Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Wednesday, October 30, 2019

Filem Poorna (2017)

9:49 PM Posted by Lobam No comments



Poorna (2017)

(Spoiler alert)

Saya baru lepas menonton Filem Poorna, sebuah filem yang sangat memberi inspirasi.

Filem ini mengisahkan Poorna, seorang kanak-kanak yang datang daripada keluarga yang miskin. Dia dan sepupunya, Priya dihalang untuk masuk ke kelas kerana ibu bapa mereka tidak mampu untuk membayar yuran.

Poorna dan Priya mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi. Mereka juga mempunyai minat yang sama iaitu mendaki bukit.

Kerana dihimpit kemiskinan, Priya terpaksa dikahwinkan tanpa rela. Tinggallah Poorna yang pada waktu itu berusia 12 tahun keseorangan dengan penuh kekecewaan.

Kerana tidak mampu lagi meneruskan persekolahan, Poorna telah dihantar ke sekolah lain yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Pembelajaran dan penginapan di sekolah itu, disediakan secara percuma.

Tapi sayang. Mentaliti guru-guru di sekolah itu membuatkan keadaan dan situasi menjadi semakin buruk. Para pelajar dihidang dengan makanan yang busuk. Malah sesi pengajaran dan pembelajaran juga dilakukan secara sambalewa.

Sehinggalah satu ketika, apabila sekolah itu menerima pentadbir yang baru, iaitu Dr. R.S Praveen Kumar. Seorang polis yang berpengaruh tetapi memilih untuk menjadi pentadbir.

Ketika Praveen Kumar berada di sekolah itu, Poorna telah melarikan diri kerana tidak tahan dengan situasi dan kondisi sekolah barunya.

Parveen Kumar, dengan kuasa yang ada, telah memecat semua guru dan pengusaha kantin kerana ketidak amanah dan jujur mereka dalam melaksanakan tugas. Hal ini membuatkan masing-masing tersentak. Akhirnya, situasi sekolah itu bertukar 360°.

Pada suatu hari, ketika cuti semester mejelma, Priya telah menghubungi Poorna agar tidak pulang ke kampung kerana ibu bapa Poorna mempunyai perancangan yang besar. Mereka bercadang untuk menikahkan Poorna dengan jejaka pilihan keluarga.

Untuk lari dari masalah itu, Poorna memilih untuk mengikuti ekspidisi rock climbing yang diadakan. Sesuai dengan minat dan kecenderungan, semasa dalam program itu, kehebatan Poorna semakin menyerlah, sehinggakan Poorna telah dipilih menjadi pelatih terbaik bersama seorang lagi pelatih lelaki, Anand Kumar.

Kerana kagum dengan kehebatan mereka, Parveen Kumar, telah berjanji untuk membuka peluang yang lebih besar dan luas kepada mereka berdua, demi mengasah potensi dan mengembangkan bakat yang ada pada Poorna dan Anand.

Tanpa dirancang, akhirnya tercetus sebuah idea untuk melancarkan ekspidisi menawan gunung Everest. Fuhhh. Bukan calang-calang ni.

Dengan pengaruh yang ada pada Parveen Kumar, akhirnya, dia berjaya untuk meyakinkan CM dan menteri agar meluluskan sejumlah peruntukan yang besar bagi merealisasikan ekspidisi menawan gunung Everest ini.

Semasa sedang giat berlatih, Poorna telah menerima satu berita yang mengejutkan. Priya didapati kritikal kerana mengandung anak kembar. Seorang bayi tidak dapat diselamatkan manakala seorang lagi berjaya dilahirkan.

Sekali lagi musibah melanda apabila Priya yang amat disayangi, akhirnya pergi meninggalkan Poorna.

Pemergiaan Priya membuatkan motivasi Poorna menjunam hingga ke tahap paling bawah. Sehinggakan Poorna memilih untuk menarik diri daripda meneruskan ekspidisi ini.

Akhirnya, sepucuk surat yang ditulis oleh Priya sebelum dia kritikal, telah mengubah segalanya.

Dipendekkan cerita, setelah menempuh ujian demi ujian, kesudahannya, Poorna telah berjaya mencipta sejarah sebagai kanak-kanak perempuan pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak gunung Everest pada usia 13 tahun.

Jujurnya, bagi saya filem ini sangat memberi inspirasi. Ada beberapa perkara yang menyentuh hati saya.

1. Ketabahan dan kegigihan seorang guru memberi inspirasi dan dorongan kepada pelajarnya sehingga pelajar itu disanjung seluruh dunia.

2. Sikap tidak mudah putus asa yang ada pada Poorna. Bukan kerana dia hebat, tidak. Tetapi cita-cita dan impian dia menjadi faktor penolakan untuk dia berjaya.

3. Saat berada pada titik nol motivasi, semangat yang didorong oleh orang sekeliling akan meletakkan seseorang itu dipuncak.

4. Ayah Poorna sanggup mengambil risiko dan memberi sokongan kepada Poorna walaupun dia tahu, sesuatu yang buruk mungkin bakal terjadi.

Kalau kalian tanya, berbaloi tak tonton filem ini, bagi saya berbaloi. Kalau nak dibandingkan dengan Super 30, Raatsachi, Poorna ini agak sedikit ketinggalan. Tetapi Poorna ada rencah tersendiri sehingga menjadikan filem ini patut ditonton oleh semua.

Poorna
2017
1 jam 40 minit
IMDb 7.8/10
Rotten Tomatoes 100%

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment