Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, February 3, 2014

Resipi Krunchy Karamel Almond

2:11 PM Posted by Lobam 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.


Saya merupakan peminat Krunchy Karamel Almond. Sebenarnya sudah lama saya ingin mencuba resipi ini tetapi dek kerana kekurangan bahan, projek ini sering tergendala. Bahan utama untuk membuat resipi ini ialah Tepung Florenta. Sayangnya tepung ini amat sukar ditemui di kedai-kedai biasa. Satu lagi, tepung ini agak mahal harganya. Secara jujurnya, saya akui resipi ini memerlukan modal yang tinggi. Tetapi kerana sedap, faktor harga boleh letak ke tepi.


Saya menemui tepung florenta ini di kedai peralatan membuat kek Bagus di Kota Damansara. Dengan menggunakan jenama Bienetta tepung ini boleh dibeli dengan harga RM 26.80 untuk 600gram. Malah harga bahan-bahan lain juga sedikit mahal contohnya kepingan badam RM 9.90 untuk 250 gram dan pumpkin seed atau kuaci hijau berharga RM 14.80 untuk 500 gram. Tidak hairanlah jika Krunchy Karamel Almond ini dijual dengan harga yang mahal di pasaran walaupun proses pembuatannya tidak sampai 15 minit.

Bagi yang mempunyai keluarga yang ramai, tidak salah jika mengeluarkan sedikit belanja dan buat sendiri. Ternyata hasilnya sama seperti yang dijual dan sudah tentu lebih lebih lebih lebih lebih menjimatkan. Tambahan pula satu pek tepung florenta yang beratnya 600 gram boleh digunakan untuk 3 kali pembuatan Krunchy. RM 26.80 dibahagi tiga sama dengan RM 8.90 untuk sekali buat. Masih boleh dikira sebagai jimat. 

Bahan-bahan:

1. 200 gram tepung Florenta (atau apa-apa jenama seangkatan dengannya )
2. 180 gram badam keping
3. 80 gram kuaci hijau ( pumpkin seed )
4. 20 gram bijan hitam
5. 60 gram kuaci ( sunflower seed )

Cara memasak :

1. Bakar badam keping, kuaci hijau dan kuaci di dalam oven pada suhu 160 c selama 5 minit. Pastikan bahan-bahan tersebut tidak hangus.



2. Campurkan semua bahan ( tepung florenta, badam keping, kuaci hijau, bijan hitam dan kuaci ) di dalam satu bekas dan gaul sehingga rata.

3. Sediakan loyang ( ikut kesesuaian. Saya hanya menggunakan bekas tingkat di dalam oven dan alas dengan kertas membuat kek )

4. Panaskan oven pada suhu 160 c.


5. Tuang bahan ke dalam loyang dan ratakan. Terpulang kepada semua sama ada mahu tebal atau nipis. Saya lebih gemar nipis agar lebih rangup dan mudah untuk di kunyah.

6. Bakar selama 5 - 10 minit. Tepung yang telah dicampur karamel akan mencair dan mengikat semua bahan. Jika karamel sudah nampak perang keluarkan segera, jika tidak karamel akan hangus.


7. Sejurus keluar dari oven, potong segera mengikut saiz yang dikehendaki. 

Saya lebih gemar memotongnya dalam bentuk segi empat kecil supaya kelihatan banyak. Ini akan mempengaruhi psikologi anak-anak. Bila dalam bentuk kepingan kecil anak-anak akan makan banyak, secara automatik bila sudah makan banyak anak-anak akan berhenti sendiri ( apa punya kedekut lah hehehe )

Saiz bekas yang saya gunakan untuk menyimpan Krunchy Karamel Almond
Dengan sukatan bahan-bahan di atas, saya boleh menghasilkan 3 loyang. Kira-kira satu setengah bekas kecil.

Senang bukan? Selamat mencuba. Jangan lupa kongsikan link blog anda di bahagian komen apabila sudah siap nanti.

3 comments: