Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Thursday, January 30, 2014

Mencari Hikmah Tsunami di Banda Aceh 1

5:54 PM Posted by Lobam , 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.


Menikmati halwa telinga bertajuk Aneuk Yatim dendangan Rafly membuatkan fikiran saya jauh melayang ke bumi serambi Mekah - Aceh. Setiap bait kata yang didendangkan dengan alunan 'jiwa' yang melankolik menjentik atma membawa perasaan jauh melayang. Setiap detik yang berlaku bergentayangan di birai mata ibarat sekeping tirai yang terpapar padanya setiap peristiwa dan wayang gambar yang memaparkan filem di atas kanvas putih.


Tatkala menjejakkan kaki ke Masjid Raya Baiturrahman, sang mentari seakan terasa ingin kembali ke pemakamannya dan jalur terik memancarkan warna jingga seakan malu untuk terus menyebarkan serakkan hawa panas ke seluruh bumi Banda Aceh. Saya tempempan melihat masjid yang menjadi bukti keagungan Allah ini. Air mula bergenang di tubir mata seakan menari untuk turun menelusuri pipi. Ternyata Baiurrahman ini masih berdiri megah selepas Aceh dipalit duka 9 tahun yang lalu. Kasih Allah kepada rumah-Nya menjadi mukjizat dalam perkembangan Islam seantero dunia. Tatkala seluruh binaan di sekelilingnya jatuh gugur mencium bumi, Baiturrahman tegak khali tetap utuh di permukimannya. Kecintaan Allah kepada rumah-Nya dirakam melalui lisan baginda rasul tercinta.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
Daripada Abu Hurairah r.a berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Bahagian negeri yang paling Allah cintai ialah masjid-masjidnya dan bahagian negeri yang paling Allah benci ialah pasar-pasarnya.
Sumber : http://hoesada165.blogspot.com/2013/06/10-bandara-udara-indonesia-dengan.html
Ini kali pertama kami menjejakkan kami ke bumi barakah ini. Saat pesawat memasuki ruang udara Aceh, kehijauan sawah padi menyambut kehadiran kami. Kedamaian dan ketenangan dapat dirasai sejak berada di awangan lagi. Sewaktu tayar pesawat mula bergolek mencecah landasan pacu lapangan Bandara Sultan Iskandar Muda, sejuta kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi kerana terpilih untuk mencari hikmah tsunami di bumi bertuah ini. Ruang dan peluang ini terbuka apabila menerima ajakan daripada adik ipar saya. Melihatkan masih ada sedikit rezeki untuk saya membawa anak dan isteri, pelawaan itu langsung diterima.

Perjalanan dari Bandara ( Bandar Udara ) ke kota Banda Aceh memakan masa sekitar setengah jam. Perjalanan kami dipayungi dengan pepohon yang merimbun di sepanjang perjalanan. Suasana itu memberi impresi pertama yang sangat menarik. Jalan raya yang bersih serta pohonan yang menghijau menambah keasyikan.

Sumber : http://namasayafi.blogspot.com/
Ketenanganku dicantas saat melewati tanah perkuburan terbesar mangsa tsunami di Aceh. Simbolik tsunami digambarkan dengan binaan pagar berbentuk gelombang dengan tulisan khat Kun Fayakun benar-benar memberi keinsafan. Seakan terdengar teriakan mangsa-mangsa tsunami seperti yang dipaparkan di dalam filem The Imposible mahupun ratusan rakaman yang ditayangkan di Youtube. Ada anak yang kehilangan ibu dan ada juga isteri kehilangan suami. Malah lebih tragis apabila seluruh keturunan dihapuskan dengan kederasan arus yang membadai.


Langsung terlintas di fikiran, APA SEBENARNYA MILIK KITA? Harta? Rumah? Anak yang ramai? Isteri yang cantik? Semuanya milik sementara. Harta yang diwarisi sejak 7 keturunan lebur menjadi kenangan. Anak-anak yang dibanggakan semua hanyut tidak dapat dikesan. Isteri yang cantik disalut dengan kemewahan, hilang tanpa kuburan. Aduh. Yang menjadi milik kita hanya harta yang kita belanjakan di jalan Allah. Untunglah jika banyak yang telah kita laburkan. Jika sedikit, itulah yang kita bawa untuk dijadikan bekalan.


Sahabat kami, Ustaz Azmi ada bercerita. Kebanyakan yang hanyut dan mati adalah mereka yang berada di rumah. Tidak hairan jika ramai wanita yang menjadi korban. Anak-anak kehilangan ibu dan suami kehilangan isteri. Hiba bila mengenangkan seisi keluarga lenyap sekelip mata. Tanpa sempat memohon maaf dan tiada kalam terakhir sebagai penutup bicara. Malah kuburan juga tidak bertanda. Semuanya sama.


Sewaktu bercanda di dataran Baiturrahman bersama anak-anak sementara menanti isteri dan keluarga menunaikan solat asar, saya sempat mendengar cerita dari saudara saya yang mengajar dan belajar di sana. Menurutnya Baiturrahman menjadi lambang kekuasaan Allah apabila air yang menggila yang membawa batuan dan kayu-kayan langsung tidak mencederakan Baiturrahman yang mulia. Menurutnya lagi, air yang pada waktu itu tingginya menutupi rumah satu tingkat langsung tidak menjengah ke ruang solat masjid. Seakan-akan masjid itu diangkat dan air yang lalu sekadar bermain-main di tangga. Jika mengikut akal manusia yang terbatas, dengan keadaan air setinggi itu agak mustahil jika air tidak menerobos masuk ke dalam masjid. Sudah ditakdirkan Allah, Baiturrahman dipelihara sebaik-baiknya. Bukan sahaja Masjid Raya yang dipelihara malah seluruh isi yang berlindung di dalam perutnya turut berada di bawah naungan Allah. Subhanallah. Malah diceritakan dari mulut ke mulut, seorang lelaki berbangsa Cina turut menjadi saksi keajaiban itu lantas membuka ruang kepada beliau untuk kembali kepada agama fitrah. Alhamdulillah.



Menurut penduduk setempat, gelombang yang melanda sekitar Baiturrahman tidaklah sekeras gelombang di kawasan-kawasan lain memandangkan kota Banda Aceh terletak sedikit jauh daripada pantai. Tetapi dengan kedalaman air setinggi sebuah rumah mampu merenggut nyawa sesiapa sahaja tanpa mengira batas usia. Malah Pasar Atjeh (Aceh ) yang terletak betul-betul di sebelah Masjid Raya juga mengalami kerosakan yang teruk. Timbunan batu dan kayu yang dibawa oleh arus yang kuat menyapu apa sahaja yang menghalangi pergerakannya.


Usai menunaikan solat asar kami sekeluarga bercanda di laman masjid yang tenang sementelah melihat kumpulan kanak-kanak dengan berpakaian seragam sekolah penuh kegirangan. Mereka berada di dalam usrah diketuai seorang naqib atau naqibah bertemankan papan hijau dan kapur. Rupa-rupanya selepas pulang dari sekolah mereka mengikuti pengajian agama di taman sekeliling masjid. Teringat saya kepada suasana seakan sama di Masjidil Haram. Seusai imam memberi salam berbondong-bondong kanak-kanak merapati tuan guru mereka seperti sang semut mengerumuni timbunan gula. Oh indahnya saat pada waktu itu. Saya kira, sekeras mana pun hati seseorang itu, jika dia melihat suasana kedamaian dan merasai  ketenangan di sekitar Baiturrahman pasti akan menjentik naluri kemanusiaan mereka.


Tambah meriah apabila anak-anak ditemani ibu bapa memenuhi masa senggang dengan memberi makan ikan yang berada di kolam hadapan Masjid Raya. Kelihatan juga para penjual dengan barang makanan yang pelbagai rupa memujuk para wisata dan penduduk lokal membeli barang dagangan mereka.



Tertarik kami kepada satu makanan tradisi yang dinamakan Pempek. Makanan asli Palembang yang berasaskan ikan itu rasanya seakan keropok lekor tetapi diimrpovisasi dengan rasa sesuai dengan lidah penduduk tempatan. Harganya pula sekitar 3,000 rupiah sahaja. Selain itu kami juga menikmati apam balik Indonesia. Rasanya jauh lebih enak berbanding apam balik di Malaysia ditambah pula dengan perasa seperti kacang hitam, coklat dan sebagainya. Saya sangat mencadangkan agar anda mencuba makanan  ini jika ke sana.

Suasana masjid lebih hidup pada waktu malam. Bukan sahaja ceramah yang disampaikan menarik minat jemaah tetapi persekitaran masjid sendiri ibarat pesta. Kanak-kanak riang gembira berlari tanpa kenal erti penat dan ibu bapa tenang berbual mesra.



Selepas menunaikan jamak taqdim maghrib dan isyak kami bertolak untuk menjamu selera. Pilihan kami sudah tentu makanan panas atau makanan masak segera. Tetapi pada waktu malam agak sukar mencari restoran sedemikian. Akhirnya Restoran Bunda Minang Melayu yang terletak kurang 1 km dari Masjid Raya menjadi pilihan kami. Cara hidangannya sama seperti restoran kebanyakan sama ada di Jakarta mahupun di Bandung. Lauk pauk dihidang di atas meja dan kita hanya membayar apa yang dimakan sahaja. Pelbagai jenis masakan yang dihidang. Jujurnya bagi saya masakan di restoran ini kurang enak. Mungkin lauknya dimasak pada waktu pagi dan dibawa hingga ke malam. Ada sesetengah lauk seperti paru berlado terasa sangat keras. Ternyata kami membayar harga yang tidak berbaloi. 500,00 rupiah atau sekitar RM 150.00 untuk 10 orang. Jika dihitung seorang dikenakan bayaran sekitar RM 15.00 tetapi memandangkan apa yang kami makan tidak padan dengan harga yang dibayar masing-masing terasa sangat ralat. Bukan wang yang menjadi ukuran tetapi kepuasan menikmati hidangan itu yang diutamakan. Biarlah harganya 1 juta rupiah sekalipun asalkan apa yang dimakan berbaloi dengan apa yang dibayar.

Sesudah itu kami meneruskan perjalanan dengan menelusuri kota Banda Aceh menyebak sisi kehidupan malam warga kota Serambi Mekah. Ternyata kehidupan malamnya sama seperti kota-kota yang lain tetapi tiada pusat-pusat hiburan dibenarkan beroperasi di sana. Selepas beberapa ketika kami langsung pulang ke hotel untuk melelapkan mata.

Selepas menghenyakkan diri di atas tilam empuk, mata saya masih belum diserang kantuk. Mungkin perubahan suasana persekitaran menyebabkan saya sukar untuk tidur. Memandangkan malam dikira masih muda, langsung saya menyarung seluar dan keluar mencari apa yang saya hajati.

Dengan menaiki beca motorsikal saya membelah malam bersama supir yang peramah. Menurutnya, disebut tsunami sahaja, bulu romanya sudah menegak. Apatah lagi mula bercerita. Katanya saat dilanda tsunami, beliau terapung entah berapa lama. Tangannya sempat memaut seorang kanak-kanak kecil tetapi pegangan itu terlepas tidak berapa lama. Yang pastinya anak itu lemas dan mati di hadapan matanya. Saya sendiri dapat merasakan yang supir itu sangat rasa tertekan. Ada riak bersalah di wajahnya.

Lokasi pertama yang saya tuju ialah Zikraa. Antara toko buku yang besar di Banda Aceh. Pemburuan buku Rantau 1 Muara karya A.Fuadi dan 99 Cahaya di Langit Eropa karya Hanum Rais tidak saya ketemu. Hari pertama misi saya tidak berjaya. Insya-Allah esok masih ada.

Jumpa lagi di bahagian kedua. Insya-Allah.

Wednesday, January 22, 2014

Cerpen Terima Kasih Guru

9:02 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat paling berharga iaitu Iman dan Islam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait baginda.


Sebelum ini saya ada menulis satu entri mengenai Majlis Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia. Pada majlis itu saya telah memenangi hadiah saguhati Sayembara Penulisan Kreatif ( Cerpen Berunsur Islam ) Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ratusan penyertaan telah diterima dan 13 cerpen terbaik telah dipilih.

Pemilihan yang yang ketat melibatkan juri-juri yang hebat. Antaranya ialah :


Penerima Anugerah Sea Write 2010 iaitu Tuan Zainal Palit ( Zaen Kasturi ) selaku ketua juri.


Pemenang Hadiah Sastera Utusan - Public Bank lima kali, Profesor Madya Mawar binti Shafie.


Panel Penilai Sayembara Menulis Esei dan Cerpen, Tuan Hj Azman bin Hj Ahmad ( Ibn Ahmad al-Kurauwi)


Panel Syariah dipantau oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Dr. Zulkifli bin Mohammad al-Bakri

Saya kongsikan di sini cerpen yang bertajuk, Terima Kasih Guru. Semoga ada manfaatnya.


Terima Kasih Guru
Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
PAGI ini aku ke kuliah seperti selalu. Biasanya aku menaiki tremco- sejenis van membawa penumpang. Tetapi sejak seminggu yang lalu, aku memilih untuk menaiki keretapi. Perjalanan daripada Bandar Shibin el-Kom ke Kota Tanta yang mengambil masa selama satu jam  memaksa aku bertolak seawal jam 7 pagi, untuk memastikan aku sampai ke kuliah sebelum jam 9. Berada di puncak waktu perubahan musim sejuk kepada panas tidak begitu menyeksakan. Udaranya yang nyaman, tidak terlalu sejuk dan panas bukan menjadi penghalang untuk aku bersiap di awal pagi. Walaupun mentari masih malu menampakkan diri tetapi bandar Shibin yang menampung hampir empat ratus ribu penduduk ini sudah mula sesak. Penumpang sudah memenuhi mahattoh qodim.
Gerabak terakhir aku dekati. Aku terpaksa mengasak sekumpulan pemuda arab untuk menaiki keretapi. Bukan tidak mahu beratur, tetapi itu bukan budaya masyarakat Mesir. Jika aku tunjukkan sikap berlemah lembut dan bersopan santun yang ada pada diri setiap rakyat Malaysia pasti aku tidak mendapat tempat di dalam tren. Mata meliar mencari tempat. Mungkin ada. Ekor mata memandang tepat pada seorang wanita tua yang duduk dan diletakkan disebelahnya sebungkus sayuran. Alhamdulillah setelah meminta izin aku dibenarkan duduk. Bungkusan sayuran itu diletakkan di bawah.  Jika tidak, pasti aku terpaksa berdiri dalam menempuhi perjalanan ke Kota Tanta yang memakan masa hampir satu jam itu. Seusai membayar tambang sebanyak 75 piasters, aku terus membuka al-Quran yang sentiasa dibawa kemana-mana. Tren mula bergerak.
Sedang asyik aku menghafaz Al-Quran, ketenangan aku tiba-tiba dicantas. Di hadapanku berdiri seorang pemuda berbangsa arab sambil menyuakan sebungkus tisu kepadaku. Hampir sepanjang seminggu permusafiranku akan terjumpa dengan empunya wajah yang kacak ini, saling tidak tumpah seperti penyanyi hebat Mesir-Amru Diab. Kecantikan yang tersembunyi di sebalik kecomotan. Mungkin umurnya dalam lingkungan awal 20-an dugaku. Tapi malang nasibnya, pemuda itu hanya menjual tisu. Astaghfirullahalazim. Lain pula yang aku fikir. Tanpa berlengah aku menyeluk saku lalu memberinya wang sebanyak 50 piasters tanpa mengambil tisu yang diberi. Pemuda itu pun berlalu. Pergi ke penumpang yang lain pula. Pada riak wajahnya tergambar keperitan hidup yang ditanggungi. Bukan sekali, malah sudah seminggu aku menatap wajahnya yang kusam itu. Bukan tidak ada orang yang meminta sedekah dengan menjadikan tisu sebagai alasan tetapi rutin pemuda itu begitu memberi kesan padaku.
Aku memasukkan semula Al-Quran ke dalam poket baju melayu. Kopiah yang tersarung kemas di kepala aku letakkan di paha. Lantas rambut lebatku terbang mengurai mengikut tiupan pawana yang membelai. Angin yang menderu begitu asyik sehingga membawaku mengimbau kenangan lama.
            Tiba-tiba kapal terbang kertas hinggap di kepala. Muncungnya tepat mengenai kening sebelah kiriku. Bingung. Mata meliar mencari dari manakah tempat perlepasannya. Di hadapan kelas, Cikgu Maimunah- guru mata pelajaran Bahasa Melayu, berbadan gempal dan hujung tudungnya selalu dililit di leher, sedang menulis nota di papan hitam. Dalam keripuhan mencari siapakah yang membaling kapal terbang kertas itu, tiba-tiba Cikgu Maimunah berpaling ke belakang. Kapal terbang kertas yang ku pegang kejap tidak sempat disorokkan. Lalu teriakan yang maha hebat bergema.
“ Razman!!! Masih bermain kapal terbang kertas?” pandangan matanya dilempar ke arahku. Langkahnya dihayun pantas. Sudah dapatku agak kemana arah hayunan langkah kakinya. Lantas dua jarinya yang besar itu mendapatkan telinga capangku lalu dipulasnya.
“ Ini bukan kali pertama. Kamu selalu leka ketika pengajaran sedang dijalankan. Banyak main. Tidakkah kamu terfikir tentang SPM yang bakal menjelma. Jika ini sikap kamu, terimalah balasannya nanti” panjang lebar ceramahnya. Matanya masih tepat memandangku. Tangannya dicekak ke pinggang. Jelas sekali kelihatan dadanya berombak turun dan naik menahan kemarahan.
“ Tapi cikgu, saya tidak bersalah” aku cuba mempertahankan diri tetapi kata-kataku dicantas dengan jegilan matanya.
“Saya hanya...” suaraku melirih hiba. Aku faham dan tahu dia sedang marah. Aku bukanlah seorang yang jahat tetapi mungkin sedikit nakal. Mataku semakin redup. Pandangan diturunkan dan meletakkan penglihatanku ke arah muncung kasut. Tiba-tiba malu menguasai diri. Masakan tidak, diherdik di hadapan pelajar-pelajar lain di dalam kelas satu perkara yang menyakitkan.
Sesekali tren yang aku naiki terhuyung-hayang. Angin yang menerobos melalui jendela yang terbuka sedikit mengganggu dan  menambahkan kesejukan pagi yang menggigit tulang. Mungkin faktor kelajuan tren membuatkan kesejukan juga menjadi luar biasa. Tingkap ku jatuhkan sedikit. Lantas tangan ku silang dan dirapatkan ke dada. Memori bersama Cikgu Maimunah kembali bertandang.
Kejadian itu benar-benar memberi tekanan. Dendamku kepada Cikgu Maimunah semakin membara. Api amarahku meluap-luap ditambah pula dengan tiupan halus syaitan durjana. Aku mula membenci Cikgu Maimunah. Apa yang keluar dari mulutnya ku anggap dusta. Meskiku tahu bahawa setiap sesuatu yang luncur dari mulut seorang guru itu ibarat mutiara. Benci, benci, benci. Hanya itu yang ku tahu.
Pernah dahulu aku menghasut beberapa orang pelajar untuk tidak menyertai Cikgu Maimunah dalam aktiviti pengajaran dan pembelajarannya. Tengah hari itu, bilik kaunseling yang terletak di hujung sebelah kanan tingkat satu menerima kehadiran  kami. Aku pastikan kami tiba di bilik kaunseling sebelum Cikgu Maimunah bertandang ke kelas. Di hadapan guru bimbingan dan kaunseling kami luahkan segala apa yang terbuku di hati. Cikgu Maimunah tidaklah sejahat seperti yang kami ceritakan. Mungkin kerana benci dan dendam maka kejahatan Cikgu Maimunah direka menjadi hebat. Mungkin sekejam Bawang Merah- satu watak dongeng yang begitu popular hingga ke hari ini.
Setelah berakhirnya masa yang diperuntukkan untuk Cikgu Maimunah mengajar, kami pulang semula ke kelas. Hari ini aku berjaya untuk tidak bertemu dengan guru Bahasa Melayu yang garang itu. Aku puas. Rancanganku berhasil. Masalahnya bagaimana untuk aku berhadapan dengannya esok hari?
Keretapi berhenti sebentar di Quaisna. Penumpang turun dan naik silih berganti.  Tetapi yang naiknya makin berkurangan. Kurang setengah jam Kota Tanta akan aku jejaki. Aku mengeluarkan semula Al-Quran yang tersimpan rapi di dalam poket baju melayu. Satu persatu kalam tuhan itu aku zikirkan. Selang beberapa ayat lidahku kelu seketika. Perasaanku kuat untuk terbang kembali kepada Cikgu Maimunah.
Hari-hari yang mendatang penuh dengan kebecian. Kebencian yang entah bila akan surutnya. Hari-hari yang mendatang juga penuh dengan helah dan tipu daya. Tipu daya untuk tidak menyertai pembelajaran bersama sahabat-sahabat lain untuk matapelajaran Bahasa Melayu. Sedar ataupun tidak Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia makin hampir. Aku harus berusaha keras memandangkan keputusan peperiksaan percubaan tidak begitu memberangsangkan. Terutama matapelajaran yang amat aku gemari tetapi tidak pada gurunya-Bahasa Melayu. Aku hampir-hampir gagal dalam matapelajaran itu. Entah di mana silapnya aku sendiri tidak mengerti. Semua saranan yang diberikan oleh penceramah jemputan pada seminar peperiksaan yang lalu telah aku gunakan. Memang bukan rezeki aku. Aku nekad. Usaha harus berganda, persiapan rapi perlu bermula.
Setelah beberapa bulan, keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan. Aku terpana setelah slip berada di dalam genggaman. Resah, gelisah, takut dan risau berbaur menjadi satu. Setelah slip dibuka aku terkesima. Khali. Umpama seketul batu dihempap di kepala. Aku gagal. Bukan semua, tetapi satu- Bahasa Melayu. Keputusan peperiksaanku cacat kerana gagal di dalam bahasa ibundaku. Malang bagi seorang yang berbangsa Melayu gagal menguasai bahasa ibundanya sedangkan bangsa lain makin laju dalam memacu penguasaan Bahasa Melayu.
Aku pulang dalam keadaan tertekan. Sepatutnya hari ini menjadi hari gembira buat seisi keluargaku. Tetapi malangnya harapan berkecai umpama kaca dihempas ke lantai. Berderai. Menjadi butiran lalu terbang dibawa pawana. Teringatku pada dosa-dosa lalu. Terutama pada seorang guru- Cikgu Maimunah. Mungkin ini kifarah yang telah Allah berikan atas kesilapan dan keterlanjuran pada budi seorang guru.
Sekolah. Aku kembali padanya. Demi meleraikan sebuah kekusutan. Kekusutan yang sudah lama aku rungkaikan. Cuma hari ini aku ingin menamatkan puing-puing dendam yang kini tinggal kenangan. Langkah ku hayun lemah menuju ke tangga. Tangga di sebelah kanan ku daki lalu langkah ku pacu menuju ke bilik guru. Mata meliar mencari letaknya tempat bersemayam seorang guru yang agung.  Cikgu Maimunah ku temui. Sambil berlutut tangannya ku genggam erat. Laju meluncur kalimat kemaafan buat mengenang budi seorang guru yang luhur. Birai mata sedikit berair. Hampir sahaja manik-manik jernih itu meluncur laju menuruni pipi mulusku. Mujur sahaja sebak di dada ini tidak terburai. Itulah ego seorang lelaki. Meskipun begitu, aku tetap ikhlas. Mengaku akan kesalahanku- keterlanjuran kata serta kebiadaban budi pekerti. Maafku disambut mesra. Terpatri sebuah kata “kemaafan anda diterima”. Begitu indah rasanya hidup ini setelah bebanan yang dikendong terburai. Batu yang melekat di kepala bagai tercabut serta merta. Luhurnya budi seorang guru. Masih bisa tersenyum walaupun hati pernah dibenci. Masih mampu memberikan kemaafan walaupun hati tercalar luka. Bagaikan bukan Cikgu Maimunah yang ku kenali. Keras hatinya, tegas dan penuh disiplin. Hari ini sifatnya seakan berubah. Dia ibarat seorang ibu yang sedang menenangkan deraian tangisan seorang anak kecil. Penuh kelembutan. Dalam kelembutan itu juga terpacul kalam dari mulutnya “ Ambil semula kertas ulangan Bahasa Melayu untuk bulan Julai. Insya-Allah mudah-mudahan kamu berjaya Razman”. Seakan meresap semangat baru. Meluncur laju melaui pembuluh darah dan dibawa ke seluruh jasad. Aku nekad. Bahasa Melayu akan ku ulang semula.
Setelah selesai mengambil peperiksaan ulangan beberapa bulan yang lalu. Kini sepucuk surat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia bertandang ke kediamanku. Debaran hati memuncak semula. Menanti apakah keputusan yang bakal diterima. Akhirnya usaha serta keberkatan dan keredhaan seorang guru, tidak Allah persiakan. A satu untuk matapelajaran Bahasa Melayu. Sinaran mentari hidupku menampakkan semula wajahnya. Setelah beberapa bulan redup menghiasi pandangan. Jalan kejayaan untuk aku menempa lebih kecemerlangan kini terbuka luas. Dengan nasihat serta berkat seorang yang ku anggap ibu, akhirnya aku diterima untuk melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Sultan Alam Shah untuk tahun yang berikutnya. Sebuah kolej yang namanya sekian lama terpahat dalam lakaran sejarah kejayaan. Kejayaan di bidang akademik dan kejayaan dalam pembentukan sahsiah serta pengemblengan modal insan yang berjiwa hadhari. Tahun berikutnya aku mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia demi memastikan untukku melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah berjaya.
Kini Kota Tanta aku jejaki. Berhenti di Mahattah Qitor dan menaiki bas menuju ke sebuah tempat bernama Suberbay. Terngiang semula kata-kata semangat dari guru-guru di tanah air. “Majukan diri kemudian barulah boleh memajukan bangsa dan agama” Kata-kata azimat itulah yang ku susun menjadi rantaian kalung yang berharga. Tanpa mereka, pasti aku akan menjadi seperti penjual tisu yang ku jumpa di tren tadi. Dengan langkah yang gagah umpama pahlawan yang bersedia ke medan perang aku menuju masuk ke Universiti Al-Azhar cawangan Tanta .Terdetik di hati- Teima Kasih Guru.

Glosari
Mahattoh Qodim      -           Stesen lama
Kifarah                       -           Denda kerana melanggar hukum atau peraturan agama
Mahattah Qitor          -           Stesen keretapi

Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan 2014

2:47 PM Posted by Lobam , 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Pujian bagi Allah tuhan sekalian alam serta selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Tanggal 12 Rabiul Awal lebih 1480 tahun yang lalu lahirnya seorang insan yang membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Setiap tahun, tarikh itu ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia bagi meraikan ulang tahun kelahiran insan yang dinobatkan sebagai tokoh yang paling berpengaruh oleh Michael H. Hart dalam bukunya Senarai 100 Tokoh Yang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah.

Pelbagai cara melalui adat dan budaya dilakukan bagi menzahirkan rasa kecintaan dan kerinduan kepada Rasulullah yang mulia. Semua ini dilaksanakan bagi mengenang perjuangan Nabi Muhammad dalam mengembangkan Islam serta menawarkan sakinah kepada umat manusia di dalam jannah. Hanya syafaat baginda sahaja yang didamba sebagai kunci bagi mencapai kebahagiaan hakiki di alam sana nanti.


Kementerian Pendidikan Malaysia juga tidak terkecuali. Rasa kecintaan itu diimarahkan dengan Majlis Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan dikelola oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia. Acara yang melibatkan pelbagai kontinjen daripada seluruh semenanjung Malaysia itu berjaya merafa'kan rasa kehambaan dan kerinduan kepada baginda Rasul melalui laungan selawat yang didendangkan.

Program yang dimulakan dengan perarakan oleh kontinjen-kontinjen yang terdiri daripada warga pendidik, pegawai kementerian dan jabatan serta pelajar sekolah sekitar Johor Bahru itu menyaksikan penglibatan sekitar 500 peserta dengan pakaian kebangsaan serta sepanduk yang berwarna-warni. Para kontinjen berarak dan berselawat sehingga ke Dewan Sultan Iskandar di mana lokasi Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan. Laungan selawat yang dialunkan oleh para kontinjen memenuhi ruang angkasa UTM Skudai seawal jam 7.30 pagi.  


Ketika para kontinjen berarak mengambil tempat di dalam dewan, alunan selawat yang dipimpin oleh para pelajar SMKA Johor Bahru menyeri ruang dewan. Seterusnya majlis diteruskan dengan alunan zikir Asma'ul Husna dan diikuti oleh lagu Bangsa Johor.


Ceramah khas Maulidur Rasul yang disampaikan oleh YBhg. Al-Fadhil Ustaz Mohd Rifqi bin Myiddin, Guru Cemerlang Pendidikan Islam dari SMK Taman Universiti mengambil tempat sejurus acara bacaan doa dan alunan ayat-ayat suci al-Quran didendangkan. Saya tertarik dengan ulasan beliau mengenai kesilapan ibu bapa dalam menentukan masa hadapan anak-anak yang bergantung kepada keinginan dan kemahuan ibu bapa bukan melalui pencapaian dan kemahiran anak-anak itu sendiri. Sebagai contoh, anak-anak yang kurang dalam pelajaran serta sedikit nakal dalam sahsiah dan akhlak dihantar ke sekolah tahfiz untuk menghafal al-Quran. Al-Quran merupakan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada Rasul junjungan mulia. Tidak semua manusia mampu untuk membawa al-Quran di dalam dada mereka. Tambahan pula kepada anak-anak yang kurang berjaya dalam akademik serta santun akhlak mereka. 

Menurut beliau, sepatutnya anak-anak ini dihantar mengikut bidang yang mereka minati. Sekiranya mereka minat kepada bidang automotif, lorongkan mereka kepada jalan yang mereka ingini. Perkara ini telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad sebagai qudwah hasanah lebih 1400 tahun yang lalu. Kebijaksaan Rasul dalam menempatkan para sahabat mengikut bidang mereka telah meletakkan Islam ke mercu kegemilangan. Sebagai contoh, Muaz bin Jabal seorang yang bijak serta faqih dalam agama diberi tugas dalam bidang hukum feqah. Dek kerana postur tubuhnya yang kecil serta ketidak mampuannya mengusung pedang ke medan jihad, Zaid bin Tsabit diberi tanggungjawab untuk berjihad melalui lisan dan penanya sebagai penulis wahyu Nabi. Begitu juga Usamah bin Zaid seorang remaja yang tidak mempunyai penampilan yang menarik serta lahir dalam keluarga miskin diberi peluang menggempur pasukan Romawi di Syam semasa berumur 18 tahun dek kerana keberanian serta kehandalannya. 

Detik masa 30 minit yang berlalu seakan tidak terasa. Bait-bait indah yang dilontarkan melalui kalam Ustaz Mohd Rifqi ternyata mampu menjadi mutiara yang berharga. Ternyata benarlah bahawa Nabi Muhammad itu seorang insan ulung menjadi tauladan setiap ummah dalam mengecapi nikmat mawaddah di dalam jannah.

Seterusnya, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengambil tempat diikuti ucapan perasmin oleh YBhg. Tuan Haji Abdullah bin Md Din Pengarah Bahagian Pendidikan Islam mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.


Dengan berakhirnya ucapan perasmian itu, Sambutan Maulidur Rasul sudah sampai ke acara kemuncak. Majlis kali ini juga menyaksikan 3 buah buku dakwah terbitan PEKDIS dilancarkan. Buku-buku tersebut ialah Kuliah 3 Minit (KULTIM), Buku Panduan Doa Rasmi serta sebuah travelog dakwah Senipis Qithmir Kurma.


Sebelum majlis penganugerahan berlangsung tetamu jemputan serta dif kehormat dijamu dengan halwa telinga yang disampaikan oleh para pelajar SMKA Johor Bahru. Alunan ayat berzanji serta nasyid Ya Hanana dan Ya Badrotim menyapa pendengaran.


Majlis penganugerahan dimulakan dengan penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Kreatif ( Cerpen Berunsur Islam ) Para pemenangnya seperti berikut :

Pemenang Utama membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 1500.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Nazri bin Hussein
Rumah Mahabbah
Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang Kemaman Terengganu

Tempat kedua membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 1000.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Ayu Mardiana binti Aziz
Khaulah Aleppo
SK Convent Jalan Peel Kuala Lumpur

Tempat ketiga membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 700.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Wan Marzuki bin Wan Ramli
Mencari Manusiawi
SK Sultan Ibrahim Pasir Mas Kelantan



10 hadiah penghargaan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 250.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Nasuha Muzamir Yusof
Sesudah Pendosa Pulang
Perak

Suhaimi Jamaudin
Doa Ibu
Perak

Siti Kalsom Md Taib
Cinta Berkalang Duka
Johor

Shafizah Mohd Zangi
Pendakwah Kental
Perak

Zainun Mustapha
Jengahlah Surau Itu
Terengganu

Juwairiah Md Jamil
Cerlak Taubat
Kedah

Suradi Hassan
Ranting-ranting matahari
Johor

Siti Fatimah Osman
Meniti Renjisan Di Tanah Suci Makkah
Johor

Abdul Muiez Mohammad Ruslee
Terima Kasih Guru
Selangor

Tengku Norlaila Tengku Ismail
Syurga Yang Ditinggalkan 
Johor

Friday, January 17, 2014

Jom Membeli Belah Di Plaza Ampang City

3:29 PM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas nikmat kehidupan serta rezeki yang melimpah ruah. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta sahabat dan ahlul bait baginda.

Cuti sempena Thaipusam boleh digunakan sebaiknya untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Bercerita tentang kehidupan serta berbincang mengenai pelajaran anak-anak dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan. Malah dengan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak akan melahirkan keluarga yang sakinah.

Berbelanja bersama keluarga juga mampu menjadi terapi dalam mewujudkan keluarga yang mawaddah. Tidak salah rasanya sang suami mengeluarkan sedikit wang untuk memberi penghargaan kepada sang isteri atas penat lelah menguruskan keluarga. Biarpun isteri mempunyai wang sendiri, tetapi menurut Islam wang isteri adalah milik mutlak mereka.

Banyak tempat membeli belah di negara kita. Dari kawasan elit di Pavilion dan Suria KLCC membawa ke pasar malam menjadi pilihan pengguna. Tambahan tahun 2014 adalah merupakan Tahun Melawat Malaysia. Pasti banyak pusat membeli belah berlumba-lumba untuk mengadakan jualan 'tak mahu untung'.

Dalam sibuk mencari tempat membeli belah yang sepadan dengan kedudukan kewangan di dalam poket, saya terjumpa dengan entri Pengalaman Shopping Di Plaza Ampang City di blog Flavour Of Life www.eyriqazz.com Ya satu idea yang menarik.

Bagi yang menginap di kawasan sekitar, Plaza Ampang City memang tidak asing lagi. Tetapi bagi mereka yang tinggal di luar kawasan pasti tertanya-tanya di manakah letaknya pusat membeli belah ini.


Pusat membeli belah yang terletak di Jalan Ampang ini terletak berhampiran Flamingo Hotel dan Ampang Point City Center dengan koordinat 3°9'34"N 101°44'53"E. Bangunan berbentuk tiga segi yang unik ini menempatkan banyak kedai harga patut yang sesuai untuk golongan kebanyakan. 


Antara kedai yang menjadi pilihan di sini ialah kedai beg yang terletak di tingkat 1. Pelbagai jenis beg berjenama seperti beg tangan dan beg kembara terdapat di sini. Menurut pengurus kedai ini, kebanyakan beg yang berada di sini adalah asli dan ditempah terus dari luar negara.



Dengan pelbagai jenama seperti Samsonite dan Harrods pasti membuatkan sang suami tidak keruan memandangkan si isteri seakan hilang ingatan melihat beg yang cantik dengan harga yang berpatutan. Barangan disusun dengan kemas dan cantik bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan.



Bagi peminat pasukan The Red Warriors, anda boleh mendapatkan barangan seperti jersi dan cenderahati pasukan bola sepak Kelantan di  Kedai Red Warriors Station Kuala Lumpur. Selain daripada jersi, kedai ini juga menjual cenderahati yang lain seperti seluar, beg, rantai kunci dan bendera The Red Warrios. Malah jersi terbaru pasukan TRW juga boleh didapati di sini dengan harga RM100 sehelai.


Red Warriors Station merupakan pengedar sah barangan KAFA. Jadi anda tidak perlu risau kerana sudah pasti barangan yang terdapat di sini semuanya asli. Kedai ini dibuka jam 10.30 pagi hingga jam 7.00 petang setiap hari dan 2.30 petang sehingga 7.30 petang pada hari Jumaat.


Bagi peminat sukan berkuda seperti ekuestrian atau endurance, Equine Kuala Lumpur menawarkan rangkaian produk sukan endurance pada harga yang mampu milik. Kedai yang terletak di 332A-G08  ini menyediakan satu set gear lengkap yang terdiri daripada suit, kasut but, helmet dan seluar khas sukan berkuda serendah RM500 sahaja. Bagi pengguna yang mementingkan jenama dan keaslian produk, usah risau kerana kebanyakan produk di kedai ini diimport terus dari negara-negara Eropah seperti Perancis dan Australia malah ada juga produk buatan Malaysia.



Bagi anda yang ingin membeli pakaian kanak-kanak mahupun dewasa, anda boleh dapatkan pakaian-pakaian yang berkualiti dengan harga yang murah di sini. Tentu rambang untuk mata memilih pakaian yang pelbagai warna dan corak yang pastinya menarik pandangan mata. 


Bagi anda yang berniaga pakaian di dalam talian, kedai ini pastinya menawarkan harga yang murah untuk anda. Malah sekiranya anda membeli dengan kuantiti yang banyak, tawar menawar dibenarkan. 



Kasut yang cantik dan berkualiti juga ada ditawarkan di sini. Tidak salah rasanya untuk kita membelanjakan sedikit wang untuk menggembirakan anak-anak. 

Tidak cukup rasanya untuk saya bercerita tentang Plaza Ampang City di ruangan yang kecil ini. Jadi kepada pembaca di luar sana, apa kata habiskan masa cuti 3 hari anda minggu ini dengan membeli belah di Plaza Ampang City. Luangkan masa berkualiti bersama keluarga anda. Jom kita ke Plaza Ampang City.

Sumber gambar : www.eyriqazz.com dan internet

Thursday, January 16, 2014

Resipi Mi Laksa Halalan Toyyiba

6:51 PM Posted by Lobam 1 comment
Assalamualaikum

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki yang luas tidak bertepi. Kehidupan yang diredai dan diberkati dengan nikmat Islam dan Iman yang kekal di dalam diri.

Laksa merupakan makanan tradisi berkuah popular di Malaysia. Ia dikatakan berasal dari orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu. Pelbagai jenis laksa yang popular di negara kita antaranya Laksa Perlis, Laksa Penang, Laksa Johor, Laksa Terengganu dan banyak lagi. Kini laksa bukan sahaja popular di negara kita dan Singapura malah laksa sudah terkenal di peringkat antarabangsa.

Selain daripada kuah yang pekat, mi laksa juga memainkan peranan penting dalam menjadikan laksa itu lazat untuk dinikmati. Lambakan mi laksa yang bercampur di pasaran membuatkan umat Islam sukar untuk memilih mi laksa yang berkualiti lagi halal. Hari ini ingin saya kongsikan resipi membuat mi laksa yang dikongsikan oleh rakan saya.

Bahan-bahan




1. Setengah kilogram tepung beras Cap Teratai atau Cap Gajah
2. Satu cerek air yang mendidih
3. Setengah mangkuk tepung gandum
4. Pengukus
5. Acuan Maruku

Cara memasak :


1. Gaulkan tepung gandum dan tepung beras dengan sebati.


2. Tuangkan air panas yang mendidih dan kacau menggunakan senduk (pastikan air mendidih baru dicampur bersama tepung)


3. Kacau sehingga lembut dan tepung menjadi bergumpal. Pada peringkat ini anda memerlukan ketabahan dan kekentalan jiwa kerana ini merupakan peringkat paling sukar. Hehehe.

Acuan Maruku yang boleh digunakan


4. Selepas adunan ini menjadi sebati, kepalkan adunan tersebut dan masukkan doh ke dalam acuan dan letakkan ke dalam pengukus. Jangan kukus terlalu banyak dalam satu-satu masa. Lebih kurang 2 kali pusing acuan untuk sekali kukus.


5. Kukus sehingga 20 minit sehingga tepung itu nampak berkilat.


6. Lalukan air ke atas mi laksa tersebut dan kacau perlahan untuk meleraikan mi laksa itu.

7. Toskan mi laksa tersebut.


8. Sedia untuk dihidang dengan kuah laksa yang pekat dan lazat.

Semoga berjaya.

Ulasan Hukum Mengitar Semula Kelapa Yang Digunakan Semasa Thaipusam

12:23 AM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta Ahul Bait baginda.

Lusa seluruh kaum India yang beragama Hindu akan menyambut hari Thaipusam. Secara umumnya Thaipusam menurut wikipedia bermaksud :
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.
Selain penyeksaan diri untuk mendapat restu daripada Dewa Murugan, madu, susu dan kelapa juga dipersembahkan kepada dewa-dewa tersebut.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel mencadangkan agar kelapa yang digunakan di kuil sempena Thaipusam dikitar semula dengan cara menghantar ke kilang minyak untuk diproses. Malah Presiden MIC itu juga berkata amalan ini telah lama digunakan di negara India.

Sumber gambar : FB Sahabat Halal Jakim
Berita ini mendapat liputan meluas daripada pelbagai portal berita seperti Malaysia Kini, Astro Awani, The Borneo Post, Bernama  dan banyak lagi.

Apakah hukum sebenar memakan bahan yang digunakan untuk tujuan keagamaan? Isu ini menjadi pendebatan hangat ramai pihak. Akhirnya Sahabat Halal JAKIM hadir memberi penjelasan. Berikut adalah merupakan penjelasan yang disiarkan melalui laman FB mereka.

ULASAN MENGENAI PENDAPAT UNTUK MENGITAR SEMULA KELAPA YANG DIPECAHKAN DI KUIL SEMPENA PERAYAAN THAIPUSAM.  
Terdapat kemusykilan di kalangan penganut Islam berhubung penggunaan semula kelapa yang telah dipecahkan sempena Perayaan Thaipusam sama ada dibenarkan oleh syariat Islam atau sebaliknya. Persoalan yang menjadi pertanyaan ialah adakah bahan makanan yang digunakan dalam upacara keagamaan agama lain (bukan Islam) boleh diguna atau dimakan oleh penganut Islam? 
Hukum makan sembelihan korban untuk berhala adalah haram kerana adanya unsur mensyirikkan Allah. Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan anak panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (al-Maidah:90). 
Apakah pula hukum mengambil manafaat daripada makanan selain daripada sembelihan korban untuk berhala? Contoh makanan seperti nasi, pulut, buah-buahan, wang etc? 
ULASAN HUKUM 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam, dalam garis panduan tersebut telah dinyatakan antara kriteria yang perlu dipatuhi ialah majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, di mana antara contoh perkara yang bertentangan dengan syarak tersebut ialah mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa.  
Hukum yang berbangkit ialah hukum orang Islam mengguna atau memakan bahan makanan yang telah digunakan dalam upacara agama lain seperti upacara memecah kelapa yang dilakukan untuk memohon rahmat dari Dewa Murugan dan sebagai simbolik bagi membebaskan diri dari kejahilan dan kemunduran. Ia juga sebagai satu amalan membayar nazar atau niat yang biasanya dilakukan pada hari perayaan Thaipusam atau Deepavali. 
Antara pandangan hukum adalah seperti berikut: 
1. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, ketika ditanya tentang isu ini telah berkata, hukumnya adalah haram kerana buah berkenaan digunakan untuk upacara pemujaan dan penyembahan yang ternyata syirik dan bertentangan dengan agama Islam. 
2. Dato’ Hj. Md. Saleh Hj. Ahmad, salah seorang ahli Panel Pakar Syariah juga berpendapat ia sekurang-kurangnya boleh menimbulkan syubhat yang perlu dielakkan oleh orang Islam. 
3. Dr Ustaz Azhar Idrus memberi jawapannya sebagai makruh jika makanan itu bukan bertujuan untuk pemujaan tuhan mereka. 
4. Syeikh Abdul Aziz bin Baz (Bekas mufti Arab Saudi) berkata "...harta itu boleh dimanafaatkan kerana telah ditinggalkan oleh pemiliknya, serta hukumnya tidak sama dengan bangkai (korban untuk berhala)." 
"...makanan yang tidak bercampur dengan daging sembelihan korban berhala (pemujaan) ini HALAL bagi orang yang mengambilnya untuk dimakan/dimanafaatkannya."  
Dalilnya ketika Nabi Muhammad SAW mengambil harta (yang dipersembahkan oleh org Musyrik) yang tersimpan pada berhala al-Laata dan Baginda memanafaatkannya untuk melunasi hutang sahabat 'Urwah bin Mas'ud ats-Tsaqafi. Baginda tidak menganggap persembahan harta tersebut kepada berhala sebagai larangan mengambilnya. ***sumber Fathul Majiid 
KESIMPULAN 
Berdasarkan garis panduan yang dibuat sebelum ini adalah jelas bahawa perbuatan memecah kelapa adalah termasuk dalam kategori upacara keagamaan agama selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak. 
Pandangan awal daripada beberapa orang alim ulama yang dirujuk menunjukkan perbuatan memakan atau menggunakan kelapa tersebut tidak dibenarkan (haram) menurut ajaran Islam atau sekurang-kurangnya termasuk dalam kategori syubhah yang perlu dielakkan oleh Umat Islam.
Secara konklusinya, yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas seperti mana sabda baginda Rasul tercinta.
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ  لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ   مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ  أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
[رواه البخاري ومسلم]
Terjemah hadits / ترجمة الحديث  :
Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati “.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)