Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Thursday, September 18, 2014

Review Buku Terapi Biblio Kepulihan

6:53 AM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.


Terapi Biblio Kepulihan – Bila pengalaman menjadi penulisan. Isu permasalahan dadah yang tidak pernah surut menjadi asas kepada penulisan ini. Menghimpunkan 24 kajian kes yang diolah menjadi barisan cerpen nan indah membuatkan buku Terapi Biblio Kepulihan satu kajian yang perlu dihayati.

Menghimpunkan penulis amatur di dalam sebuah buku dengan impak kepulihan dalam penyalahgunaan dadah membuka ruang kepada masyarakat untuk tahu bahawa penagih juga mampu membawa diri keluar dari alam kegelapan.

Disusun dengan terperinci oleh gabungan tiga pensyarah mapan iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Halim Hussin, Profesor Dato’ Dr Mizan Adilliah dan Dr. Amin Al Haadi pasti membuatkan buku ini menjadi sumber rujukan utama dalam terapi biblio.

Buku yang signifikan dengan ACREDA USIM ini pertama kali memperkenalkan kaedah biblio sebagai terapi dalam kepulihan. Perkara ini diterangkan secara ilmiah oleh Dr. Al Haadi dengan menekankan sejarah, pelaksanaan, kelebihan dan kelemahan terapi biblio.

Melalui buku ini pembaca akan dibawa mengembara menelusuri lorong-lorong hitam penagihan. Walaupun buku ini lebih menekankan kepada teori dan isinya lebih akademik tetapi dengan cara penulisan yang santai mampu meresap ke dalam nubari pembaca.

Buku yang diterbitkan oleh Penerbit USIM dengan nombor ISBN 978-967-440-078-1 boleh dibeli di Penerbit USIM dengan harga RM 20.00 senaskah. Saya membeli buku ini di Kolokium PERKAMA.

Tuesday, September 16, 2014

78 Kesan Buruk Gula Pasir

6:37 PM Posted by Lobam , 4 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad junjungan tercinta.

Sumber Google
Seperti mana yang kita tahu, gula putih atau gula pasir lebih memberi mudarat berbanding manfaat. Sewaktu kita kecil dahulu ibu bapa sering melarang kita mengambil makanan bergula terutamanya minuman berkarbonat. Minuman berkarbonat antara minuman yang mempunyai kuantiti gula yang tinggi.

Kuantiti gula dalam minuman
`

Tahukah anda, terdapat lebih dari 70 mudarat pengambilan gula putih atau gula pasir berlebihan. Hari ini saya ingin kongsikan 78 kesan buruk pengambilan gula putih.

1. Melemahkan sistem imunisasi.
2. Mengganggu imbangan galian dalam tubuh.
3. Menjadi penyebab rasa mengantuk dan kurang cergas.
4. Menjejaskan pencapaian kanak-kanak dalam pelajaran.
5. Menyebabkan kanak-kanak mengantuk, gelisah dan nakal.
6. Meningkatkan paras trigliserid ( minyak dan lemak )
7. Melemahkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan penyakit.
8. Merosakkan buah pinggang.
9. Mengurangkan kolestrol baik (HDLs)
10. Menggalakkan pertumbuhan kolestrol jahat yang berbahaya (LDLs)

11. Mengurangkan kromium dalam badan.
12. Mengurangkan kupram dalam badan.
13. Mengganggu serapan kalsium dan magnasium oleh sistem badan.
14. Menyebabkan kanser payudara, kanser ovari, kanser prostat dan dubur.
15. Menyebabkan kanser kolon (usus besar) dan wanita amat berisiko tinggi.
16. Faktor kepada kanser pundi hempedu.
17. Meningkatkan tahap glukosa dalam darah dengan cepat.
18. Melemahkan penglihatan.
19. Meningkatkan paras seronin yang menyempitkan pembuluh darah.
20. Penyebab hipoglisemia.

21. Penyebab perut berasid.
22. Meningkatkan paras adrenalin di kalangan kanak-kanak.
23. Meningkatkan risiko penyakit jantung kronori.
24. Mempercepatkan proses penuaan, kulit berkedut dan uban pada rambut.
25. Membawa kepada ketagihan alkohol.
26. Merosakkan gigi.
27. Penyumbang utama kegemukan.
28. Meningkatkan risiko penyakit crohn dan colitis berulser.
29. Penyebab bengkak saluran usus di kalangan pesakit gastrik.
30. Penyebab arthritis.

31. Penyebab lelah.
32. Pembentukan batu di dalam ginjal.
33. Penyebab pembentukan yis dan kandiasis.
34. Penyebab pembentukan batu karang dalam hempedu.
35. Penyebab sakit jantung iskemik.
36. Penyebab sakit apandiks.
37. Merangsang tanda-tanda multiple scierosis.
38. Penyebab pendarahan.
39. Penyebab Vena Varikos.
40. Meningkatkan tindak balas glukosa dan insulin kepada pengamal pil pencegah kehamilan.

41. Penyebab penyakit gusi.
42. Penyumbang kepada osteoporosis.
43. Penyebab kemerosotans ensitiviti insulin.
44. Penyebab air liur berasid.
45. Penyebab kemerosotan toleransi glukosa.
46. Mengurangkan hormon tumbesaran.
47. Meningkatkan kolestrol dalam badan.
48. Meningkatkan tekanan darah sistolik.
49. Menyebabkan struktur protin bertukar hingga mengganggu serapan protin oleh tubuh.
50. Penyebab alergi terhadap makanan.

51. Penyumbang kepada penyakit kencing manis.
52. Penyebab keracunan darah semasa hamil.
53. Penyebab akzema kepada kanak-kanak.
54. Penyebab penyakit kardiovaskular.
55. Melemahkan struktur DNA.
56. Penyebab katarak.
57. Penyebab emfiserma.
58. Penyebab arteriosclerosis.
59. Penyebab pembentukan radikal bebas dalam aliran darah.
60. Merendahkan kemampuan enzim.

61. Penyebab kehilangan keanjalan tisu serta fungsinya.
62. Penyebab sel hati etrbahagi dan ini akan meningkatkan saiz hati.
63. Meningkatkan lemak di dalam hati.
64. Membesarkan saiz buah pinggang.
65. Memberi tekanan tinggi dan kerosakan kepada pankreas.
66. Meningkatkan retensi cecair dalam badan.
67. Penyebab sembelit.
68. Penyebab rabun mata.
69. Penyebab lapisan rerambut.
70. Penyebab hipertensi.

71. Penyebab sakit kepala.
72. Mengganggu kemampuan berfikir.
73. Penyebab kemurungan.
74. Meningkatkan tindak balas insulin.
75. Penyebab penapaian bakteria di dalam usus.
76. Penyebab ketidak seimbangan hormon.
77. Meningkatkan risiko darah beku dalam badan.
78. Meningkatkan risiko penyakit Alzheimer. 

Lihat. Betapa banyaknya kesan buruk yang disebabkan oleh gula. Gula bukan sahaja terdapat di dalam makanan berproses tetapi terdapat juga gula yang tersembunyi di dalam buah-buahan. Selain dari khasiat yang banyak, hati-hati buah-buahan juga menjadi antara penyumbang gula tertinggi dan sangat mudarat jika diambil dalam kuantiti yang banyak.


Di dalam Diet Atkins yang saya amalkan, antara bahan yang perlu dielakkan ialah pengambilan karbohidrat dan gula. Asasnya mudah. Karbohidrat dan gula menjadi sumber tenaga. Sekiranya kita mengambil gula dan karbohidrat secara berlebihan, makanan yang tidak dibakar (menjadi tenaga) akan bertukar menjadi lemak. Kerana itulah lemak yang terkumpul semakin bertambah dan menjadi punca obesiti.

Jika pengamal Diet Atkins tidak mengambil gula dan karbohidrat, lemak yang terkumpul di dalam badan akan dibakar menjadi tenaga. Secara mudahnya, lemak-lemak yang terkumpul itu akan berkurangan dan menjadikan seseorang itu semakin kurus (akibat dari pembakaran lemak yang berlebihan)

Tetapi sampai bila kita mampu untuk tidak mengambil gula? Seminggu dua mungkin boleh. Tetapi bagaimana selepas itu? Bagi saya mudah. Saya mengamalkan stevia sebagai gula gantian kerana stevia tiada (null) kalori. Stevia juga tidak merbahaya. Pilihan saya ialah RCC Royal Sweetener.


Kelebihan Royal Sweetener ini ialah satu titis stevia bersamaan dengan tiga sudu teh gula pasir. Satu botol boleh digunakan sehingga tiga ratus titis. Mudah dan menjimatkan.

Jika saya membancuh satu liter air, 3-5 titis Royal Sweetener sudah cukup untuk memberi rasa.


Harganya agak berpatutan. RM50.00 untuk satu botol. Jika beli 3 botol harganya RM120.00

Bertukarlah kepada Stevia kerana terdapat 78 kesan buruk gula pasir.

Monday, September 15, 2014

Membeli Belah Di Pekan Nabalu

10:43 PM Posted by Lobam , 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Gunung Kinabalu terpampang jelas di belakang
Pekan Nabalu jarang disebut oleh kebanyakan pelancong yang bertandang ke Sabah. Malah jika dicari melalui carian Google tidak banyak blog yang bercerita tentang Pekan Nabalu secara detail. Kebanyakan penulis hanya menukilkan Pekan Nabalu hanya pekan terpencil menjadi transit kepada para pelancong untuk berehat atau membuang air sebelum meneruskan perjalanan  ke Kinabalu Park.


Sebenarnya pekan kecil Nabalu mempunyai sesuatu yang lebih dari apa yang kita jangkakan. Pekan Nabalu terletak sekitar 75km dari Kota Kinabalu atau mengambil masa lebih kurang satu jam lima belas minit perjalanan menggunakan kenderaan. Pekan Nabalu juga terletak tidak jauh dari Kinabalu Park yang mana menjadi kawasan permulaan pendakian ke Gunung Kinabalu. Terletak di kawasan berbukit pastinya menyajikan pemandangan yang mengagumkan. Ibarat lukisan indah yang tergambar di kanvas infiniti, Pekan Nabalu yang berlatar belakangkan puncak Gunung Kinabalu pasti menjentik atma. Indah di pandangan mata.   

Puncak dapat dilihat dengan jelas
Selain dari itu, Pekan Nabalu juga menjadi transit atau lokasi membeli belah yang terbaik. Ya memang banyak lokasi membeli belah yang popular di sekitar Kota Kinabalu. Selain Pasar Filipina dan Pasar Malam Kampung Air, Pekan Nabalu juga patut diletakkan dalam senarai lokasi membeli belah barangan cenderahati. Dengan berlatar belakangkan Gunung Kinabalu nan indah, persekitarannya juga cantik dan bersih malah udaranya turut nyaman. Lokasinya pula tidaklah semacet lokasi-lokasi jualan yang lain. Tidak ramai dan tidak perlu bersesak-sesak. Malah pengunjung juga boleh membeli belah dengan selesa. Dapat juga ziarah dari satu gerai ke gerai yang lain dengan bebas.


Di Pekan Nabalu terdapat satu pasar yang dinamakan Gerai Pekan Nabalu. Di gerai ini tersusun puluhan gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai jenis cenderamata. Saya berani katakan, harga jualan di Gerai Pekan Nabalu ternyata jauh lebih murah dari kawasan membeli belah yang telah saya sebutkan tadi. 

Pelbagai cenderahati ada dijual di sini

Sekadar memberi contoh, harga magnet peti sejuk di Kota Kinabalu adalah RM10 untuk 3 keping. Tetapi di sini anda boleh mendapat barangan yang sama dengan harga yang lebih murah. RM10 unuk 4 keping. Jika pandai memujuk tidak pelik jika boleh mendapat 5 keping untuk harga RM10. Itu hanya sekadar contoh. Banyak lagi barangan yang lebih murah dari pasar-pasar yang terletak di Kota Kinabalu. Yang penting kita pandai membezakan harga antara kedai yang lain.



Pekan Nabalu juga lokasi untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran. Hasil tanaman tanah tinggi pastinya jauh lebih segar dari kawasan bandar. Malah harganya jauh lebih murah. Ambil sedikit masa untuk membeli buah-buahan di sini. Rasai dan nikmati kesegaran buah-buahan dari tanah tinggi.


Terdapat satu kawasan di belakang gerai jualan yang berlatar belakangkan Gunung Kinabalu. Lokasi itu menjadi pilihan kepada para fotografer untuk mengabadikan detik-detik indah Gunung Kinabalu. Jika cuaca baik, puncak Gunung Kinabalu boleh dilihat dengan jelas dari pekan ini. Jika tidak, puncak gunung yang dilitupi awan gemawan nipis yang dilihat berbalam-balam juga sudah cukup mengujakan. Yang penting jurufoto pandai membidik gambar serta bijak mencari sudut yang menarik.


Jujur saya katakan, untuk membeli cenderamata Sabah, Pekan Nabalu adalah lokasi yang paling sesuai. Membeli belah di Pekan Nabalu boleh membuatkan kita terleka. Bukan sahaja terpegun dengan barangan yang diperagakan tetapi juga leka untuk tawar menawar harga. Sayangnya, mutiara tiada dijual di sini. Jika tidak harganya juga pasti lebih murah.

Jika ke Kundasang dan Ranau jangan lupa singgah membeli belah di Pekan Nabalu ya sahabat.

Kampung Warisan Muzium Sabah

5:41 PM Posted by Lobam , 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia. 

Setibanya ke Kota Kinabalu, pemandu pelancong dari Kereta Sewa Sabah sudah siap menunggu di terminal. Urusan di lapangan terbang yang selesai seawal jam 9.30 pagi membuatkan kami memilih untuk bersiar-siar di sekitar bandaraya Kota Kinabalu sebelum daftar masuk hotel pada jam 2.00 petang. Memandangkan ini pertama kali kami menjejakkan kaki di bumi Borneo, menggunakan khidmat pemandu pelancong suatu yang relevan. Tambahan pula kami bergerak seramai 8 orang sekumpulan dan hadir sebagai deligasi akademik yang menghadiri seminar di Universiti Malaysia Sabah.

Kami dibawa untuk city tour. Antara tempat yang sempat kami singgah ialah Muzium Sabah.

Landmark wajib bergambar
Bagi peminat warisan dan sejarah serta arkelogi, Muzium Sabah merupakan tempat yang paling sesuai untuk dilawati. Muzium Sabah terbahagi kepada beberapa kawasan. Selain dari bangunan utama yang menempatkan pelbagai sejarah Sabah termasuk artifak dan rangka ikan paus, terdapat juga taman-taman lain seperti Kampung Warisan, Taman Tamadun Islam, Taman Bunga dan banyak lagi.

Pintu gerbang Kampung Warisan
Kami mulakan penjelajahan di Muzium Sabah dengan melawat Kampung Warisan di Muzium Sabah. Di Kampung Warisan ini terdapat rumah-rumah tradisional kaum-kaum yang terdapat di Sabah antaranya Rumah Panjang Rungus, Rumah, Brunei, Rumah Pekebun Cina, Rumah Bajau dan banyak lagi. Setiap rumah menampilkan keunikan tersendiri. Tetapi sayang rumah-rumah ini nampak tidak diselenggara dengan baik.


Selain dari keunikan seni bina rumah tradisional ini, pelancong juga disajikan dengan info-info yang menarik mengenai sesebuah rumah. 



Menggigil untuk memebeli belah
Terdapat juga gerai-gerai jualan yang disediakan di rumah-rumah tertentu. Bagi saya, harga cenderahati di sini agak munasabah. Sebelum melabur besar di Pasar Filipina atau Pekan Nabalu, tidak salah kalau kita menabur barang sepuluh ringgit dua untuk membantu penjual-penjual yang agak berumur di sini. Jika pandai tawar menawar pasti harganya tiada beza dengan harga di pasar malam Kampung Air.


Bagi penggemar fotografi, Kampung Warisan ini sesuai untuk dijadikan lokasi pengambaran. Malah sesuai juga untuk dijadikan lokasi untuk wedding photography. 



Terdapat juga jambatan gantung yang menghubungkan kawasan Taman Warisan dengan bangunan utama Muzium Sabah. Walaupun jaraknya pendek tetapi tetap mampu meningkatkan adrenalin mereka yang fobia kepada ketinggian.



Tiket yang dikenakan ialah RM 2.00. Bagi pelajar sekolah yang datang memakai uniform tiada bayaran dikenakan. Waktu urusan pula dibuka setiap hari bermula jam 9.00 hinggalah 5.00 petang.

Peta ke Muzium Sabah
Bagi saya, lawatan ke Kampung Warisan Muzium Sabah adalah sangat berbaloi. Jangan lupa singgah ke sini jika anda ke Sabah.

Di muzium ini turut disediakan kafeteria dan kedai cendemata untuk para pengunjung. Sekurang-kurangnya ada juga tempat untuk membasahkan tekak selepas berjalan kaki menjelajahi Muzium yang besar ini.

Maaf tiada gambar di bangunan utama. Terlalu letih sehingga tidak sempat untuk mengambil gambar ^_^ 

Poring Hot Spring Sabah

2:24 PM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas nikmat rezeki yang melimpah ruah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad serta para sahabat dan ahlul bait baginda.

Air panas semulajadi
Kampung Poring yang terletak di dalam daerah Ranau Sabah mengambil masa 45 minit perjalanan atau lebih kurang 35 km dari pekan Kundasang. Kawasan kampung yang wujud seawal tahun 1963 itu merupakan asalnya adalah kawasan hutan belantara.


Kawasan Poring ini terkenal dengan kawasan Air Panas Poring atau Poring Hot SpringKawasan Poring Hot Spring Sabah ini terletak dalam Pusat Warisan Dunia atau World Heritage Site. Jika anda datang ke Kundasang tidak lengkap kiranya jika tidak singgah ke Air Panas Poring Sabah ini. Memandangkan jaraknya agak jauh ke bawah dari Kundasang pelancong mempunyai pilihan sama ada untuk ke sini atau ke Tagal. Walau bagaimana pun tempat ini tidaklah wajib untuk dilawati. Bagi saya ianya sama seperti kawasan air panas yang lain seperti Air Panas Pedas Negeri Sembilan, Air Panas Gadek Melaka atau Air Panas Sungai Klah Perak. Malah pendapat peribadi saya, Air Panas Sungai Klah Perak jauh lebih baik. 


Terdapat banyak kolam air panas yang disediakan. Para pelancong boleh memilih sama ada untuk mandi di kolam terbuka atau kolam peribadi yang disediakan di dalam bilik. Jika mandi di kolam terbuka, anda akan berkongsi dengan pengunjung-pengunjung yang lain.

Kolam air panas terbuka yang dikongsi bersama pelancong lain


Awas. Jangan datang ke sini jika dalam musim cuti sekolah. Tempatnya tidaklah besar mana. Jika anda datang pada waktu cuti sekolah pasti anda akan bersesak dengan pengunjung-pengunjung yang lain. Sudahlah jauh dari Kundasang, bila tiba di Poring Hot Spring Sabah anda terpaksa menunggu masa yang lama untuk mandi atau mungkin pulang dalam keadaan hampa. Dua jam perjalanan pergi dan pulang dari Kundasang seakan sia-sia.

Harga tiket seluruh kawasan Kinabalu Park
Tiket Kinabalu Park juga boleh digunakan untuk mandi di kawasan Poring Hot Spring
Bayaran yang dikenakan pula cukup minima iaitu hanya RM3.00 seorang. Jika anda sudah membeli tiket di Kinabalu Park, anda boleh menggunakan tiket yang sama di kawasan Poring Hot Spring ini.

Selain dari kawasan air panas, terdapat satu lagi tarikan pelancong di kawasan Poring Hot Spring Sabah iaitu Canopy Walk atau Titian Kanopi Poring.

Saya akan ceritakan di entri yang akan datang.

Rumah Terbalik Sabah

1:49 PM Posted by Lobam , 1 comment
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait baginda.


Jika melancong ke negara Mesir pasti tidak sah jika tidak ke Piramid. Begitu juga dengan Paris. Tidak lengkap percutian jika tidak ke Menara Eiffel yang tersergam indah. Jika anda menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu, tidak sah percutian jika tidak singgah ke Rumah Terbalik Sabah yang terletak di TamparuliTamparuli terletak 73 km ke Kundasang dan Ranau. Jika anda bercuti dengan menggunakan pakej agensi pelancongan, lawatan ke Rumah Terbalik Sabah sehaluan dengan lawatan ke kaki Gunung Kinabalu di Kundasang.





Rumah Terbalik Sabah merupakan pemegang rekod Malaysia iaitu rumah pertama yang terbalik di Malaysia. Malah lebih membanggakan rumah ini terseranai rumah terbalik kelima di dunia. Keunikan rumah ini ialah rumah ini dibina dari bawah iaitu bumbung sehinggalah ke atas berbeza dengan rumah terbalik yang lain di mana rumah tersebut dibina secara normal kemudian barulah diterbalikkan.


Jika anda fikir terdapat banyak Rumah Terbalik yang ada di sini sebenarnya anda silap. Hanya sebuah sahaja rumah yang terbalik di sini. Selain dari rumah terbalik terdapat juga kereta kancil yang diparkir secara terbalik.


Sebelum masuk ke rumah ini, anda akan diminta oleh pemandu pelancong untuk memukul gong sebagai tanda ada tetamu yang bertandang. Malah pengunjung juga diminta untuk mengetuk pintu sebagai tanda minta izin untuk masuk.


Ada beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh para pengunjung. Peraturan yang terpenting ialah TIDAK DIBENARKAN UNTUK MENGAMBIL GAMBAR ketika di dalam rumah. Alasannya mudah. Sebagai strategi pemasaran. Jika segala macam isi di dalam Rumah Terbalik Sabah telah didedahkan, siapa lagi yang mahu datang melawat. Hehehe.



Malah terdapat juga jamban terbalik yang digunakan sebagai props untuk mengambil gambar. Di sinilah terserlahnya kreativiti untuk menghidupkan penceritaan di dalam gambar yang diambil. Ada yang berlakon seperti watak adiwira spiderman malah ada juga yang melakonkan gaya berada di atas jamban.


Di sini juga turut disediakan kedai cenderhati dan cafe untuk membasahkan tekak. Bagi saya barangan di kedai cenderahati hanya mampu dilihat. Bukan kerana tidak mampu tetapi, saya boleh dapat dengan harga yang lebih murah di luar sana.






Harga tiket yang dikenakan ialah RM 10.00 untuk dewasa dan RM 5.00 untuk kanak-kanak. Kanak-kanak di bawah tiga tahun adalah percuma.