Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, April 28, 2014

Pokai Kerana Telefon Pintar

9:49 PM Posted by Lobam 4 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Memiliki telefon pintar yang terbaru memang menjadi idaman setiap insan. Apatah lagi jika menggenggam telefon canggih dan digayakan bersama rakan-rakan pasti memberi seribu satu kepuasan kepada pemiliknya. Tambahan gajet yang dilengkapi dengan aplikasi yang hebat pasti akan memudahkan urusan seharian.

Fenomena remaja dan telefon pintar sudah lama menular di Malaysia. Bukan sekadar mahasiswa di universiti tetapi kanak-kanak masih dibangku sekolah juga sudah mampu menggayakan telefon yang berharga mencecah ribuan ringgit. Jika diamati, perlukah telefon pintar di usia remaja? Adakah telefon pintar itu digunakan secara maksima atau sekadar menjadi trend terkini? Mungkinkah jenama telefon pintar akan mengangkat martabat seseorang?

Sumber Kosmo
Sedar atau tidak, kerana terlalu mengikut trend memiliki telefon pintar boleh menyebabkan pokai. Memang benar, ukur baju di badan sendiri, tetapi adakah telefon pintar berjenama mahal yang dimiliki itu digunakan secara maksima?

Ayuh kita lihat trend penggunaan telefon pintar. Selain menggunakan kamera yang mempunyai definisi tinggi, aplikasi wajib yang kebiasaannya ada dalam telefon pintar seseorang ialah Facebook, WhatsApp, WeChat, Instagram, Waze, Youtube dan beberapa aplikasi laman sosial yang lain. Apakah berbaloi membayar wang RM2000 semata-mata untuk menggunakan aplikasi ringan seperti itu? Tidak ramai rasaanya yang menggunakan telefon bimbit mereka semaksima mungkin, berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.  Saya juga mempunyai telefon pintar. Banyak aplikasi yang saya install di telefon. Saya sangkakan saya akan gunakan semua aplikasi yang ada. Tetapi jangkaan saya silap. Setiap dua minggu telefon saya akan memberi peringatan tentang aplikasi yang jarang atau tidak saya gunakan. Jika dilihat dari memori, telefon saya hanya dipenuhi dengan gambar sahaja. Itu pon saya tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada apabila saya hanya menggunakan kamera 9 megapixel berbanding 13 megapixel yang ditawarkan.

Trend ini semakin parah apabila mahasiswa di universiti sanggup berlapar semata-mata mahu memiliki telefon bimbit sehingga menyebabkan mereka pokai. Tambah menyedihkan apabila menghabiskan duit pinjaman semata-mata mahu nampak hebat dikalangan rakan-rakan. Tanpa mereka sedar tindakan itu akan menjerat diri mereka.

Saya kira remaja zaman sekarang lebih beruntung. Jika mahu diungkit kisah lama pasti ramai yang tidak percaya. Itulah realitinya Generasi Y kini. Sebagai seorang guru, saya kerap bercerita tentang kesusahan semasa zaman ibu bapa saya membesar kepada anak-anak murid. Ternyata apa yang saya cerita dianggap seperti kisah fantasi yang sering diada-adakan.

Tetapi adakah mereka lupa, keberuntungan itulah yang akan membuatkan mereka sengsara. Ya, menggunakan duit pinjaman untuk membeli telefon bimbit memang seronok. Pilihlah apa sahaja telefon bimbit yang ada di pasaran asalkan sepadan dengan wang yang ada. Tetapi tiba saat masa untuk membayar, pasti golongan ini merupakan insan yang paling liat untuk membayarnya. Kerana apa? Kerana mereka tahu mereka telah mengalirkan wang yang mereka perolehi ke jalan yang merugikan.

Pasaran telefon bimbit tidak panjang masanya. Jika kita merasakan hari ini telefon bimbit kita yang paling canggih, tunggulah beberapa bulan lagi. Pastinya telefon kita tidak akan menjadi siulan orang lagi.

Adakah saya seorang yang cemburu? Siapa tidak pernah berangan untuk memiliki telefon mahal. Tetapi bila sudah ada wang di tangan, langsung saya gunakan akal yang dipinjamkan secara maksima. Fikirkan tentang baik dan buruknya. Fikir tentang masa hadapan dan fikirkan juga apa kebaikan yang boleh saya lakukan dengan wang yang ada. Ternyata fikiran saya masih waras. Biarpun sudah bekerjaya dan memiliki pendapatan yang baik, belum tergamak rasanya untuk saya menghabiskan wang ribuan ringgit semata-mata untuk membeli keperluan yang tidak penting dalam kehidupan.

Kepada para mahasiswa, gunakan wang anda sebaik mungkin. Jangan biarkan diri anda pokai kerana telefon bimbit.

Sunday, April 27, 2014

Taman Fantasi Di PBAKL 2014

1:12 PM Posted by Lobam 6 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat paling berharga. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 sudah masuk hari ke 4. Pelbagai strategi pemasaran telah dilakukan oleh pempamer bagi menarik kehadiran pengunjung di gerai mereka. Ternyata promosi yang berterusan melalui pelbagai medium informasi meningkatkan kehadiran pengunjung sekaligus menaikkan jualan harian. 

Jika dilihat melalui sudut promosi, hampir semua pemain industri buku menampilkan kelainan. Sebagai contoh, Karya Seni dan Penulisan2u membawa konsep novel ke drama dan filem lengkap dengan ruangan tontonan seperti di dalam panggung wayang. Blink Book pula tampil dengan konsep yang lebih berani dengan menjadikan tema Hero sebagai presentasi gerai jualan mereka. Perbadanan Kota Buku tidak ketinggalan dengan mengetengahkan Taman Fantasi di ruangan Rehat dan Baca di PBAKL 2014. 

Jika dilihat daripada statistik ternyata keberanian mereka mengeluarkan modal yang besar tampak berbaloi apabila kehadiran pengunjung menampakkan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun. Malah kehadiran pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 telah mencipta rekod tersendiri apabila menunjukkan prestasi peningkatan terbaik sepanjang tiga hari penganjuran iaitu sebanyak 200% berbanding tahun 2013.


Jika anda mendaki ke tingkat 4 PWTC, pasti anda akan terpegun apabila menyaksikan Taman Fantasi yang disediakan oleh Perbadanan Kota Buku.

Sumber Newsletter PTS
Kawasan yang dinamakan ruangan Rehat dan Baca ini memberi peluang kepada pengunjung melepaskan lelah sambil membaca timbunan buku yang dibeli dengan penuh keselesaan. Dengan membawa tema seakan alam fantasi, ruangan Rehat dan Baca ini juga turut menyediakan buku-buku untuk dibaca secara percuma. Malah Perbadanan Kota Buku juga turut menyediakan dua buah iPad untuk para pengunjung membaca eBook keluaran mereka.

Dengan hiasan serta tata rias yang menarik, pastinya ruangan Rehat dan Baca yang bertemakan Taman Fantasi ini akan menjadi lokasi wajib kepada para pengunjung yang datang bertandang di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014. Di ruangan ini juga diadakan beberapa acara khusus kepada para pengunjung. Semoga usaha kecil ini memberi impak yang maksima kepada hadirin. Diharapkan agar selepas ini pihak Perbadanan Kota Buku akan menyediakan ruang yang lebih luas untuk menampung kehadiran pengunjung.











Sumber FB Tuan Zamri Mohamad

Friday, April 25, 2014

Senarai Pempamer Dan Lokasi PBAKL 2014

3:38 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Setiap tahun kehadiran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 pasti dinanti-nanti oleh pencinta buku. Pesta yang menghimpunkan pemain buku antarabangsa di bawah satu bumbung pasti membangkitkan keterujaan di kalangan penggemar buku. 

Dengan menghimpunkan 246 pempamer dan penerbit buku, pastinya banyak kejutan yang diadakan bagi memikat hati pelanggan untuk singgah ke gerai mereka.

Sumber : FB Syaizul Amal
Sebagai contoh, Blink Book Sdn. Bhd mula beralih angin dengan menampilkan tema Hero bagi memikat pembeli terutamanya golongan remaja. Yang menariknya, setiap penulis mempunyai karektor Hero mereka sendiri. Dengan cara yang unik ini, pastinya golongan sasar terutamanya kanak-kanak akan tertarik untuk terus melekat di booth mereka. Tambahan pula, para penulis Blink Book sentiasa ada bagi melayani kehadiran pengunjung.

Bagi anda yang tercari-cari lokasi pempamer di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 jom kita lihat senarai pempamer dan lokasi di PBAKL 2014.









Jangan lepaskan peluang untuk menghadiri Pesta Buku Antarabangsa yang dijalankan sekali dalam setahun. Jumpa anda di sana.

Monday, April 14, 2014

Cerpen Warkah Buat Suami

6:16 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan serta para sahabat dan ahlul bait baginda.

Cerpen ini adalah merupakan antara karya terawal saya ketika saya baru mula bertatih dalam bidang ini. Karya ini juga pernah diterbitkan dalam majalah Blues Untuk Aku dan Legend Comic ketika saya menuntut di luar negara.


WARKAH BUAT SUAMI
Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
LUSA seluruh umat Islam akan menyambut tahun baru Hijriah 1428. Hari baru, tahun baru dan azam baru. Semua orang pasti akan merasakan kegembiraan menyambut maal hijrah bersama keluarga tercinta. Mungkin tahun baru hijrah akan memberi lebih makna buat diri mereka. Aku? Aku masih tetap di sini membilang bilahan baki Zulhijjah. Entah mengapa Zulhijjah tahun ini tidak membawa kebahagiaan buat diriku. Adakah Zulhijjah 1427 yang bersalah ataupun Aku yang bodoh, bodoh kerana tidak menutup tahun 1427 ini dengan sesuatu yang membahagiakan diri. Kelmarin baru sahaja aku menghalau isteriku – Ida pulang ke rumah orang tuanya. Entah apa yang terjadi pada diriku. Bagai di rasuk syaitan, aku mengamuk sakan. Sepatutnya Muharram yang bakal muncul beberapa hari lagi merupakan jalan yang terbaik untuk menjadi madrasah dalam mendidik kesabaran, tetapi kelmarin Aku hilang pertimbangan. Hampir-hampir sahaja Ida ditalakkan. Aku tidak tahu mengapa aku bersikap sedemikian. Panas baranku makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Mungkin disebabkan desakan kerja yang bertimbun di pejabat atau sikap dingin Ida sejak kebelakangan ini membuatkan diriku berubah. Aku lupa pada sabda Nabi yang mana mafhumnya jika kamu marah maka berwuduklah. Aku melepaskan segala kemarahanku kepada Ida. Ida tidak bersalah, tetapi mengapa dia yang menjadi mangsa? Aku berdosa kepada Ida.
            Kini diriku sepi, sunyi tiada berteman. Bagaimana harusku lalui Muharam yang bakal menjelang tanpa kehadiran Ida di sisi. Inginku pujuknya kembali, tetapi ego kelakianku pula tegas melarang. Sesungguhnya benarlah kata orang, ungkapan maaf merupakan perkataan yang paling sukar untuk diucapkan.
            Ketika Aku hampir merebahkan diri di atas katil, mataku tertancap kepada sekeping sampul surat berwarna merah jambu di atas meja lampu. Kakiku begitu mendesak untuk melangkah ke meja itu dan tanganku begitu memaksa untuk mencapainya. Tertera namaku di situ. Naluri ingin tahuku membuak-buak meminta agar sampul itu di buka dan risalah di dalamnya segera dibaca. Perlahan-lahan aku membuka warkah itu lalu membacanya.

Abang,
Kata orang warna ungu adalah warna kesedihan. Secara tidak dirancang hari ini Ida memilih warna ungu untuk menemani hari Ida. Pakaian Ida malah tulisan pena warkah ini turut berwarna ungu. Sedihkan Ida? Kita lupakan soal kesedihan itu dahulu. Buat insan yang amat Ida sayangi dan cintai, Abdul Iezat Wajdi. Buat permulaannya, ingin Ida memohon jutaan kemaafan jika segala kesalahan dan kelancangan tutur bahasa Ida bisa menumpahkan air mata kelakian Abang. Maaf atas segala kekasaran tingkah laku dan janji yang tidak tertunai, janji untuk membahagiakan Abang hingga ke akhir hayat dan segala kesusahan serta kepayahan yang telah Abang hadapi disebabkan diri Ida yang serba kekurangan ini. Maaf jua atas segala kedegilan dalam mengikuti segala nasihat Abang. Ida bersyukur di atas segala kurniaan dan limpahan kasih sayang dan rahmat dari-Nya kerana bisa mengurniakan Ida seorang insan sebaik Abang dan insan yang paling dekat di hati Ida. Alhamdulillah. Kali pertama bersua muka dengan Abang, Ida dapat merasakan bahawa Abang seorang yang tenang dan mempunyai sifat yang suka berjenaka. Gurauan dan kenakalan Abang menceriakan hari-hari Ida, malah bisa membuatkan Ida tertawa walaupun pada mulanya cuba untuk mengawal perasaan tersebut. Kadangkala Ida tersenyum sendirian mengenangkan telatah Abang seperti keanak-anakan.
            Panggilan telefon, sms, malah surat daripada Abang membahagiakan jiwa Ida. Walaupun terselit perasaan wasangka kerana bimbang dipermainkan namun Ida terima jua. Dimulai dengan persahabatan disusuli pertemuan demi pertemuan. Akhirnya membibitkan satu perasaan aneh yang amat sukar dimengertikan oleh seorang yang bernama Ida. Setiap kali mata bertentang dan setiap kali itulah hati Ida berdebar kencang. Hubungan itu berkahir apabila Abang melamar Ida untuk menjadi sayap kiri dalam perjuangan, walaupun kala itu kita masih menuntut di kolej. Tanggal 28.02.2003 menjadi bukti. Saat paling membahagiakan diri Ida tatkala cincin yang menjadi tanda disarung kemas ke jari manis. Malah Ida pasti, Abang juga turut merasai kebahagiaan itu.
            Hari demi hari, minggu berganti minggu, bulan bertukar bulan. Akhirnya kita berjaya menamatkan pengajian di kolej. Tenangnya air di Tasik Kenyir, butiran pepasir putih di Pantai Batu Buruk, kelazatan air batu campur di Pantai Teluk Ketapang dan keindahan mentari tenggelam di Taman Rekreasi Pulau Kambing pasti menggamit kenangan silam. Saat-saat bersama Abang adalah yang terindah buat diri Ida.
            Namun panas yang Ida sangkakan sampai ke petang, hujan juga yang menjengah di tengahari. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula pasangan suami isteri kepada kita. Abang mula berubah, tidak lagi seperti dulu. Tiada lagi lawak jenaka yang pada suatu ketika dahulu saban hari menghiasi hidup Ida dan tiada lagi kata-kata romantis yang selalu Abang bisikkan di telinga Ida. Namun demi kecintaan Ida kepada sebuah perhubungan yang amat bermakna, Ida rela tempuhi segalanya. Biarlah Ida yang merasakan pedihnya asalkan Abang bahagia.
            Abang terlalu memandang enteng pada hakikat sebuah perasaan yang perlu Abang jaga. Abang juga terlalu mengambil mudah soal hati Ida yang amat sensitif ini. Malah terlalu murah air mata ini jatuh kerana Abang. Hati kecil ini meronta ingin difahami, tetapi ianya bagai satu permintaan anak kecik  tidak mungkin akan dikabulkan. Ida pasrah demi kasih sayang Ida tehadap Abang. Marah Ida tidak diredakan, rajuk dan tangis juga tidak dipujuk. Namun, Ida pasrahkan segalanya. Kadangkala hati kecil ini terlalu sedih dengan sikap Abang. Telalu mudah dalam soal menjaga sekeping hati ini. Kadang-kadang terfikir juga adakah Ida yang diciptakan buat Abang atau Ida hanyalah sandaran semata.
            Pernah Ida meluahkan segalanya kepada Abang. Tetapi Abang sering tersalah anggap. Abang katakan yang Ida ini terlalu manja dan sering mengada-ngada. Salahkah Ida ingin dapatkan semula kasih sayang yang telah hilang daripada suami Ida sendiri? Bila hati ini terlalu rindu dek kerana kesibukan Abang bekerja di luar kawasan, Abang tampak terlalu bias. Kadangkala tiada reaksi daripada Abang. Kadang-kadang juga Ida terfikir, adakah hanya Ida sahaja yang memerlukan Abang? Sedih rasanya, tetapi mungkin itulah sebuah harga yang perlu Ida bayar. Pernah terbit di benak Ida untuk lari dari daerah ini namun kaki Ida berat untuk melangkah, hati Ida degil untuk pergi meninggalkan Abang. Kerana apa? Kerana Ida cintakan Abang. Maafkan Ida kerana niat busuk itu pernah terdetik di hati ini. Hampir-hampir sahaja Ida termakan dengan  pujuk rayu syaian durjana. Di waktu yang lain pula, Ida merasakan Ida patut berhenti daripada mencintai Abang, tetapi pada masa yang sama Ida takut untuk kehilangan Abang. Terasa ingin melupakan semua mengenai Abang, segala kenangan kita, senyumanmu, lirikan dan renungan lembut matamu, suaramu, titisan air matamu, gerak gerimu bahkan semuanya mengenai Abang. Tapi Ida tidak mampu, tidak mampu untuk melupakan Abang.
            Setiap kali Ida tersenyum, Abang akan buat Ida menangis semula. Setiap kali Ida merindui Abang, Abang buat Ida kecewa. Pabila Ida bangun untuk mendekati Abang, Ida rasakan jurang antara kita terlalu jauh. Pabila Ida berjalan mendekati Abang, Abang berlari meninggalkan Ida. Pabila Ida merasakan kemesraan dan ingin menghampiri Abang, tiba-tiba Abang dingin dan berundur menjauhi. Mengapa begitu Abang? Apakah salah Ida? Kurangkah layanan Ida terhadap Abang? Kurangkah kasih sayang Ida terhadap Abang? Atau kurangkah pengorbanan Ida tehadap Abang?
            Apabila Abang sakit, Ida akan menjadi telalu bimbang dan Ida cuba pastikan agar diri ini berada di sisi Abang sewaktu Abang memerlukan. Pabila Abang berduka, Ida pastikan Idalah peneman setia. Malah pabila Abang gembira, Ida turut bersama Abang walaupun ketika itu Ida sendiri sedang berduka. Demimu kurelakan segalanya. Masih tidak cukupkah segala apa yang telah Ida lakukan ini? Maafkan segala kesalahan diri Ida.
            Maafkan Ida jika ada kekurangan pada diri ini. Sesungguhnya itu bukanlah pilihan Ida. Sudah dicatatkan di Luh Mahfuz ketentuan Ida sebegini. Tetapi Ida akan cuba mengatasi kelemahan diri. Maafkan juga kerana terlalu menyalahkan Abang. Sesungguhnya kemarahan ini membuatkan Ida buta pada kasih sayang dan pengorbanan yang telah Abang lakukan.
            Maafkan Ida. Aku lupa pada kesabaranmu dalam menuruti segala kehendakku. Aku lupa pada ketabahanmu dalam menghadapi kenakalanku. Aku lupa pada segala pengorbanan yang telah kau lakukan dahulu. Aku lupa pada setianya kau menemaniku ketika aku menangis. Aku lupa pada segala kasih sayang dan segala kecintaan yang kau peruntukkan buatku. Malah Aku lupa pada sekeping hati yang telah Kau serahkan padaku. Aku lalai dalam menjaga amanahmu supaya menjaga hati yang satu itu. Aku lalai... Aku alpa... Adakah layak untuk Aku menjaganya semula?... Adakah layak Aku berada di sisimu kini dan masa mendatang?... Dek kerana terlalu mengharap Abang menjaga sebuah perasaan ini, Ida terlupa segala kebaikan dan ketulusan cinta Abang terhadap Ida. Ida lupa pada lembutnya renungan kasih sayang Abang. Ida lupa pada segala kesetiaan yang telah Abang curahkan.
            Kekasihku...
            Andai masih lagi ada cintaku di hatimu, ku pohon untuk menghuni hatimu semula. Ku pohon untuk menjaga hatimu sekali lagi. Ku pohon untuk berada di sisimu buat sekian kalinya. Maafkan aku atas segala kekurangan ini. Maafkan aku atas segala kekasaran kata-kata ini. Maafkan segala dosa-dosaku padamu. Andai masih ada jodoh, inginku mulakan kembali episod cinta ini. Andai masih ada hayat, inginku berbakti hanya padamu. Kiranya namaku masih di hatimu, inginku serahkan sgalanya padamu.
            Abang...
            Maafkan Ida andai tidak sempat untuk menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1428 kali ini. Anggaplah ia sebagai ujian sebelum kita membuka lembaran baru. Maafkan Ida Abang. Walau apa yang terjadi, Abang tetap di hati sebagai seorang suami, kekasih dan teman. Ida juga ingin sentiasa di hati Abang buat selamanya sebagai isteri dan ibu kepada anak kita yang bakal lahir nanti.
Yang mengasihimu...
Norlida
Air mata kelakianku jatuh menelusuri pipi mulusku tanpa dipaksa. Entah mengapa isi kandungan surat ini begitu menyentuh jiwa. Tambahan pula pabila mengetahui isteriku sedang hamil. Sepatutnya berita gembira yang baru sahaja aku tahu ini, kami sambut bersama dengan penuh kesyukuran. Aku melipat semula warkah bisu itu dan membiarkannya di atas meja. Lalu aku merebahkan badan di atas katil. Fikiranku melayang mengenangkan saat romantis bersama Ida. Bagai layar putih menayangkan gambar. Jelas segalanya di fikiran.
            Ida...
            Sesungguhnya Abang bersalah terhadapmu sayang. Maafkan Abang Ida kerana tidak bisa mengerti perasaanmu. Tidak mampu menjaga sekeping hati yang rapuh itu. Abanglah yang bersalah. Esok akan Abang turutimu pulang ke kampung orang tuamu untuk membuka lembaran baru pada tahun baru kali ini. Akan Abang leburkan tembok keegoaan ini agar 1428 hijrah kali ini akan lebih bermakna.

Cerpen ini pernah tersiar di Legend Comic terbitan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 

Friday, April 11, 2014

Waktu Pengambilan Ubat Yang Betul

10:16 PM Posted by Lobam 4 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat paling berhaga iaitu Islam dan Iman. Selawat dan salam buat Sayyiduna Rasulullah tercinta.


Nikmat sihat merupakan satu nikmat yang paling jarang disyukuri. Kita akan berasa betapa pentingnya nikmat sihat sewaktu kita ditimpa kesakitan. Rasulullah pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan Baihaki,

Rebutlah lima sebelum datangnya lima, Sihat sebelum sakit, Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sibuk, Muda sebelum tua dan Hidup sebelum mati.


Jika kita ditimpa kesakitan sesungguhnya itu bukanlah satu musibah, tetapi ianya adalah teguran dari Allah. Sewaktu sakit itulah kita akan lebih mengingati Allah serta pergantungan kita semakin tinggi kepada Maha Pencipta.

Setiap sakit pasti ada ubatnya. Makan ubat bukanlah satu perkara yang menyenangkan. Tambahan pula jika ubat itu tidak enak untuk ditelan, mulalah kita berasa culas. Akhirnya ubat hanya dipandang sepi.

Seringkali kita mendengar arahan doktor tentang pengambilan ubat mengikut waktu. Ada dos yang perlu diambil sehari sekali. Ada juga dua kali sehari malah sehingga empat kali sehari. Tetapi adakah pengambilan ubat yang kita ambil setiap hari mengikut waktu yang betul?

Ayuh kita lihat waktu pengambilan ubat yang betul.


 Dos Sekali Sehari
Diambil pada jam 8.00 pagi setiap hari
Dos Dua Kali Sehari



Dos Tiga Kali Sehari


Dos Empat Kali Sehari


Tiada alasan untuk tidak mengambil ubat. Semoga cepat sembuh ^_^

Thursday, April 10, 2014

Tip Penjimatan Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

10:16 PM Posted by Lobam , 6 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke 33 kembali menjelma. Pesta buku tahunan terbesar negara ini akan menemui peminat buku di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC selama 11 hari bermula 24 April sehingga 4 Mei 2014.

Pesta buku yang mengumpulkan pemain buku dari seluruh dunia di bawah satu bumbung ini pastinya menjanjikan persembahan terbaik dari setiap pemain industri buku. Sudah pasti banyak promosi yang hebat serta menarik akan diadakan. Malah pelbagai cara unik juga akan ditampilkan bagi menarik kehadiran pembeli.

Hari ini ingin saya kongsikan pelbagai tip penjimatan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

1. Senaraikan Buku Yang Ingin Dibeli
Biasanya syarikat penerbitan mula mempromosikan buku-buku terbaru mereka seawal satu bulan sebelum pesta buku berlangsung. Senaraikan buku yang ingin dibeli supaya wang yang dibawa cukup sekadar untuk buku yang disenaraikan. Ini bagi mengelakkan pembaziran atau membeli buku yang tidak perlu. 

2. Beli Buku Secara Pakej / Kombo


Kebanyakan syarikat akan menjual buku secara kombo. Sebagai contoh beli 3 buku dengan harga RM50.00


Dengan membeli pakej kombo, pengunjung akan mendapat penjimatan yang luar biasa.

3. Semak Promosi Syarikat Penerbitan



Pada tahun ini PTS akan memberi diskaun bermula 20% sehingga 25% kepada pembeli yang membawa Kad Matrik, Kad Pelajar atau berpakaian sekolah. Jadi kepada pengunjung yang tiada Kad Matrik atau Kad Pelajar, minta tolong pelajar sekolah yang hadir untuk bayarkan. Jika harga buku yang dibeli RM100, diskaun 20% ialah sebanayak RM20. Dengan RM20 anda boleh membeli sebuah lagi buku tambahan. Jimat kan?

Institut Terjemahan & Buku Malaysia juga menyediakan diskaun sehingga 30% untuk buku-buku terbitan mereka. Malah ITBM menawarkan diskaun istimewa untuk lebih 150 judul buku kanak-kanak. Promosi ini tentunya amat berbaloi untuk wang anda.


Bagi pemegang Baucer Buku 1Malaysia, pihak Popular ada menyediakan pakej belanja RM250 bersamaan 5 keping BB1M anda akan mendapat RM50 baucer tunai percuma. Ini bermakna anda hanya membayar RM200 untuk barangan berjumlah RM250.

4. Turut Serta Dalam Peraduan Yang Dijalankan


Setiap tahun syarikat penerbitan akan menganjurkan peraduan mega sempena PBAKL. Sebagai contoh tahun ini ITBM menawarkan percutian ke Paris dengan hanya berbelanja RM 50 ke atas. Malah PTS juga menawarkan sebuah iPad Mini kepada pembeli bertuah dengan berbelanja RM150 ke atas. Ikut serta dalam peraduan mereka. Mana tahu rezeki anda, bukan sahaja mendapat buku tetapi mungkin anda akan memenangi hadiah istimewa daripada mereka. 

5. Jadi Pembeli Terawal
Jadi pembeli terawal di booth terpilih kerana anda mungkin akan membawa pulang hadiah misteri. Sebagai contoh PTS menawarkan hadiah misteri kepada 50 pembeli terawal.

6. Cakna Dengan Pengumuman Booth
Ada booth yang menawarkan Happy Hour yang mana harga buku akan dikurangkan dalam masa-masa tertentu. Malah ada syarikat yang menawarkan sehingga 40% untuk Happy Hour. Cakna dengan pengumuman mereka, jika tidak anda akan terlepas peluang keemasan yang disediakan.

7. Beli Dari Penerbit
Beli terus dari penerbit untuk mendapatkan potongan hebat. Galeri Ilmu Media Group menawarkan potongan sebanyak 25% dengan jumlah belian melebihi RM250 dalam satu resit. Diskaun normal adalah sebanyak 20%

8. Turut Serta Dalam Acara Booth
Setiap booth akan menganjurkan acara-acara tertentu di booth mereka. Turut serta dalam acara terebut. Mana tahu anda akan mendapat buku percuma.

9. Ambil Peluang Untuk Perbaharui Langganan 
Bagi pengunjung yang melanggan majalah, ambil peluang untuk melanggan atau memperbaharui langganan kerana banyak hadiah ditawarkan kepada mereka yang melanggan. Galeri Ilmu Media Group menawarkan potongan 30% untuk langganan majalah Asuh, Anis dan Q&A malah anda turut mendapat planner eksklusif GIMG secara percuma.

10. Ikuti Perkembangan Syaraikat Penerbitan Kegemaran Anda
Ikuti perkembangan syarikat penerbitan kegemaran anda melalui laman sosial. Tidak kira melalui Facebook, Twitter mahupun Instagram. Banyak pengumuman menarik akan diumumkan oleh mereka.

Sedikit tambahn perkongsian tip kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

1. Datang awal untuk lebih keselesaan
2. Datang pada hari biasa. Elakkan datang pada hari minggu
3. Bagi ulat buku, bawa beg besar yang mempunyai roda. Ini akan memudahkan pergerakan anda
4. JANGAN GUNA KAD KREDIT

Setakat ini sahaja perkongsian saya. Jumpa anda di sana ya.


Tuesday, April 8, 2014

Cara Menguruskan Uri Bayi

11:39 AM Posted by Lobam 12 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Dr. Zubaidi di dalam blognya ada menceritakan berkenaan uri. Menurutnya uri atau placenta adalah organ yang dibentuk di dalam rahim. Ia dibentuk bersama-sama dengan janin, bertujuan untuk pengambilan makanan dan oksigen dari ibu. Selain itu ia mengeluarkan bahan-bahan kumuh dan toksid dari janin kepada ibu agar dapat dibuangkan dari tubuhnya.

Oleh itu, uri adalah merupakan salah satu organ dalam pembentukan bayi. Ketika bayi dilahirkan, uri akan keluar bersama-sama dengan bayi. Tali pusat yang menyambungkan antara uri dan bayi akan diputuskan. 

Uri dikira sebagai organ yang telah mati dan hukumnya adalah najis. Ia harus diuruskan dengan sempurna tetapi tidak berlebih-lebihan. Uri perlu ditanam dan tidak boleh dibakar. Sebagai orang Islam menyempurnakan uri itu dituntut oleh Islam.

Pasti ada antara para pembaca sudah biasa menguruskan uri anak sendiri mahupun anak orang lain. Bagi saya walaupun sudah mempunyai tiga cahaya mata, menguruskan uri ini merupakn satu perkara baru dalam hidup saya. Biasanya uri dua orang anak saya yang lepas diuruskan oleh bapa mertua. Memandangkan beliau sedang berada di tanah suci Mekah ketika ini, tanggungjawab menguruskan uri kini terletak di bahu saya.

Di sini saya kongsikan cara untuk menguruskan uri. Cara-cara ini saya dapat melalui pembacaan tanpa merujuk kitab-kitab muktabar. Biarpun begitu saya kira coretan ini sedikit sebanyak dapat membantu ketua keluarga yang baru pertama kali mahu menguruskan uri.

Uri yang baru dikeluarkan dari peti sejuk
Uri perlu diuruskan segera. Tetapi jika tidak sempat, uri boleh diletakkan dahulu di bahagian sejuk beku dalam peti ais.

AMARAN : MEMBASUH URI TIDAK SESUAI BAGI MEREKA YANG TAKUTKAN DARAH

Bahan-Bahan Yang Diperlukan


1. Limau Nipis
2. Garam
3. Asam Jawa
4. Asam Keping
5. Plastik
6. Kain Putih ( Napkin )

Cara Membasuh


1. Mulakan dengan membaca Bismillah
2. Cuci uri dengan bersih. Hilangkan kesan-kesan darah tanpa menggunakan sabun.
3. Bila dengan air bersih sambil berselawat dan berdoa dengan doa yang baik.
4. Lumurkan uri dengan garam dan basuh sehingga bersih.
5. Basuh uri dengan asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir. Bilas sehingga bersih.
6. Perahkan limau  dan lumurkan. Ini bertujuan untuk menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan.

Uri yang sudah siap dicuci
7. Letakkan di dalam plastik yang mudah reput seperti plastik 7-Eleven atau plastik Tesco dan ikat dengan kemas.
8. Bungkus bersama kain putih dan diikat kemas.
9. Gali tanah sedalam mungkin. Ini bagi mengelakkan dikesan oleh binatangan seperti anjing dan kucing.
10. Jangan diletakkan sebarang benda asing seperti pen, pensel, lilin dan sebagainya. Dikhuatiri boleh membawa kepada syirik dan khurafat. 

Secara jujurnya, membasuh uri tidaklah sukar seperti yang disangka. Lakukan dengan iklas dan sepenuh hati kerana uri yang dibasuh itu adalah zuriat kita. Tititpkan doa-doa yang baik agar zuriat kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa.

Monday, April 7, 2014

Hadiah Menarik Menanti Pengunjung Di Booth PTS Sempena PBAKL 2014

11:59 AM Posted by Lobam , , 4 comments
Assalamualaikum

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

16 hari menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014, banyak syarikat penerbitan mula menggiatkan promosi bagi memperkenalkan produk terbaru mereka. Pesta buku yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur itu bakal menarik ratusan pempamer dari seluruh dunia. Malah program yang bermula pada 24 April sehingga 4 May 2014 selama 11 hari itu turut menyediakan hadiah-hadiah yang menarik kepada pengunjung-pengunjung yang bertuah.


PTS Media Group juga tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan acara tahunan kali ini. Pelbagai buku baru telah diterbitkan sempena kehadiran Pesta Buku Antarabangsa tahun ini. Acara-cara menarik juga menanti pengunjung di Pavilion PTS yang terletak di aras 4 Dewan Merdeka PWTC. Malah pengunjung bertuah akan membawa pulang hadiah-hadiah yang lumayan.

Pada tahun ini PTS mengetengahkan konsep Hari Bertema untuk aktiviti di booth mereka. Antaranya ialah Hari Cinta Rasul, Hari Keluarga, Hari Komik dan banak lagi. Pasti banyak aktiviti yang berkaitan tema akan dijalankan. Malah kehadiran penulis-penulis tersohor PTS seperti Bahruddin Bekri dan Abdul Latip Talib untuk sesi bertemu peminat antara acara yang dinanti-nantikan oleh pengunjung. Malah ada juga aktiviti pentas utama PWTC yang dianjurkan oleh PTS antaranya ialah Pelancaran Tunas Super, Pelancaran Buku Resipi oleh penulis bestseller Chef Hanieliza serta Bicara Buku oleh penulis popular Prof Kamil dan isterinya Roza Roslan.


PTS turut menyediakan hadiah-hadiah yang menarik kepada pengunjung yang hadir. Aktiviti acara Cabutan Bertuah yang menawarkan hadiah lumayan seperti 3 buah iPad Mini serta 2 buah Instax Mini juga menanti pengunjung yang bertuah.


Malah kepada 50 pembeli terawal setiap hari turut menerima hadiah misteri daripada PTS. Disamping itu 15 pembeli terawal yang membelanjakan RM 250 ke atas juga bakal membawa pulang hadiah-hadiah yang menarik.

Tidak cukup dengan itu, pemegang Baucer Buku 1Malaysia juga boleh menyertai Peraduan Tebus BB1M & Menang PTS yang menawarkan hadiah-hadiah menarik dengan 3 langkah mudah. 7 buah iPad Mini menanti para pemenang bulanan dan 18 pemenang saguhati akan membawa pulang buku bernilai RM50 setiap satu.


Pengunjung juga boleh mendapatkan buku-buku terbaru keluaran PTS dengan harga yang menarik. Malah terdapat juga pelbagai judul buku yang dijual secara pakej dengan harga kombo.


Untuk mendapatkan maklumat lanjut, teruskan bersama PTS melalui Facebook PTS, Twitter PTS, Instagram PTS atau  terus layari laman sesawang Pesta Buku PTS. Pembaca juga boleh menggunakan #BukuPTS sama ada di Facebook, Twitter mahupun Instagram untuk mengetahui promosi-promosi terkini.

Jangan lupa Singgah di Booth PTS ya. Jumpa anda di sana.

Tuesday, April 1, 2014

Permohonan Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) SPADA 2014 / 2015

3:11 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

SPADA yang bermaksud Speciality Program for Alcohol And Drug Abuse bermatlamat untuk melahirkan kumpulan tenaga manusia yang berpengetahuan tinggi dalam bidang pengurusan, pendidikan, pencegahan, rawatan,pemulihan dan penjagaan lanjutan bagi masalah penagihan alkohol dan dadah di negara ini.

Secara umumnya program ini berobjektif melahirkan kumpulan tenaga sumber manusia yang berpengetahuan tinggi dalam bidang pendidikan, pencegahan, rawatan, pemulihan dan penjagaan lanjutan. Program ini juga adalah untuk melahirkan kaunselor yang berkelayakan dan berpotensi tinggi dalam menguruskan masalah-masalah dan cabaran dalam penyalahgunaan dadah. Malah bermatlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi dalam menangani isu-isu dalam penyalahgunaan dadah.

Program yang bertaraf sarjana ini hanya mengambil masa 18 bulan sepenuh masa ( 12 bulan peringkat Diploma siswazah dan lanjutan 6 bulan peringkat Sarjana). Program pengajian bermula pada setiap September Semester pertama tahun pengajian. Kursus ini dijalankan dalam tiga semester dan setiap semester kuliah memakan masa 14 minggu. Para pelajar akan mengikuti program internship dalam semester 2 dan 3.

Program tajaan ini diletakkan di bawah Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan yang mana penerimanya akan mendapat pelbagai manfaat seperti CUTI BELAJAR BERGAJI PENUH. Malah penerima juga akan mendapat elaun sara hidup sebanyak RM800.00 sebulan tanpa mengurangkan elaun-elaun lain.

Program ini dijalankan di dua buah universiti iaitu Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.

Syarat-syarat umum permohonan adalah seperti berikut :

-  Mempunyai ijazah pertama dalam bidang Kaunseling atau Bimbingan dan Kaunseling
- Ijazah pertama dalam mana-mana bidang yang sesuai dan mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga (3) tahun dalam bidang berkaitan seperti Kaunselor di Pusat Pemulihan Dadah, Pegawai Kebajikan, Pegawai Penjara, Pegawai Kesihatan, Pegawai Antidadah dan mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan dengan pencegahan, rawatan & pemulihan dan penjagaan lanjutan dalam penyalahgunaan dadah.
-  Mempunyai kelayakan setara yang diperakui oleh Senat USIM.

Maklumat pengajian di USIM boleh dilihat melalui laman ini

Kalau tanya saya seronok ke tidak kursus ni.
Jawapan saya SERONOK GILA WEIIIII.

Apa yang seronoknya?
1. Tiada Thesis
2. Tidak perlu proposal
3. Cuti bergaji penuh
4. Elaun bulanan
5. Banyak program
6. Banyak melancong

Oh ya. Sedikit makluman tambahan. Permohonan ini hanya untuk guru sahaja. Agensi lain masih belum dibuka. Untuk guru sebanyak 30 tempat kekosongan. 15 tempat akan diisi di Universiti Malaysia Sabah manakala 15 tempat lagi di Universiti Sains Islam Malaysia.

Antara program yang kami jalankan.




TARIKH TUTUP PADA 30 APRIL 2014

Borang serta syarat boleh dimuat turun di laman berikut.

Muat Turun
Maklumat Iklan Tawaran Program SPADA.MSPADA 2014
Surat Edaran SPADA.MSPADA 2014
Syarat-syarat dan Tatacara Permohonan
Senarai Semak MSPADA 2014
KPM(BT) LD 1-CUTI BELAJAR
KPM(BT)LD 2-2011-PERAKUAN KJ
KPM(BT)LD 3-2011-KEWANGAN
KPM(BT)LD 4-2011-PINJAMAN
KPM(BT)LD 5-2011-POLITIK

Jadual Dan 8 Tips Ke Karnival Jom Masuk U

1:55 PM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia, para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Karnival Jom Masuk U ini merupakan program tahunan Bahagian Pengajian Tinggi yang kini diletakkan dibawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2005. Karnival ini turut menyediakn maklumat akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf.

BPT menggunakan tagline JOM MASUK U bagi memotivasikan para pemohon untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi di Malaysia.

Semasa karnival ini dijalankan, karnival ini berobjektif menjadi pusat sehenti (One Stop Center) bermaklumat kepada kumpulan sasaran seperti pemohon, ibu bapa, guru dan komuniti setempat.

Banyak acara yang bermanfaat akan dijalankan sepanjang karnival tersebut berlangsung. Antaranya ialah pameran IPT yang mengambil bahagian, taklimat kemasukan dan pinjaman dan banyak lagi.

Jadual KARNIVAL JOM MASUK U 2014 Pengajian Tinggi Negara adalah seperti berikut.

1) Terengganu
Lokasi : Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Tarikh : 28 - 29 Mac 2014

2) Perlis 
Lokasi : Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)
Tarikh : 12 - 13 April 2014

3) Sabah
Lokasi : Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Tarikh : 12 - 13 April

4) Sarawak
Lokasi : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Tarikh : 5-6 April 2014

5) Selangor
Lokasi : Universiti Putra Malaysia (UPM)
Tarikh : 5-6 April 2014

6) Johor
Lokasi : Persada Johor
Tarikh : 16 - 17 Ogos 2014

Apa yang perlu anda lakukan di sana?

1. Datang awal untuk mendapatkan pamplet dan brosur daripada semua universiti.
2. Dapatkan maklumat 1st hand daripada mereka. 
3. Dapatkan nombor telefon atau kad pegawai yang bertugas (mudah untuk berurusan selepas acara)
4. Ziarah semua booth untuk dapatkan maklumat.
5. Dapatkan maklumat cara untuk membuat rayuan jika nama tiada dalam UPU.
6. Ziarah booth Pusat Pengajian Kemahiran. Maklumat tersebut sangat berguna apabila kita tidak terpilih di dalam UPU.
7. Luangkan lebih masa untuk mendapatkan maklumat pengajian yang kita pohon di dalam UPU.
8. Singgah di booth PTPTN untuk mendapatkan maklumat pinjaman pelajaran.

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga akan mengadakan JOM MASUK U peringkat KPM. Maklumat adalah seperti berikut.