Jadi kepada pengguna Lebuhraya Teluk Intan - Klang, jangan lupa singgah di Warung Cendol Atok yang terletak di Kampung Sungai Limau. Warung dibuka setiap hari. Jom.


Terima kasih.

Thursday, January 17, 2013

iPad? Baru Dapat Sentuh? Kasihannya ...

12:44 AM Posted by Lobam , 1 comment
Assalamualaikum.

Segala puji dan puja buat Allah, Malik sekalian alam dan selawat serta salam buat Rasul junjungan tercinta. Syukur kepada Allah atas kurniaan kehidupan yang diberi sehingga saat ini.

Beberapa hari ini saya terlalu asyik mendengar Qasidah Ya Hanana. Mungkin ketibaan 12 Rabi'ul Awal yang sentiasa dinanti membuatkan hati membuak-buak ingin melunaskan rindu kepadanya. Semoga Allah memberi peluang untuk saya dan kita semua menatap kekasih tercinta di dalam syurga nanti.

Jom kita layan sebentar.


Ayuh kita kembali ke tajuk asal. Sebenarnya acara ini sudah lama berlalu.Tetapi ia timbul semula apabila berita mengenainya disiarkan di Majalah Wanita keluaran Februari 2013. 



Acara yang saya maksudkan ialah Kempen Like Facebook Pusat Pungutan Zakat. Kempen yang berlangsung selama tiga bulan ini telah menarik seramai 12,698 Penggemar FB PPZ. Banyak program yang dijalankan di laman FB PPZ sepanjang kempen berlangsung. Antaranya kuiz zakat, teka silang kata, coretan pengalaman dan banyak lagi.


Pemenang kuiz mingguan dipilih oleh pihak PPZ sendiri. Pemenang telah membawa pulang hadiah tajaan daripada pihak penaja. Manakala pemenang utama pula membawa pulang Galaxy Tab 10.1 tajaan Perintis Beta Sdn. Bhd dan The New iPad tajaan Tutti Frutti (M) Sdn. Bhd. Antara penaja lain yang mengambil bahagian ialah Suria FM, Karangkraf, PTS, Mustika Ratu, Butik Mama dan ramai lagi.

Tuan Abdul Hakim Amir Osman semasa sidang akhbar
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Abdul Hakim Amir Osman, medium internet (Facebook) menjadi pilihan golongan muda yang mungkin kurang gemar dengan kaedah konvensional seperti ceramah dan tazkirah. Dengan Facebook, pengikutnya semakin bertambah setiap hari, maka informasi dapat disebarkan dengan cepat dan secara tidak langsung meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan berzakat.

Banyak penyertaan yang telah diterima. Pelbagai jawapan, aksi dan reaksi yang terpapar. Akhirnya 2 orang pemenang utama telah dipilih.

Hadiah Utama : En. Mohd Husin bin Abd Rahman (Eksekutif Kanan HEP Open Universiti Kuala Lumpur)
Tempat Kedua : En. Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee (Guru Kaunseling SAM Sg Hj Dorani)

Mohd Husin (kiri) Abdul Muiez (kanan) bersama hadiah msing-masing

Syukur tidak terkata apabila saya dipilih sebagai pemenang tempat kedua. Jujur saya katakan pemenang Hadiah Utama dan Tempat Kedua hanya diumumkan sewaktu majlis berlangsung. Setelah lama menanti akhirnya iPad berada di genggaman. Terharunya. Sejak iPad generasi pertama lagi saya sudah bernekad untuk mendapatkannya secara pecuma. Pelbagai peraduan telah saya sertai tetapi tidak berjaya memilikinya. Sehinggalah lahir iPad Generasi Ketiga ini. Barulah dapat rasa memegang iPad. ^_^. Kasihan kan? Orang lain berebut-rebut mahu menjadi yang pertama memilikinya, tetapi saya hanya dapat memegang selepas generasi ketiga. Kasihan. Hehe.

Kenapa saya tidak beli sendiri? Kenapa perlu tunggu yang percuma? Baiklah. Dalam kehidupan kita ada Keperluan dan Kehendak. Saya telah meletakkan iPad dalam kategori Kehendak. Atas alasan itulah saya tidak meletakkan harapan untuk membeli iPad dengan wang saya sendiri. Saya masih percaya yang suatu hari nanti saya pasti akan memiliki iPad. Alhamdulillah. Doa saya diperkenankan tetapi mengambil masa yang saaaangat lama. Pengajaran yang saya dapat ialah :
Tidak semestinya apa yang kita hajatkan, itu yang terbaik untuk kita. Mungkin Allah telah merencanakan sesuatu yang LEBIH BAIK untuk hamba-Nya. Dan bukanlah hari ini kita minta, hari ini juga kita akan dapat apa yang kita hajatkan. Mungkin kita masih belum cukup berusaha untuk memilikinya. Sabar dan terus bersabar.
Jadi kepada pembaca blog ini, bersangka baiklah dengan ALLAH. Jika Allah tidak memakbulkan doa kita, pasti ada yang terbaik sedang menanti di hadapan. Teruskan usaha. Insya-Allah perancangan Allah itulah sebaik-baik perancangan. Kadang-kadang kita merasakan sesuatu itu baik untuk kita padahal  ada yang lebih baik telah direncanakan,

Jom layan gambar yang diambil dari Laman Facebook PPZ








Terima kasih kepada PPZ dan terima kasih kepada semua.

Wednesday, January 16, 2013

Semakan Tawaran Ke Tingkatan Empat ( 4 ) Sekolah Berasrama Penuh 2013

9:35 PM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Terima kasih kerana masih menemani blog Kisah Seorang Lobam setiap hari. Semoga pembaca semua mendapat sedikit manfaat pada setiap ziarah.

Hampir sebulan Keputusan Penilaian Menengah Rendah Diumumkan kini tibalah masanya untuk adik-adik menuai hasilnya. Ibarat pepatah Arab :
Man Jadda Wa Jada, Man Zara'a Hasada
Siapa Berusaha Dia Akan Dapat, Siapa Yang Menanam Dia Akan Tuai 

Kepada adik-adik yang telah membuat permohonan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh, kini tibalah masanya untuk mengetahui adakah berjaya ataupun tidak.


Hanya klik di Pautan Ini, masukkan Nombor Kad Pengenalan dan Angka Giliran dan Tekan Semak

Semoga berjaya. Buat yang tidak berjaya, peluang anda masih terbuka. Teruskan usaha Insya-Allah pasti berjaya. Ingat! Man Jadda Wa Jada, Man Zara'a Hasada

Terima kasih.

Monday, January 14, 2013

'Remote Aircond' Rosak Di Dr Campsite

11:05 PM Posted by Lobam , , No comments
Assalamualaikum. Apa khabar semua? Saya sentiasa mendoakan agar semua pembaca Kisah Seorang Lobam berada dalam kemanisan Iman dan kelazatan Amal. 

Syukur Alhamdulillah selepas beberapa hari berkampung di pinggir bandar ditemani deruan aliran sungai yang mendamaikan serta nyanyian unggas rimba bersahut sahutan, akhirnya saya kembali semula ke pangkuan keluarga tercinta.


11 Januari lalu, saya bersama tiga orang guru membawa rombongan pelajar seramai 42 orang menyertai Kem Jati Diri & Kepimpinan Anak Asnaf Zakat di Dr Campsite, Hulu Langat. Kem ini terletak kira-kira 1 km daripada Pekan Batu 18 Hulu Langat berhampiran Masjid Lubuk Kelubi.



Kem yang terletak di tepi Sungai Langat itu menyajikan sejuta kedamaian buat pengunjung yang ingin lari dari kesesakan dan kekusutan serta noda debuan kota. Deruan aliran sungai yang berirama pasti menjadi terapi yang ampuh bagi mereka yang menginginkan kedamaian. Tambahan pula dikelilingi pepohon yang merimbun serta sungai yang mengalir tenang pasti menambahkan kesan khas pada grafik serta sistem suara alam yang semula jadi. Kabus yang melatari pandangan menghilangkan seketika lukisan bukit pada waktu pagi menambahkan kesan dramatik pada warna dan suasana persekitaran.


Cahaya matahari yang berlumba-lumba menembusi kabus membuatkan cahaya yang masuk samar-samar menjadikan subuh di Dr Campsite begitu mengujakan. Pastinya pemandangan semulajadi ini membuatkan naluri terjentik mengenangkan keindahan dan kebesaran Tuhan sekalian alam.

Nyanyian unggas yang bersahut-sahutan pada waktu malam mengamit kenangan zaman kanak-kanak ketika masih menetap di pangkuan desa tercinta. Hawa sejuk yang sentiasa menemani malam pasti membuatkan tidur sentiasa terjaga. Sehingga saya menyangkakan yang pendingin hawa masih terpasang. Tercari-cari juga di mana letaknya alat kawalan jauh. Rupa-rupanya 'Remote Aircond' sudah rosak. Hehehe. Kesejukannya membuatkan saya terpaksa menyarung 2 helai baju namun masih belum mampu menghilangkan rasa yang menggigit.

Kem ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas antaranya chalet yang boleh menempatkan 4 orang dalam satu masa, dorm para peserta, 3 buah dewan terbuka, dewan makan, kedai jualan, surau dan fasiliti aktiviti lasak.


Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti kem kepimpinan, kem jati diri, kem pemantapan sahsiah dan apa jua aktiviti lasak. Semuanya boleh dibincang.

Saya sajikan beberapa keping gambar lagi untuk tatapan pengunjung blog ini.














Unuk maklumat lanjut boleh layari Laman Sesawang Dr Campsite atau hubungi Puan Zainah di talian 0133937674 

Jumpa lagi di entri akan datang. Terima kasih.