Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Tuesday, July 1, 2014

Liverpool Di Ulu Yam

1:06 PM Posted by Lobam 1 comment
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.


Sewaktu kecil pasti kita mempunyai impian. Apa sahaja yang terpandang dek mata itulah yang terniat di hati. Jadi tidak hairanlah jika kanak-kanak kecil bercita-cita mahu menjadi Ultraman bila dewasa nanti. Saya juga mempunyai impian. Ketika di dalam darjah 4, seorang guru pernah bertanya kepada seluruh pelajar di dalam kelas. Siapa yang pernah menaiki kapal terbang? Beberapa orang rakan mengangkat tangan. Seluruh mata tertumpu kepada mereka. Bagi kami penduduk kampung, menaiki kapal terbang adalah satu perbuatan yang tidak pernah terbayang di mata. Hanya mereka yang tergolong dalam golongan bangsawan sahaja yang mampu menaiki pesawat. Tahun 90-an pesawat hanya tergambar melalui media cetak mahupun televisyen sahaja. Tiada langsung di benak fikiran seorang budak kampung tentang bentuk serta keadaan pesawat yang sebenar. Tidak seperti sekarang kerana Semua Mampu Terbang.

Langsung terlukis cita di angan saya yang suatu hari nanti saya juga ingin menaiki kapal terbang. Tetapi mampukah saya? Seorang kanak-kanak kampung yang gemuk dan corot dalam pelajaran berangan untuk terbang melihat dunia dari dimensi yang berbeza. Itulah angan-angan sewaktu kecil.

Tatkala membaca Ulu Yam Di Liverpool edisi pertama, semua ini terbayang satu persatu dalam fikiran. Ibarat wayang gambar memaparkan babak demi babak sejak saya kecil sehinggalah saya berjaya meletakkan diri saya di dalam pesawat. Ternyata kisah perjalanan saya seakan sama seperti penulis buku itu, Nazali Noor.

Bagaimana saya mengenali UYDL?

Perkenalan saya dengan UYDL berlaku secara tidak sengaja. Sewaktu itu saya sekadar window shopping di Alamanda Putrajaya, kaki saya tiba-tiba melangkah ke kedai MyNews. Semuanya secara tidak sengaja. Langsung saya terlihat sebuah buku di rak yang bertajuk Ulu Yam Di Liverpool. Terus saya mengambilnya. Mahu dibuka, bukunya masih berbalut plastik. Mahu dibeli risau bukunya tidak bagus. Jadi cara paling mudah ialah membaca hasil review pembaca di internet. Selepas membaca beberapa komen langsung saya membelinya.


Tatkala mata terpandang baris ayat pertama, jeritan perasaan melarang saya untuk berhenti. Semakin mahu ditinggalkan buku ini semakin kuat tangan menyelak helaian demi helaian. Jujur saya katakan. Saya seorang yang rigid dalam memilih buku. Saya hanya meneruskan pembacaan jika buku benar-benar bagus sahaja. Jika tidak, buku-buku itu hanya dibaca separuh jalan dan dijadikan hiasan di rak perpustakaan mini. Itulah tabiat yang tidak dapat saya tinggalkan. Ternyata buku UYDL ini benar-benar membuatkan saya terpaku.


Agak sukar untuk mencari buku bergenre travelog yang bagus. Selain buku Travelog Haji karya Prof Kamil dan Rumah Kecil Di Jabal Uhud karya isterinya Roza, UYDL juga telah memecah benteng kepercayaan saya yang mana bagi saya tiada buku travelog sebaik Travelog Haji. Ya, kini saya silap. Nazali Noor telah membuktikan bahawa karyanya juga sehebat karya Prof Kamil juga seorang yang berhijrah dan kini mengabdikan dirinya di Madinah Munawwarah. Sudah tentu kini Nazali Noor turut tersenarai dalam barisan penulis kegemaran saya.

Apa Yang Menarik?

Saya percaya, penulisan yang baik ialah penulisan yang lahir dari hati. Setiap bait perkataan mampu memberi makna yang mendalam dan setiap baris kata mampu menyentap tangkai emosi pembaca. Itu yang saya temui di dalam UYDL. Biarpun tidak disulami dengan ayat bombastik, tetapi maksud yang ingin diceritakan itu sampai ke dalam hati langsung menusuk emosi. Mungkin dengan garapan yang bersahaja serta cerita biasa yang disajikan dengan hidangan luar biasa membuatkan UYDL dekat dengan pembaca. Hampir tiada satu bab  pun yang tidak mampu menyetap emosi. Membaca UYDL membuatkan air mata sentiasa bergenangan.


Pembaca lebih faham kepada cerita yang menyentuh berkaitan isu ibu bapa, isteri dan anak-anak. Ya semua individu ini dekat dengan pembaca. Semua pembaca mempunyai ibu bapa. Jika tidak bagaimana pembaca boleh lahir ke dunia. Sebab itulah UYDL dapat diterima oleh segenap lapisan umur serta masyarakat. Siapa tidak tersentuh hati apabila bercerita tentang impian yang diragut oleh ibu sendiri. Air mata siapa yang tidak menitis apabila terpaksa mengangkat kaki di saat ibu yang tidak tentu entah bila hidup dan matinya. Ternyata dengan garapan yang penuh melankolik semua perasaan bersatu menjadi rasa yang sama.

Saya tidak dibayar untuk bercerita tentang UYDL. Malah saya tidak dijanjikan dengan apa-apa ganjaran tentang review yang saya lakukan. Tetapi apa yang keluar dari hasil ketukan papan kekunci komputer riba ini adalah perasaan saya sendiri.

Benar. Saya benar-benar cemburu kepada Abang Naz (penulis). Cemburu dari segenap segi. Walau bagaimanapun saya kira nasib saya sedikit baik apabila dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara seawal di peringkat sarjana muda lagi. Tetapi selepas membaca UYDL semangat ingin berhijrah itu semakin berkobar-kobar. Setiap perkataan yang saya baca, saya lakarkan dalam angan yang entah bila akan terlaksana.


Bertitik tolak dari itu saya mula mengikuti perkembangan Abang Naz melalui laman FB nya. Ternyata perkongsian yang beliau titipkan di setiap entri sedikit sebanyak mampu memugar semangat. Saya juga sepertinya. Seorang guru berasal dari kampung. Juga bertubuh 'sasa' dan kami ada impian. Bezanya ialah kehidupan saya telah diaturkan tetapi Abang Naz, impiannya telah dicuri sejak kecil.


Banyak yang ingin saya ceritakan tentang UYDL. Terasa banyak isu yang ingin saya tumpahkan di catatan kecil ini.

Saya tidak pernah mengenali Nazali Noor sebelum ini. Namanya hanya mekar selepas UYDL meletup di pasaran. Benar kata isterinya Kak Ain, jika dilihat dari luaran tiada apa yang istimewa pada batang tubuh Abang Nazali Noor tetapi yang membezakan nilai seseorang dengan insan yang lain ialah ILMU dan PENGALAMAN. Ternyata Abang Naz yang kaya dengan Ilmu dan Pengalaman itu membuatkan dirinya bernilai dan berbeza.

Kasih Sang Isteri

UYDL
membuka perspektif yang baru dalam cara saya menghargai isteri. Jelas, UYDL membuatkan saya berfikir semula tentang kehadiran insan bernama isteri di sisi saya. Bukanlah saya tidak pernah menghargai isteri sebelum ini. Tetapi nota-nota yang dibentang di dalam UYDL membuka mata saya untuk memandang ketabahan isteri dari sisi yang lain. Saya kini sedang menyambung pelajaran di peringkat sarjana secara sepenuh masa. Menjadi weekend husband sangat melelahkan. Saya hampir rebah dan mengalah. Tetapi kehadiran isteri banyak menyuntik supplement menjadikan saya kembali kuat dan bertenaga. Tambahan pula menjaga 3 superhero iaitu Ultraman, Spiderman dan Batman seorang diri di rumah pasti sangat sukar. UYDL mengajar saya menghargai kasih seorang isteri.

Sarat Isu Kekeluargaan

Ibu saya pernah berpesan, adik beradik itu ketika ibu bapa masih hidup. Selagi tidur sebantal dan selagi makan sepinggan itulah namanya adik beradik. Bila sudah ada keluarga sendiri, kehidupan sendiri dan kekayaan sendiri adik beradik dikesampingkan.

Mungkin persekitaran membuatkan ibu saya mengeluarkan kata-kata sebegitu. Bukanlah institusi kekeluargaan ibu saya pincang tetapi mungkin beliau ada pengalaman sendiri ataupun sekadar menumpang pengalaman orang lain.

Di UYDL pembaca dibawa menelusuri denai kekeluargaan yang melingkari kehidupan Onn. Ternyata hubungan persaudaraan yang kukuh membuatkan institusi itu terus utuh sehingga kini.


22 Jun yang lalu telah berlangsung sesi pelancaran Ulu Yam Di Liverpool edisi ke 2. Program gilang gemilang ini diadakan di UK Resort Ulu Kalong Ulu Yam. Nah. 3 kali Ulu nya. Saya patut merasa bangga kerana menjadi antara insan terawal yang membaca serta memiliki buku edisi khas ini. Buku yang hanya dicetak sebanyak 500 unit dan memuatkan 1 bab bonus diterbit dalam edisi cetakan kulit keras.


Di UK Resort inilah saya berpeluang untuk mengenali Abang Naz dan keluarganya yang hebat. Malah Abang Naz turut membawa 3 orang pelajarnya dari Liverpool John Moores University. Seronok melihat gelagat mat dan minah saleh ini menyesuaikan diri dengan kehidupan desa di Ulu Yam.


Malah makanan yang disediakan sangat lazat. Pelbagai jenis lauk yang pernah diceritakan di buku UYDL 1 turut disediakan. Ya saya dapat merasai keenakannya. Jujur sehingga hari ini saya masih terbayang nasi lemak yang sedap itu. Saya craving sekarang.


Kepada yang ingin membeli buku UYDL Edisi khas kulit keras ini bolehlah menghubungi Kak J di talian 011 121 91968 dengan harga RM55.


Oh ya, jangan lupa dapatkan juga antologi cerpen terbitan PTS yang mana karya saya turut termuat di dalamnya. Karya saya ada di dalam Antologi JANIN yang diterbitkan secara ebook dan boleh dibeli melalui Google Play.

Sorga di http://bit.ly/ptssorga
Janin di http://bit.ly/ptsjanin
Tiada di http://bit.ly/ptstiada

1 comment:

  1. Ok, saya sudah teracun. Sebenarnya buku ini memang ada dalam list senarai yang akan beli, tapi tak terbeli. Lepas baca entry ni terus pergi beli yang 1st punya. Insyallah, lepas habis baca akan beli buku yang kedua.

    ReplyDelete