Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Thursday, October 9, 2025

MyTarget STEM Julang SMK Sungai Besar

9:28 PM Posted by Lobam No comments

 


Setiap kali berceramah di sekolah rendah, saya akan promosi mereka supaya mereka memohon aliran agama.
Aliran agama ni bukan SABK saja. Termasuklah KBT, TMUA, Ulul Albab dan lain-lain lagi.
Kenapa?
Aliran agama ni peluang mereka sangat luas.
Sebagai contoh.
Murid STEM, mereka bukan hanya boleh memilih aliran STEM tetapi aliran KSI juga.
Murid STEM + agama, mereka bukan hanya boleh memilih aliran STEM + KSI tapi aliran agama juga.
Murid STEM + agama + tahfiz. Masyaallah. Lagi besar peluang mereka. Aliran STEM + KSI + agama + tahfiz.
Hebat, bukan?
Ada yang kata, gabungan tahfiz + aliran lain ni tak munasabah. Sebab dia tak pernah tengok aliran perubatan digabungkan dengan mekanik.
Hek eleh.
Kalau tengok ulama silam yang hafal quran pun ramai yang mahir ilmu dunia:
1. Ibn Sina: Pakar Perubatan, falsafah, astronomi, matematik
2. Jabir Ibn Hayyan: Pakar Kimia, farmasi, fizik
3. Imam Al-Ghazali : Pakar Falsafah, fiqh, tasawwuf, psikologi.
4. Ibn al-Haytham: Pakar Fizik, optik, matematik
dan banyak lagi.
Kalau nak cerita habuan dunia, murid-murid KBT dan MITS di Selangor, mereka dapat elaun tahunan hampir RM2000 tau. Kalau simpan sampai tingkatan 5, senang-senang mereka boleh dapat hampir RM10 ribu.
Ibu ayah tahun 6.
Kalau rasa kecenderungan anak-anak untuk ke aliran agama, galakkan mereka. InsyaAllah takkan rugi.

Pentingnya UASA

9:27 PM Posted by Lobam No comments

 


Mak ayah tingkatan 3.

Bila anak UASA? Cikgu dah bagi jadual?

Mak ayah tahu tak? Tingkatan 3 ni merupakan waktu kritikal untuk anak-anak.

Sebab apa?

Sebab, keputusan UASA dan Psikometrik Inventori Minat Kerjaya anak-anak tu akan menentukan apa aliran mereka masa tingkatan 4 nanti.

Memanglah nampak macam lambat lagi.

Tapi contohlah anak nak jadi doktor. Kalau Matematik, Sains, BI UASA tingkatan 3 mereka hauk, sah sah lah mereka takda peluang nak masuk kelas STEM A.

Bila tak dapat masuk kelas STEM A, macam mana nak jadi doktor?

Walaupun nak masuk kursus perubatan tu lepas SPM nanti. Lagi 2 3 tahun. Lambat lagi, kan? Tapi semuanya bermula dari UASA tingkatan 3, tahu?

Itu sekadar contoh.

Mak ayah.

UASA tingkatan 3 ni memang sangat-sangat penting. Penentuan hala tuju anak-anak ni, bermula masa tingkatan 3.

Bukan dah habis SPM baru nak pilih masuk aliran apa.

Tak tahu kecenderungan anak?

Begitulah.


Hentikan Buli

9:24 PM Posted by Lobam No comments

 

  





Kadang-kadang bila kita sebut pasal buli, orang akan terus bayang budak kena pukul, kena tendang, kena belasah. Itu memang jelas nampak depan mata. Tapi sebenarnya, buli ni banyak wajahnya. Ada yang kita nampak, ada yang senyap-senyap je, tapi pedihnya tetap sama.

Saya pernah jumpa kes, budak tak nak pergi sekolah bukan sebab malas belajar, tapi sebab setiap hari dia kena ejek dengan perkataan yang menjatuhkan maruah.

Ada juga murid yang duduk termenung sorang-sorang sebab kawan-kawan lain sepakat memulaukan dia.

Ada yang lagi teruk, sanggup minta duit harian kawan, jadikan kawan tu macam orang suruhan.

Buli ni ada 5 kategori yang biasa berlaku di sekolah:
1️⃣ Peras ugut – minta duit, sorok barang mangsa, jadikan orang lain hamba suruhan.
2️⃣ Memulau – tak bagi masuk kumpulan, asingkan meja, sorokkan beg atau kasut.
3️⃣ Fizikal – pukul, tendang, cubit.
4️⃣ Lisan – ejek, mencarut.
5️⃣ Isyarat bukan lisan – jeling, jelir lidah, buat isyarat lucah.

Mungkin bagi yang buat, mereka anggap itu gurauan. Tapi bagi yang kena, luka tu bukan sehari dua. Ada yang terbawa sampai ke alam dewasa. Ada yang jadi trauma. Ada yang hilang keyakinan diri.

Sebab itu kita tak boleh ambil mudah. Jangan sesekali anggap “alah, budak-budak biasalah.”

Buli tetap buli.

Ingat! Kalau anak-anak mengadu. Jangan diam.

Begitulah.


Tuesday, January 3, 2023

PERMOHONAN KEMASUKAN KE PROGRAM MATRIKULASI KPM 2023/2024

7:42 PM Posted by Lobam No comments

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Perhatian kepada murid-murid SPM 2022, permohonan kemasukan ke Program Matrikulasi KPM 2023/2024 akan dibuka pada ketetapan seperti berikut:


Tarikh permohonan:

16 Januari (Isnin) hingga 16 April (Ahad) 2023


Jurusan yang ditawarkan:

1. Jurusan Sains

2. Jurusan Kejuruteraan

3. Jurusan Perakaunan

4. Jurusan Perakaunan Profesional


Laman web permohonan:

https://matrikulasi.moe.gov.my


Jangan lupa untuk memohon ya. Kalau pening kepala tak tahu nak pilih yang mana, jumpalah Guru Bimbingan dan Kaunseling kalian.


Jangan lupa Follow TikTok saya ya.



Terima kasih 😁😁😁






Wednesday, October 30, 2019

Filem Poorna (2017)

9:49 PM Posted by Lobam No comments



Poorna (2017)

(Spoiler alert)

Saya baru lepas menonton Filem Poorna, sebuah filem yang sangat memberi inspirasi.

Filem ini mengisahkan Poorna, seorang kanak-kanak yang datang daripada keluarga yang miskin. Dia dan sepupunya, Priya dihalang untuk masuk ke kelas kerana ibu bapa mereka tidak mampu untuk membayar yuran.

Poorna dan Priya mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi. Mereka juga mempunyai minat yang sama iaitu mendaki bukit.

Kerana dihimpit kemiskinan, Priya terpaksa dikahwinkan tanpa rela. Tinggallah Poorna yang pada waktu itu berusia 12 tahun keseorangan dengan penuh kekecewaan.

Kerana tidak mampu lagi meneruskan persekolahan, Poorna telah dihantar ke sekolah lain yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Pembelajaran dan penginapan di sekolah itu, disediakan secara percuma.

Tapi sayang. Mentaliti guru-guru di sekolah itu membuatkan keadaan dan situasi menjadi semakin buruk. Para pelajar dihidang dengan makanan yang busuk. Malah sesi pengajaran dan pembelajaran juga dilakukan secara sambalewa.

Sehinggalah satu ketika, apabila sekolah itu menerima pentadbir yang baru, iaitu Dr. R.S Praveen Kumar. Seorang polis yang berpengaruh tetapi memilih untuk menjadi pentadbir.

Ketika Praveen Kumar berada di sekolah itu, Poorna telah melarikan diri kerana tidak tahan dengan situasi dan kondisi sekolah barunya.

Parveen Kumar, dengan kuasa yang ada, telah memecat semua guru dan pengusaha kantin kerana ketidak amanah dan jujur mereka dalam melaksanakan tugas. Hal ini membuatkan masing-masing tersentak. Akhirnya, situasi sekolah itu bertukar 360°.

Pada suatu hari, ketika cuti semester mejelma, Priya telah menghubungi Poorna agar tidak pulang ke kampung kerana ibu bapa Poorna mempunyai perancangan yang besar. Mereka bercadang untuk menikahkan Poorna dengan jejaka pilihan keluarga.

Untuk lari dari masalah itu, Poorna memilih untuk mengikuti ekspidisi rock climbing yang diadakan. Sesuai dengan minat dan kecenderungan, semasa dalam program itu, kehebatan Poorna semakin menyerlah, sehinggakan Poorna telah dipilih menjadi pelatih terbaik bersama seorang lagi pelatih lelaki, Anand Kumar.

Kerana kagum dengan kehebatan mereka, Parveen Kumar, telah berjanji untuk membuka peluang yang lebih besar dan luas kepada mereka berdua, demi mengasah potensi dan mengembangkan bakat yang ada pada Poorna dan Anand.

Tanpa dirancang, akhirnya tercetus sebuah idea untuk melancarkan ekspidisi menawan gunung Everest. Fuhhh. Bukan calang-calang ni.

Dengan pengaruh yang ada pada Parveen Kumar, akhirnya, dia berjaya untuk meyakinkan CM dan menteri agar meluluskan sejumlah peruntukan yang besar bagi merealisasikan ekspidisi menawan gunung Everest ini.

Semasa sedang giat berlatih, Poorna telah menerima satu berita yang mengejutkan. Priya didapati kritikal kerana mengandung anak kembar. Seorang bayi tidak dapat diselamatkan manakala seorang lagi berjaya dilahirkan.

Sekali lagi musibah melanda apabila Priya yang amat disayangi, akhirnya pergi meninggalkan Poorna.

Pemergiaan Priya membuatkan motivasi Poorna menjunam hingga ke tahap paling bawah. Sehinggakan Poorna memilih untuk menarik diri daripda meneruskan ekspidisi ini.

Akhirnya, sepucuk surat yang ditulis oleh Priya sebelum dia kritikal, telah mengubah segalanya.

Dipendekkan cerita, setelah menempuh ujian demi ujian, kesudahannya, Poorna telah berjaya mencipta sejarah sebagai kanak-kanak perempuan pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak gunung Everest pada usia 13 tahun.

Jujurnya, bagi saya filem ini sangat memberi inspirasi. Ada beberapa perkara yang menyentuh hati saya.

1. Ketabahan dan kegigihan seorang guru memberi inspirasi dan dorongan kepada pelajarnya sehingga pelajar itu disanjung seluruh dunia.

2. Sikap tidak mudah putus asa yang ada pada Poorna. Bukan kerana dia hebat, tidak. Tetapi cita-cita dan impian dia menjadi faktor penolakan untuk dia berjaya.

3. Saat berada pada titik nol motivasi, semangat yang didorong oleh orang sekeliling akan meletakkan seseorang itu dipuncak.

4. Ayah Poorna sanggup mengambil risiko dan memberi sokongan kepada Poorna walaupun dia tahu, sesuatu yang buruk mungkin bakal terjadi.

Kalau kalian tanya, berbaloi tak tonton filem ini, bagi saya berbaloi. Kalau nak dibandingkan dengan Super 30, Raatsachi, Poorna ini agak sedikit ketinggalan. Tetapi Poorna ada rencah tersendiri sehingga menjadikan filem ini patut ditonton oleh semua.

Poorna
2017
1 jam 40 minit
IMDb 7.8/10
Rotten Tomatoes 100%

Monday, September 3, 2018

Denai Hati Seorang PJJ

2:08 PM Posted by Lobam No comments
Bila teringat tentang luahan hati seorang rakan yang berjauhan dengan keluarga, membuatkan saya semakin faham erti kerinduan. Bukanlah saya tidak pernah kenal maksud rindu sebelum ini, Cuma bila anak dan isteri berada di hadapan mata, rasa rindu itu tidak sempat merecup. Puing-puing yang berbara, terpadam semula disimbah kasih sayang.

Lama rakan saya terpisah dengan keluarganya. Seorang di Sungai Besar manakala anak-anak dan isteri berada nun jauh di Kelantan. Saban tahun, permohonan pertukarannya sering sahaja terkandas.

Sungguh. Saya antara saksi yang melihat kegigihannya berusaha untuk memastikan permohonan pertukaran itu diluluskan. Panjat pejabat menteri sudah. Berkampung di KPM sudah. Berumah tangga di JPN Kelantan pun sudah. Tapi, permintaannya tetap juga belum dikabulkan.

Kemuncaknya, perasaan saya bergejolak tatkala membaca luahan yang dihantar terus ke peti WhatsApp.

Allahu. Selepas dua minggu bercuti bersama anak isteri, inilah masa yang paling tidak aku gemari, pulang ke Sungai Besar. Biasalah, sebelum pulang, aku perlu berperang dengan emosi dahulu. Terutama dengan anak kecil nan seorang ini. Kalau boleh biar mama dia sahaja yang hantar adik ke rumah mama nenek. Sebab aku sedia maklum, jika aku yang hantar pasti akan ada drama yang mengundang juraian air mata. Air mata aku dan dia.

"Adik bangun lah. Dah pukul 8 dah ni. Abah nak balik Selangor pula. Abah hantar adik ke rumah mama nenek ya?"

Tanpa buka mata, kepalanya digelengkan.

"Lepastu adik nak duduk dengan siapa? Abah nak balik Sungai Besar dah ni."

"Abah lah." Jawab adik ringkas.

            Adik mula menangis. Ya, memang itulah kebiasaannya. Habis sudah skil memujuk digunakan tetapi teriakan adik semakin kuat. Aku sumbat semula botol susu di mulutnya. Dia tenang dalam dakapan lena.

Wajah adik, aku tatap dalam-dalam. Allahu. Entah bila ujian ini akan berakhir. Di saat orang lain dapat melihat segala yang pertama tentang anak mereka, aku pula hanya mampu tersenyum di kejauhan.

“Abah. Adik sudah pandai berjalan.”
“Abah. Adik sudah bercakap.”
“Abah. Adik sudah boleh meniarap.”

Khabar itu hanya mampu aku tatap lewat pesanan ringkas daripada sang isteri. Perlahan-lahan air mata aku menitis.


Waktu sudah semakin lewat. Adik masih lena di pembaringan. Sedangkan banyak lagi kerja yang perlu diberes sebelum aku meninggalkan rumah ini sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi. Andai dikejut, pasti dia menangis.

Aku meletakkan tangan ke atas badan adik. Laju jemariku mencari titik kelemahannya. Geletek dan bergurau. Ada tindak balas. Adik sudah mula senyum dan ketawa.

Allahu. Apakah tergamak untuk aku meninggalkan anak kecil ini disaat dia sangat-sangat memerlukan abahnya di sisi? Aku tidak kuat.

“Abah menangis?” Adik mengelap air mata yang tumpah dengan tangannya.

“Tak. Abah sakit mata.”

Adik bangun lalu mencium mataku. Lama. Luruh lagi manik jernih itu tanpa dapat ditahan.

"Dik. Jom pergi rumah Sadat." Aku cuba bermain kata dengan mengajak adik ke rumah sepupunya.

Ada senyuman terlukis di wajah adik. Umpan aku sudah mengena.

"Tapi dengan syarat. Kena mandi dahulu."

Adik mengangguk. Dia bangun lalu mandi. Siap mandi dan berkemas, adik ingatkan aku semula.

"Abah. Adik nak pergi rumah Sadat, ya."

Aku terdiam. Melayan perasaan yang berperang di dalam dada.

Sampai di bulatan jalan yang akan menghala ke rumah pengasuh, sekali lagi adik bersuara.

"Abah. Adik nak pergi umah Sadat" Ada getaran di hujung suara.

Aku ligat mencari jawapan agar adik tidak menangis.

"Abah nak pergi beli nasi di kedai kawan abah dulu, ya." Sekali lagi aku terpaksa melencongkan kata agar rasanya tidak terguris.

Bila sampai di rumah pengasuh, sedaya upaya untuk aku elak dari bertembung mata dengannya. Tapi apakan daya. Wajah ini hanya aku akan temui dua minggu lagi. Dengan wajah yang sarat emosi, anak kecil itu aku peluk semahunya. Air mata adik semakin galak bertakung. Kelopak matanya berkedip menahan galau. Perlahan-lahan dia berbisik.

" Abah. Abah kata nak hantar adik pergi rumah Sadat. Abah tipu." Akhirnya pecah juga teriakan adik,

Maafkan abah, adik. Tidak ada abah yang sanggup menipu anaknya. Tapi jika abah tidak menipu, hati abah akan sakit. Jiwa adik juga akan terseksa. Biarlah abah terus menipu asalkan kita hidup bahagia. Adik doakan agar abah dapat pindah ya. Kita dapat hidup bahagia Bersama buat selamanya.

Saya tabik kepada semua rakan-rakan yang PJJ. Saya doakan agar kalian tetap tabah menempuh ujian ini. Teruskan usaha. Pantang menyerah.


Wednesday, August 29, 2018

MyTarget di Sinar Harian

12:35 PM Posted by Lobam No comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki.

Siapa sangka, sedikit usaha kami telah mendapat pengiktirafan sehingga mendapat liputan daripada akhbar Sinar Harian.

Syukur ya Allah. Semoga pelajar SMK akan terus sukses dengan modul MyTarget.