Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, September 3, 2018

Denai Hati Seorang PJJ

2:08 PM Posted by Lobam No comments
Bila teringat tentang luahan hati seorang rakan yang berjauhan dengan keluarga, membuatkan saya semakin faham erti kerinduan. Bukanlah saya tidak pernah kenal maksud rindu sebelum ini, Cuma bila anak dan isteri berada di hadapan mata, rasa rindu itu tidak sempat merecup. Puing-puing yang berbara, terpadam semula disimbah kasih sayang.

Lama rakan saya terpisah dengan keluarganya. Seorang di Sungai Besar manakala anak-anak dan isteri berada nun jauh di Kelantan. Saban tahun, permohonan pertukarannya sering sahaja terkandas.

Sungguh. Saya antara saksi yang melihat kegigihannya berusaha untuk memastikan permohonan pertukaran itu diluluskan. Panjat pejabat menteri sudah. Berkampung di KPM sudah. Berumah tangga di JPN Kelantan pun sudah. Tapi, permintaannya tetap juga belum dikabulkan.

Kemuncaknya, perasaan saya bergejolak tatkala membaca luahan yang dihantar terus ke peti WhatsApp.

Allahu. Selepas dua minggu bercuti bersama anak isteri, inilah masa yang paling tidak aku gemari, pulang ke Sungai Besar. Biasalah, sebelum pulang, aku perlu berperang dengan emosi dahulu. Terutama dengan anak kecil nan seorang ini. Kalau boleh biar mama dia sahaja yang hantar adik ke rumah mama nenek. Sebab aku sedia maklum, jika aku yang hantar pasti akan ada drama yang mengundang juraian air mata. Air mata aku dan dia.

"Adik bangun lah. Dah pukul 8 dah ni. Abah nak balik Selangor pula. Abah hantar adik ke rumah mama nenek ya?"

Tanpa buka mata, kepalanya digelengkan.

"Lepastu adik nak duduk dengan siapa? Abah nak balik Sungai Besar dah ni."

"Abah lah." Jawab adik ringkas.

            Adik mula menangis. Ya, memang itulah kebiasaannya. Habis sudah skil memujuk digunakan tetapi teriakan adik semakin kuat. Aku sumbat semula botol susu di mulutnya. Dia tenang dalam dakapan lena.

Wajah adik, aku tatap dalam-dalam. Allahu. Entah bila ujian ini akan berakhir. Di saat orang lain dapat melihat segala yang pertama tentang anak mereka, aku pula hanya mampu tersenyum di kejauhan.

“Abah. Adik sudah pandai berjalan.”
“Abah. Adik sudah bercakap.”
“Abah. Adik sudah boleh meniarap.”

Khabar itu hanya mampu aku tatap lewat pesanan ringkas daripada sang isteri. Perlahan-lahan air mata aku menitis.


Waktu sudah semakin lewat. Adik masih lena di pembaringan. Sedangkan banyak lagi kerja yang perlu diberes sebelum aku meninggalkan rumah ini sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi. Andai dikejut, pasti dia menangis.

Aku meletakkan tangan ke atas badan adik. Laju jemariku mencari titik kelemahannya. Geletek dan bergurau. Ada tindak balas. Adik sudah mula senyum dan ketawa.

Allahu. Apakah tergamak untuk aku meninggalkan anak kecil ini disaat dia sangat-sangat memerlukan abahnya di sisi? Aku tidak kuat.

“Abah menangis?” Adik mengelap air mata yang tumpah dengan tangannya.

“Tak. Abah sakit mata.”

Adik bangun lalu mencium mataku. Lama. Luruh lagi manik jernih itu tanpa dapat ditahan.

"Dik. Jom pergi rumah Sadat." Aku cuba bermain kata dengan mengajak adik ke rumah sepupunya.

Ada senyuman terlukis di wajah adik. Umpan aku sudah mengena.

"Tapi dengan syarat. Kena mandi dahulu."

Adik mengangguk. Dia bangun lalu mandi. Siap mandi dan berkemas, adik ingatkan aku semula.

"Abah. Adik nak pergi rumah Sadat, ya."

Aku terdiam. Melayan perasaan yang berperang di dalam dada.

Sampai di bulatan jalan yang akan menghala ke rumah pengasuh, sekali lagi adik bersuara.

"Abah. Adik nak pergi umah Sadat" Ada getaran di hujung suara.

Aku ligat mencari jawapan agar adik tidak menangis.

"Abah nak pergi beli nasi di kedai kawan abah dulu, ya." Sekali lagi aku terpaksa melencongkan kata agar rasanya tidak terguris.

Bila sampai di rumah pengasuh, sedaya upaya untuk aku elak dari bertembung mata dengannya. Tapi apakan daya. Wajah ini hanya aku akan temui dua minggu lagi. Dengan wajah yang sarat emosi, anak kecil itu aku peluk semahunya. Air mata adik semakin galak bertakung. Kelopak matanya berkedip menahan galau. Perlahan-lahan dia berbisik.

" Abah. Abah kata nak hantar adik pergi rumah Sadat. Abah tipu." Akhirnya pecah juga teriakan adik,

Maafkan abah, adik. Tidak ada abah yang sanggup menipu anaknya. Tapi jika abah tidak menipu, hati abah akan sakit. Jiwa adik juga akan terseksa. Biarlah abah terus menipu asalkan kita hidup bahagia. Adik doakan agar abah dapat pindah ya. Kita dapat hidup bahagia Bersama buat selamanya.

Saya tabik kepada semua rakan-rakan yang PJJ. Saya doakan agar kalian tetap tabah menempuh ujian ini. Teruskan usaha. Pantang menyerah.


Wednesday, August 29, 2018

MyTarget di Sinar Harian

12:35 PM Posted by Lobam No comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki.

Siapa sangka, sedikit usaha kami telah mendapat pengiktirafan sehingga mendapat liputan daripada akhbar Sinar Harian.

Syukur ya Allah. Semoga pelajar SMK akan terus sukses dengan modul MyTarget.

Wednesday, August 22, 2018

MyTarget Graf Prestasi Diri

12:10 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat rasul junjungan mulia.


Kerana banyak rungutan yang diterima daripada para pelajar, sekumpulan Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Besar telah mencipta satu modul bagi membantu para pelajar tingkatan 5 memantau perkembangan prestasi pelajaran mereka seterusnya memilih hala tuju pendidikan dan kerjaya selepas SPM.



Program yang dinamakan sebagai MyTarget Graf Prestasi Diri itu, telah membantu ramai pelajar terutamanya pelajar yang ketandusan idea untuk menyambung pelajaran berdasarkan keputusan SPM yang diperoleh.
Modul ini yang menggabungkan beberapa elemen menyokong dan membantu pelajar untuk menjejak prestasi dalam peperiksaan yang diadakan sepanjang tahun seperti, ujian prestasi 1, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan dan peperiksaan SPM sebenar.


MyTarget Graf Prestasi Diri ini yang telah dianugerahkan sebagai Anugerah Amalan Terbaik Kaunseling peringkat daerah Sabak Bernam, menggabungkan beberapa komponen seperti soalan pra dan post, pengiraan mata merit, semak syarat ke universiti dan inventori minat kerjaya menjadi tiang kepada program utama iaitu Graf Prestasi Diri.
Nurulhuda Ramli, ketua Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Besar berkata “modul ini bertepatan dengan 4 fokus utama dalam bidang bimbingan dan kaunseling iaitu Pengurusan Masa Depan & Kerjaya, membantu pelajar untuk memilih arah tuju dan kerjaya dengan jelas dan konsultasi secara percuma akan diberikan untuk menolong mereka fokus kepada penetapan cita-cita.”
Gabungan antara elemen tradisional dan teknologi menjadikan modul ini unik serta meraikan tiga kelompok utama pelajar yang terdiri daripada golongan visual, golongan auditori dan golongan kinestetik.


Tambah Nurulhuda lagi, “diharapkan agar modul MyTarget Graf Prestasi Diri ini akan diterima dan digunapakai oleh semua guru bimbingan dan kaunseling seluruh Malaysia demi membantu pelajar untuk mencapai cita-cita mereka terutamanya menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi.”



Thursday, August 9, 2018

Logo MyTarget Terbaharu

12:33 PM Posted by Lobam No comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. MyTarget sudah ada logo. Harapnya logo ini mampu meningkatkan semangat para pelajar. Syukur.

Yeayyyyy.