Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, September 24, 2012

Kesyukuran Atas Segala Kurniaan

10:13 PM Posted by Lobam No comments


Assalamualaikum.

Ketika jarum jam merangkak melepasi angka 12, tiada lafaz kata mampu ku ucapkan melainkan kalimah syukur kepada Allah.

Tarikh 23 September 29 tahun yang lalu lahirlah seorang putera sulung yang menanggung harapan kedua ayah bondanya. Berkat kelahiran hari Jumaat aku pasti, segunung harapan ibu dan ayah ingin melihat anak ini berjaya dan menjadi insan yang berguna.



Membesar dalam keluarga sederhana sedikit sebanyak mengajar diriku erti kepayahan. Kami tidaklah sesenang keluarga yang berada tetapi cukup makan dan pakai itu yang lebih utama.

Anak sulung ini membesar dengan penuh kasih sayang. Manakan tidak, adik keduaku lahir selepas empat tahun aku berada di muka bumi ini. Sedikit sebanyak dengan kelahiran adikku pasti mengganggu emosiku selaku anak sulung yang selalu dimanja.

Kelakuanku agak degil. Melawan, mulut celupar semuanya ada dalam diri. Mungkin emak tidak pernah bermimpi anak sulung yang dilahirkan ini akan membesar menjadi insan yang berguna.

Semasa sekolah rendah, macam-macam perangai nakal sering aku lakukan. Natijahnya ayah jugalah yang menjadi pengunjung tetap bilik GPK HEM SK St George II Taiping. Pernah juga ayah bergaduh dengan guru semuanya kerana diri aku.

Jiwa kanak-kanak yang ingin membesar penuh dengan pemberontakan. Selepas UPSR, aku dimasukkan ke SMKA Pedas kerana mendapat keputusan yang memberangsangkan. Di sana aku mengenali ramai rakan. Kebetulan itu adalah sekolah baru. Kamilah batch pertama sekolah itu.



Kenakalan aku diteruskan ketika menyambung pelajaran menengah atas di Maahad Ahmadi Gemencheh. Hero tetap hero. Kenakalan semakin menjadi-jadi. Semuanya kerana amukan dan desakan jiwa remaja. Sehinggalah aku menerima keputusan peperiksaan pertengahan tahun tingkatan 4. Keputusan ku teruk jatuh menjunam. Kala itu baru kutahu langit tinggi atau rendah. Aku dipukul ayah dihadapan kelas. Jatuh air mukaku bila diperlakukan sebegitu.

Aku tidak berdendam dengan ayah. Malah aku bersyukur mempunyai ayah yang garang tapi penyayang. Dua sifat yang berlawanan itulah yang mendidik aku sejak kecil. Aku jadikan kata-kata ayah sebagai azimat dan cabaran dalam menempuhi kehidupan.

Alhamdulillah. Aku kembali bangkit dari kegagalan. Satu persatu tangga kejayaan aku daki. Semuanya atas cabaran ayah yang lalu.

Aku bersikap positif. Aku jadikan kata-kata ayah sebagai tangkal yang berguna. Aku tidak berdendam tapi berazam untuk bangkit. Tak dapat aku bayangkan jika aku mengikut perasaan. Lari dari masalah sedangkan masalah itulah yang menghantui seluruh kehidupan aku.

Biarpun seluruh kehidupan aku ditentukan oleh ayah, tapi aku tidak menyesal. Kerana aku seorang yang positif. Aku anggap apa yang diaturkan ayah itulah yang terbaik buat diriku biarpun hati ini meronta-ronta tidak setuju. Natijahnya. Aku seperti Aku yang sekarang. Yang penting aku tidak pernah menyesal atas apa yang diaturkan dan apa yang aku lalui. Kerana aku yakin pasti ada hikmah disebaliknya.

Buat pembaca blog picisan ini. Sejuta kesyukuran dan penghargaan aku kalungkan buat semua.

Untuk anda yang bergelar pelajar, jadikanlah segala tunjuk ajar seorang ibu dan ayah sebagai azimat kerana apa yang diluahkan mereka mengandungi sejuta hikmat.

Syukur aku masih lagi bernafas hari ini. Mudah-mudahan aku diberi peluang yang lebih lama oleh Allah untuk aku berjuang. Berjuang untuk keluarga, untuk anak didik, untuk agama sekaligus untuk negara aku. Perkenankan doaku Ya Allah.


Hadiah Hari Jadi Dari Isteri Tercinta

Salam kasih sayang buat semua.

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment