Bila
teringat tentang luahan hati seorang rakan yang berjauhan dengan keluarga,
membuatkan saya semakin faham erti kerinduan. Bukanlah saya tidak pernah kenal
maksud rindu sebelum ini, Cuma bila anak dan isteri berada di hadapan mata,
rasa rindu itu tidak sempat merecup. Puing-puing yang berbara, terpadam semula disimbah
kasih sayang.
Lama
rakan saya terpisah dengan keluarganya. Seorang di Sungai Besar manakala
anak-anak dan isteri berada nun jauh di Kelantan. Saban tahun, permohonan
pertukarannya sering sahaja terkandas.
Sungguh.
Saya antara saksi yang melihat kegigihannya berusaha untuk memastikan
permohonan pertukaran itu diluluskan. Panjat pejabat menteri sudah. Berkampung
di KPM sudah. Berumah tangga di JPN Kelantan pun sudah. Tapi, permintaannya tetap
juga belum dikabulkan.
Kemuncaknya,
perasaan saya bergejolak tatkala membaca luahan yang dihantar terus ke peti
WhatsApp.
Allahu.
Selepas dua minggu bercuti bersama anak isteri, inilah masa yang paling tidak
aku gemari, pulang ke Sungai Besar. Biasalah, sebelum pulang, aku perlu
berperang dengan emosi dahulu. Terutama dengan anak kecil nan seorang ini. Kalau
boleh biar mama dia sahaja yang hantar adik ke rumah mama nenek. Sebab aku
sedia maklum, jika aku yang hantar pasti akan ada drama yang mengundang juraian
air mata. Air mata aku dan dia.
"Adik
bangun lah. Dah pukul 8 dah ni. Abah nak balik Selangor pula. Abah hantar adik
ke rumah mama nenek ya?"
Tanpa
buka mata, kepalanya digelengkan.
"Lepastu
adik nak duduk dengan siapa? Abah nak balik Sungai Besar dah ni."
"Abah
lah." Jawab adik ringkas.
Adik
mula menangis. Ya, memang itulah kebiasaannya. Habis sudah skil memujuk
digunakan tetapi teriakan adik semakin kuat. Aku sumbat semula botol susu di
mulutnya. Dia tenang dalam dakapan lena.
Wajah
adik, aku tatap dalam-dalam. Allahu. Entah bila ujian ini akan berakhir. Di
saat orang lain dapat melihat segala yang pertama tentang anak mereka, aku pula
hanya mampu tersenyum di kejauhan.
“Abah.
Adik sudah pandai berjalan.”
“Abah.
Adik sudah bercakap.”
“Abah.
Adik sudah boleh meniarap.”
Khabar
itu hanya mampu aku tatap lewat pesanan ringkas daripada sang isteri.
Perlahan-lahan air mata aku menitis.
Waktu
sudah semakin lewat. Adik masih lena di pembaringan. Sedangkan banyak lagi
kerja yang perlu diberes sebelum aku meninggalkan rumah ini sekurang-kurangnya
untuk dua minggu lagi. Andai dikejut, pasti dia menangis.
Aku
meletakkan tangan ke atas badan adik. Laju jemariku mencari titik kelemahannya.
Geletek dan bergurau. Ada tindak balas. Adik sudah mula senyum dan ketawa.
Allahu.
Apakah tergamak untuk aku meninggalkan anak kecil ini disaat dia sangat-sangat
memerlukan abahnya di sisi? Aku tidak kuat.
“Abah
menangis?” Adik mengelap air mata yang tumpah dengan tangannya.
“Tak.
Abah sakit mata.”
Adik
bangun lalu mencium mataku. Lama. Luruh lagi manik jernih itu tanpa dapat
ditahan.
"Dik.
Jom pergi rumah Sadat." Aku cuba bermain kata dengan mengajak adik ke rumah
sepupunya.
Ada
senyuman terlukis di wajah adik. Umpan aku sudah mengena.
"Tapi
dengan syarat. Kena mandi dahulu."
Adik
mengangguk. Dia bangun lalu mandi. Siap mandi dan berkemas, adik ingatkan aku
semula.
"Abah.
Adik nak pergi rumah Sadat, ya."
Aku
terdiam. Melayan perasaan yang berperang di dalam dada.
Sampai
di bulatan jalan yang akan menghala ke rumah pengasuh, sekali lagi adik bersuara.
"Abah.
Adik nak pergi umah Sadat" Ada getaran di hujung suara.
Aku
ligat mencari jawapan agar adik tidak menangis.
"Abah
nak pergi beli nasi di kedai kawan abah dulu, ya." Sekali lagi aku
terpaksa melencongkan kata agar rasanya tidak terguris.
Bila
sampai di rumah pengasuh, sedaya upaya untuk aku elak dari bertembung mata
dengannya. Tapi apakan daya. Wajah ini hanya aku akan temui dua minggu lagi. Dengan
wajah yang sarat emosi, anak kecil itu aku peluk semahunya. Air mata adik
semakin galak bertakung. Kelopak matanya berkedip menahan galau. Perlahan-lahan
dia berbisik.
"
Abah. Abah kata nak hantar adik pergi rumah Sadat. Abah tipu." Akhirnya
pecah juga teriakan adik,
Maafkan
abah, adik. Tidak ada abah yang sanggup menipu anaknya. Tapi jika abah tidak
menipu, hati abah akan sakit. Jiwa adik juga akan terseksa. Biarlah abah terus
menipu asalkan kita hidup bahagia. Adik doakan agar abah dapat pindah ya. Kita
dapat hidup bahagia Bersama buat selamanya.
Saya
tabik kepada semua rakan-rakan yang PJJ. Saya doakan agar kalian tetap tabah
menempuh ujian ini. Teruskan usaha. Pantang menyerah.