Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Sunday, October 26, 2014

Resipi Diet Atkins

2:14 PM Posted by Lobam , 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Sudahkah anda faham tentang Diet Atkins? Jika masih belum tahu tentang Diet Atkins anda boleh rujuk di entri panduan Diet Atkin. Saya ada sertakan link untuk muat turun Buku Panduan Diet Atkins secara percuma di sana.

Antara soalan yang kerap ditanya ialah : 

1. Bolehkah pengamal Diet Atkins makan nasi?

Jawapannya ialah apa sahaja makanan berasaskan karbohidrat termasuk nasi, roti, mee, spagheti dan apa sahaja yang diperbuat daripada tepung adalah TIDAK DIBENARKAN. Konsepnya mudah. Karbohidrat dan gula adalah sumber tenaga. Tetapi jika tenaga yang dijana dari karbohidrat dan gula tidak digunakan semaksima mungkin, karbohidrat dan gula berlebihan akan ditukar menjadi lemak. Untuk itu, Diet Atkins menggunakan konsep kurangkan pengambilan karbohidrat dan gula agar tenaga yang dijana adalah datangnya dari lemak-lemak yang menempel di bawah kulit. Secara amnya, jika lemak-lemak yang terdapat di dalam tubuh ditukar menjadi tenaga, secara automatik berat badan berlebihan akan berkurangan.


2. Apakah makanan asas Diet Atkins?

Tiada makanan asas yang ditetapkan tetapi pengamal Diet Atkins digalakkan untuk mengambil lebih sayuran hijau dalam setiap hidangan. Kita juga boleh menggantikan karbohidrat dengan protin seperti ayam, ikan, daging dan telur.

3.  Jika tak boleh makan nasi, apa  menu yang boleh pengamal Diet Atkins makan?

Sebenarnya banyak sangat resipi yang menarik yang boleh diolah menggunakan makanan asas seperti yang disebutkan tadi. Hanya bergantung kepada kreativiti masing-masing. Bagi saya, apa sahaja berkaitan telur, ayam, ikan dan daging semuanya saya makan. Asalkan ada rasa semuanya boleh masuk ke dalam perut walaupun rupa makanan tersebut agak mengerikan.

Kali ini saya kongsikan Resipi Diet Atkins yang boleh dimasak di rumah. Muat turun buku  Resipi Diet Atkins yang mengandungi 7 halaman berwarna warni secara percuma.


Happy Atkins ^_^

Muat Turun Buku Panduan Diet Atkins Percuma

8:11 AM Posted by Lobam , 15 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta sahabat dan ahlul bait tercinta.

Alhamdulillah. Cuti hujung minggu kali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bersama keluarga. Maklumlah, suami hujung minggu sangat memberi tekanan kepada diri saya dan keluarga.


Saya merupakan pengamal Diet Atkins. Saya sudah mencuba pelbagai jenis diet sebelum ini termasuklah diet kalori, senaman dan yang terbaru Diet Atkins. Saya akui, diet kalori disertai produk kesihatan Herbalife membuka ruang saya untuk kurus. Malah dengan diet kalori disulami produk Herbalife membantu saya mengurangkan berat badan sehingga 16kg.



Tetapi saya seorang yang sukakan makanan. Saya suka makan dan suka merasai makanan. Semakin lama saya semakin tersasar dari landasan dan kembali relapse akibat tidak mampu untuk mengawal pengambilan kalori harian. Berat saya kembali meninggi. Saya rasa saya perlu melakukan sesuatu untuk kembali normal seperti manusia yang lain. Bayangkan, dengan berat 116kg pelbagai tekanan yang saya hadapi. Biarpun kehidupan nampak gembira tetapi saya tidak normal.

Saya tidak menyalahkan produk. Malah saya berani jamin produk Herbalife antara produk kesihatan yang terbaik pernah saya guna. Seperti saya katakan, Herbalife menjadi pembuka ruang untuk saya beralih dari fasa obesiti tahap 3 dan kini dengan BMI 30.3 saya pemegang status obesiti tahap 1.

Bukan mahu bangga dengan tahap obesiti, tetapi kini saya berjaya beralih ke fasa baharu dan hanya perlu mengurangkan 15kg lagi untuk mencapi berat badan ideal. Dari 116kg kini saya berjaya mengurangkan sehingga 28kg. Bayangkan betapa senangnya hidup saya apabila berjaya menyingkirkan 28kg lemk dari badan. Kalau dahulu saya perlu mengenakan pakaian saiz XXXL tetapi kini saya berjaya menghilangkan huruf XXX dan terpaksa menerima hakikat yang saya perlu mengenakan pakaian yang mempunyai saiz huruf L sahaja. Dari saiz seluar bernombor 44 kini saya terpaksa mencari seluar baru bersaiz 38.



Semuanya dengan bantuan Diet Atkins. Bagi saya Diet Atkins amat sesuai dengan saya. Prinsipnya mudah. Makan untuk kurus. Pasti anda tidak percaya bukan. Apa yang kita faham, untuk kurus kita perlu berlapar. Tetapi itu semua hanya mitos. Kerana saya sukakan makan jadi prinsip Atkins amat cocok dengan saya. Makan Untuk Kurus. Yang penting tidak perlu produk tambahan, Apa itu Diet Atkins?


Atkins Diet ialah sejenis corak pemakanan yang diperkenalkan oleh Dr. Robert C. Atkins bagi membantu seseorang individu untuk mengurangkan berat badan melalui konsep pembakaran karbohidrat (carbohydrate) dan lemak di dalam badan. Dengan mengurangkan dan mengehadkan makanan berkarbohidrat seperti nasi, mi, kentang dan gula, badan akan mula membakar lemak sebagai bahan api. Ini bererti berat badan anda akan mula menyusut. Dr Atkins mula mengembangkan idea karbohidrat rendah dalam pemakanan, semenjak tahun 1970an lagi tapi kurang mendapat sambutan. Pada masa itu ramai rakyat Amerika telah mengikuti low-fat diet atau diet rendah lemak.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca blog Lobam.my yang dikasihi sebuah buku panduan lengkap mengenai Diet Atkins. E-book berbentuk pdf dengan 51 helaian ini akan diberi PERCUMA. Ya, percuma.

Secara umumnya, buku ini menerangkan apa itu Diet Atkins, memperincikan tentang kalori dan berkongsi cara senaman yang terbaik. Semuanya saya kongsikan kepada anda secara percuma. Muat Turun Buku Panduan Diet Atkins Secara Percuma.


Saya akan berkongsi lagi tentang Diet Atkins dalam entri yang akan datang. Selamat datang ke keluarga Diet Atkins ^_^

Sunday, October 12, 2014

(Cerpen) Tiada Lagi Manik Itu

11:16 AM Posted by Lobam No comments

Tiada Lagi Manik Itu

Manik-manik peluh yang mengalir turun ke pipi disapunya perlahan. Sinaran terik mentari yang menggigit kulit, mencuri-curi masuk di celahan pohon mangga yang ditanam oleh isterinya empat tahun lalu. Udara berbahang perlahan-lahan menampar pipi tua Pak Ali. Berganjak sedikit punggungnya mencari kawasan yang lebih redup. Topi jerami dikibas-kibas perlahan. Sekurang-kurangnya meredakan sedikit hamburan hawa panas yang mencengkam.
Masih lekat di fikiran, pohon mangga itu ditanam dengan penuh kasih sayang bersama isterinya. Diberi baja dan siram mengikut jadual menjadikan buahnya cantik dan isinya mongel ranum. Buah yang lebat itulah dikongsi bersama dengan jiran tetangga.
Dalam terik sinar mentari disulami belaian angin yang bertiup perlahan menyapu batang tubuhnya, fikiran Pak Ali menerawang teringatkan isterinya nan satu. Tidak tergambar betapa besarnya jasa telah dicurahkan dan tidak terhitung segala budi yang telah dialirkan. Biarpun balasannya hanya kata hamun dan sepak terajang yang dihadiahkan kepada isterinya, tetapi wanita itu tetap tabah. Cekal mengharungi hidup bertemankan suami yang pemarah.
***
Dinding rumah pusaka arwah ibunya itu ditumbuk berkali-kali. Tetapi belum juga luak amarahnya. Dinding kayu itu tidak pecah, yang pecah adalah kulit-kulit tangannya. Ali tidak peduli. Amarah di dadanya membuncah menjadi gelembung-gelembung yang besar. Teruk juga Aminah diseranah pagi itu. Batang tubuhnya yang sedia kurus menjadi tempat untuk dilepaskan amarah. Lebam tubuhnya dan berdarahnya mukanya. Tetapi semua itu tidak sedikit pun mengundang simpati Ali. Kedegilan Aminah untuk tidak melepaskan rantai pusaka nan seurat itu membuatkan Ali naik minyak.
Siapa yang sanggup menggadaikan segala harta pusaka yang ditinggalkan leluhur semata-mata untuk memuaskan serakah amarah yang buta dan tidak kenal erti puas. Bukan tidak pernah dinasihati tetapi ego Ali akan terus membisikkan kata Tidak walau seterang mana pun nur  kebaikan yang menyinar kerana ia tidak mampu mencelikkan sekeping hati seperti kerasnya pemilik hati Firaun durjana.
Bagi Aminah hanya seurat rantai dan tanah sekangkang kera itulah menjadi amanah daripada leluhur buatnya. Amanah itulah yang menjadi penyambung legasi keluarga Aminah. Tetapi sayang, perkahwinan yang dibina bersama Ali tidak dikurniakan zuriat biarpun tahun perkahwinan mereka sudah mencecah angka 20.
Segala harta yang Ali perolehi dilebur dan dicurahkan kepada dadah durjana. Ya memang benar. Ali seorang penagih dadah yang sudah terlalu ‘dependence’ kepada najis itu. Sebut sahaja apa bentuk dan jenisnya. Sama ada cecair, butir-butir halus atau hablur kristal yang bersinar mendustai pandangan, semua jenis itu telah menggelapkan mata Ali dengan ‘euphoria’ yang palsu.
Di rumah ini, semua peralatan penagihan berselerakan. Apa yang tidak ada. Bermula dari peralatan asas seperti sudu, lilin, pemetik api sehinggalah alatan yang lebih rumit seperti kertas timah dan ‘dapur’. Isteri mana yang tidak terasa hati apabila sang suami bersenang lenang ‘chasing the dragon’ di ruang tamu tanpa ada sekelumit rasa malu kepada isteri. Apatah lagi perasaan bersalah kepada Tuhan yang maha pencipta.
Jenayah, tidak cukup sekajang kertas untuk disenaraikan. Seribu macam jenayah yang telah dilakukan. Apa sahaja barang yang boleh ditukar menjadi wang akan dileburkan bagi memenuhi serakah yang berdosa.
Pernah sekali Ali dibelasah teruk oleh orang kampung kerana mencuri sekerap di ladang getah Pak Hamid. Biarpun pergerakannya ibarat serdadu yang menyusup malam, sentiasa berhati-hati dalam melakukan jenayah, pergerakannya tetap dapat dihidu orang. Malam itu Ali dijerkah oleh sekumpulan penjaga ladang. Lembik Ali dibantai. Mujur Aminah datang meleraikan penjaga ladang yang seperti naik hantu. Akibatnya Aminah juga turut menjadi mangsa. Mungkin kerana simpati dan kasihan kepada Aminah, kes itu tidak dibawa ke muka pengadilan. Jika tidak pasti Ali akan dibiarkan merengkuk di dalam lokap.
Biarpun dilayan seperti binatang, Aminah tetap teguh pendiriannya. Kaki dan tangan sudah menjadi hidangan. Sepak dan tampar pula sudah menjadi makanan. Walau bagaimanapun kasih sayangnya kepada Ali sedikit pun tidak pernah luak. Ramai yang mengatakan bahawa Aminah seorang yang bodoh. Bodoh kerana masih mempertahankan cinta yang tidak pernah berbalas. Malah susu yang diberi tuba pula yang diterima. Tetapi bagi Aminah, cakap-cakap orang itu hanya sekadar omongan kosong. Semakin dibiarkan. perlahan-lahan kata-kata itu terbang dibawa angin. Tidak langsung meresap ke dalam hati. Hematnya suatu nanti Ali pasti bertemu sinar yang dicari. Tugasnya hanya berserah bulat-bulat kepada Allah. Nama Ali akan terus terpahat dalam ingatannya. Tidur dan jaganya, nama Ali sentiasa di bibir. Akan Aminah panjatkan nama suaminya dalam tiap doa siang dan malam agar sinar yang dicari akan muncul biarpun di hujung lorong. Biarlah waktu yang berbicara.
Satu ketika Aminah mengajak suaminya untuk bersama menjenguk tanah kebun yang terletak tidak jauh dari teratak mereka. Hajatnya untuk membersihkan tanah yang terbiar itu sekadar terdaya. Jika tidak keseluruhan pun, sekurang-kurangnya semak samun yang merimbun itu tidaklah menyesakkan mata yang memandang.
Setelah tanah itu dibersihkan seadanya, Aminah menanam pula sepohon mangga, katanya sebagai tanda kenangan cintanya kepada Ali. Tersentuh hati sang suami apabila seorang isteri  yang selama ini tidak dilayan selayaknya masih menanam rasa kasih dan cinta. Biarpun hanya tangan dan kaki yang dihadiahkan buat isteri tetapi kecekalan dan kesabaran isterinya benar-benar membuatkan Ali terharu.
“ Abang. Maafkan Aminah kerana tidak berdaya untuk menghadiahkan walaupun seorang zuriat buat abang. Hina rasanya diri ini apabila tidak dapat menyambungkan keturunan abang di dunia ini” Terhenjut-henjut bahu Aminah menahan sebak.
“Sudahlah Aminah. Bukan zuriat yang menjadi topik untuk dibahaskan sekarang. Usia kita pun sudah menjengah senja. Abang reda dengan apa yang terjadi. Tidak perlulah Aminah menghinakan diri kerana tidak mampu untuk hamil. Abang yang sepatutnya rasa malu dengan apa yang telah abang lakukan” Ali merapatkan dirinya kepada Aminah sambil tangan memaut isterinya. Tenang Aminah meletakkan kepala di bahu suaminya. Inilah saat romantis yang diidamkan. Sejak suaminya terjebak dengan najis dadah, belum pernah dia merasa diri disayangi seperti ini.
“Abang. Hanya sepohon mangga itulah yang dapat Aminah hadiahkan buat abang. Andai Aminah tiada lagi, pohon mangga itulah menjadi pengganti diri.” Perlahan-lahan manik-manik jernih menelusuri pipi tuanya. Semakin laju menitis air mata Aminah, semakin kuat pelukan suaminya.
“Aminah tidak pernah berhenti berdoa agar abang dapat menemui sinar di hujung lorong kehidupan” Bisik Aminah sambil tangannya menggenggam erat tangan Ali. Biarpun perlahan, kata-kata isterinya itu tembus menusuk ke lubuk hatinya yang dalam. Dalam diam Ali bertekad untuk berhenti. Berhenti dari menjadi hamba najis dadah.
            Pagi-pagi lagi Ali sudah bersiap. Lain benar penampilannya. Perkara ini membuatkan Aminah berasa runsing. Mahu ditegur takut penampar pula yang singgah. Persoalan itu hanya terkulum di mulutnya tanpa dapat diluah.
            Langkah Ali semakin bersemangat. Perlahan-lahan pintu kaca Pejabat Agensi Anti Dadah Daerah Sabak Bernam ditolak. Hari ini dia tekad untuk menyerah diri. Prosedur pertama yang dilakukan ialah menjalani ujian saringan air kencing. Ternyata keputusannya membuatkan Ali berasa lega. Setelah berbincang seketika dengan pegawai yang mesra, kata sepakat telah diambil. Ali bersedia untuk mengikuti program selama tiga bulan di Klinik Cure & Care 1 Malaysia di Sungai Besi.
            Khabar yang diterima benar-benar membuatkan Aminah terharu. Doanya selama ini sudah didengari Allah. Berkat kesabarannya ternyata memberikan hasil. Dengan penuh rasa kehambaan Aminah sujud dengan linangan air mata yang mengalir. Jika itu yang terbaik, Aminah rela melepaskan suaminya pergi.
***
            Ali semakin tenang dan gembira di C&C Sungai Besi. Kehidupannya ternyata berubah 360 darjah. Jika dahulu hidupnya tidak terurus, kini Ali semakin semangat untuk meneruskan kehidupan. Kaunseling individu serta kelompok yang diikuti benar-benar menjentik semangat untuk berubah.
            Di C&C ini bukan sahaja rawatan jasmani yang disediakan tetapi ada juga rawatan fizikal diintegerasikan dengan rawatan rohani. Terapi zikir yang diterapkan bukan sahaja menguatkan jiwa tetapi berjaya  mengentalkan fikirannya.
            C&C juga menjaga kesihatan Ali dengan baik. Malah ubat-ubatan yang diberikan juga mengikut jadual. Setiap kali tiba masa, pasti Ali akan diingatkan untuk mengambil ubat yang perlu. Perkara ini benar-benar membuatkan Ali rasa terharu. Semakin lama di sini Ali merasakan kesihatannya sudah semakin baik. Malah tiada lagi bayangan ‘ubat’ mahupun ‘batu’ yang tergambar di kotak fikirannya seperti mana sewaktu menjalani proses detoksifikasi dahulu. Ali tahu dia terpaksa berusaha keras untuk selarikan kekuatan fizikal dan psikologinya bagi mengelakkan kebergantungan kepada dadah berulang.
            Kelompok sokong bantu juga memainkan peranan dalam membentuk Ali yang baru. Dahulu Ali banyak dibantu oleh rakan-rakan yang lebih awal menghuni pusat ini tetapi kini peranan beralih kepada Ali pula. Ali banyak membantu pelatih-pelatih baru dalam mencari identiti yang sebenar.
            Ali dilatih untuk menangkis stigma masyarakat terhadap bekas penagih dadah sepertinya dengan kemahiran-kemahiran tertentu. Kemahiran ‘relapse prevention’  diterapkan agar Ali dapat mempertahankan diri dari kembali ke zaman edan. Setelah tiga bulan ternyata Ali benar-benar berubah.
            Gembira benar Aminah apabila mengetahui semuanya pulang dengan identiti yang baru. Tiada lafaz kata yang mampu diucap melainkan lafaz syukur kepada yang maha Esa.
***
            Sapaan dari rakannya membuatkan Pak Ali kembali ke dunia nyata. Tersenyum sahaja rakannya melihatkan telatah Pak Ali yang terperanjat itu.
            Benar. Jika bukan kerana isterinya Aminah, pasti dirinya kini masih lagi bergelumang di dalam dunia yang gelap. Mungkin juga Pak Ali sudah menjadi mangsa AIDS dan maut akibat virus HIV.
            Betapa besarnya pengorbanan Aminah dalam membentuk dirinya yang baru. Perlahan-lahan Pak Ali menatap tapak tangannya. Dahulu tangan inilah yang kerap hinggap di pipi isteri yang amat dicintai. Kerap hari isterinya ditemani dengan juraian air mata. Sekiranya Aminah masih ada, pasti dia akan merasa gembira. Tiada lagi butiran manik yang jatuh dari mata isteri tercinta. Benar. Pohon mangga nan sebatang itulah yang menjadi penguat kehidupan serta pengubat rindu terhadap bidadari dunia dan akhiratnya yang telah tiada. Aminah, isterinya.