Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Sunday, May 12, 2013

Tip Temuduga Buat Lepasan SPM 2

5:38 PM Posted by Lobam , 2 comments
Assalamualaikum.

Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat kehidupan di awal bulan Rejab. Selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta.

Berjumpa lagi kita di Tip Temuduga Buat Pelajar Lepas SPM edisi yang kedua. Jika sebelum ini saya ada bercerita tentang tip sebelum menghadapi temuduga, hari ini saya akan berkongsi pula tentang tip menjelang dan semasa temuduga.


Menjelang Temuduga


1. Pakaian


Sediakan pakaian yang bersesuaian pada malam menjelang hari temuduga. Bagi lelaki hendaklah memakai baju kemeja berlengan panjang. Pastikan warna kemeja tidak terang seperti hijau pokok pisang, kuning, jingga, merah dan warna yang boleh menyakitkan mata. Pilih warna yang sederhana seperti biru muda, coklat dan sebagainya. Tali leher juga perlu dipakai sama. Oh ya, baju kemeja hendaklah plain dan bukan berjalur. Jika anda dalam bidang pengajian Islam, saya mewajibkan anda memakai songkok. Seluar pula, pastikan berwarna hitam. Elak dari memakai seluar berwarna krim atau cerah.

Letakkan baju kemeja dan seluar yang siap bergosok bersama-sama tali leher dan folder sijil. Ini bagi mengelakkan anda tergopoh-gapah pada waktu pagi sehingga ada perkara yang tertinggal. Letakkan semua di satu tempat untuk memudahkan.

2. Berdoa


Sebagai seorang Muslim, kita perlu percaya kepada kuasa doa. Apa kata malam sebelum hari temuduga, kita ambil sedikit masa untuk bangun menunaikan solat sunat tahajjud dan hajat. Berdoalah sepenuh hati agar kita dikurniakan kelembutan lisan untuk menjawab segala pertanyaan dengan baik dan lancar.

3. Ambil Tahu Isu Semasa

Salah satu soalan yang kerap ditanya ialah mengenai isu semasa. Banyakkan membaca surat khabar dan informasi yang berkaitan. Kepetahan anda menjawab soalan berkaitan isu semasa akan memberi sedikit kelebihan berbanding dengan calon-calon lain. Saya pernah ditanya tentang isu semasa. Antara dialognya adalah seperti berikut :

Penemuduga : Boleh ceritakan apa isu hangat dalam akhbar 2-3 hari ini?

Saya : Terima kasih Tuan. Menurut akhbar Berita Harian bertarikh sekian sekian, muka surat 9 dalam ruangan dalam negeri ada menceritakan tentang bla bla bla bla. Manakala muka utama akhbar Utusan bertarikh sekian sekian ada menceritakan bla bla bla bla. Kesimpulannya Tuan, dapat saya rumuskan sejak seminggu dua ini isu berkaitan bla bla bla bla sering diutarakan. Terima kasih.

Saya pasti anda dapat mengagak apa yang penemuduga itu akan katakan. Ya, sudah tentu dia berasa kagum kepada saya. Katanya saya sangat berbeza berbanding calon yang lain. Nampak! Di situ sahaja saya sudah berjaya mencuri perhatian para penemuduga.

Selain itu penuhkan pengetahuan berkaitan bidang yang akan anda duduki. Sekiranya bidang perguruan. Sediakan jawapan Kenapa Saya Mahu jadi Guru. Ambil tahu juga tentang isu-isu keguruan yang sedang dibincangkan di dalam negara.

4. Datang Awal


Kebiasaannya masa pendaftaran temuduga akan bemula sekitar jam 8.00 pagi. Apa kata jika anda datang lebih awal ke pusat temuduga. Sekiranya anda tinggal jauh, peruntukkan masa yang sesuai agar tidak terlambat. 

Kenapa perlu datang awal, sedangkan masa temuduga dari jam 8.00 pagi - 5.00 petang?

Jawapannya mudah. Biasanya temuduga akan melibatkan jumlah calon yang ramai. Semuanya berdasarkan siapa cepat. Jika anda orang pertama yang datang bermakna andalah orang pertama yang akan ditemuduga. Sekiranya proses temuduga bermula sekitar jam 8.30 pagi, saya yakin sebelum jam 9.00 pagi anda akan selesai. Satu lagi, kita berurusan dengan manusia. Manusia ada perasaan. Kadang-kadang mereka merasa letih, bosan dan mengantuk. Bayangkan jika anda adalah orang yang terakhir, pasti soalan yang ditanya hanya sekadar cukup syarat sahaja.

4. Penampilan Diri

Penampilan diri merupakan faktor utama dalam sesi temuduga. Pastikan rambut dipotong pendek dan disisir rapi. Baju dan seluar juga perlu kemas bergosok. Elakkan dari memakai kopiah putih melainkan anda menghadiri temuduga tahfiz. Ingat! First Impression merupakan satu yang penting. Dari mata jatuh ke hati.

5. Masuk Dengan Sopan

Apabila nama kita dipanggil, ketuk pintu sebelum masuk. Bagi ucapan salam beserta selamat pagi dan langkah penuh yakin ke kerusi calon. Jangan duduk sehingga disuruh. Apabila ditanya nama, ceritakan serba sedikit mengenai diri anda. Jangan ditanya sepatah, jawab sepatah. Contoh skrip yang boleh digunakan ialah :
Nama saya ialah Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee. Saya berumur 18 tahun. Dilahirkan di Hospital Daerah Muar dan dibesarkan di Negeri Sembilan. Saya merupakan pelajar lepasan Maahad Ahmadi Gemencheh Negeri Sembilan. Dilahirkan sebagai anak sulung daripada 4 beradik membuatkan saya lebih gigih berusaha. Alhamdulillah saya telah berjaya mendapat 9A dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Harapan saya, dengan kejayaan ini mampu menjadi penanda aras dan ikon kepada dik-adik saya.
Oh ya. Ketika duduk, duduk tegak dengan penuh sopan. Jangan mengangkang kaki dan elakkan dari bersandar. Jika disediakan kerusi pejabat yang boleh dipusing, JANGAN PUSING KERUSI TERSEBUT. Untuk mengelakkan kaki bergerak, silangkan kaki di bawah.

6. Jawab Dengan Penuh Yakin

Banyakkan bercakap sebab itulah asas temuduga. Kepetahan berkata-kata dan kemampuan untuk menguasai ilmu menjadi syarat utama untuk anda dipilih.

Saya kira setakat itu sahaja. Semoga berjaya.

Baca juga :
1. Tip Temuduga Buat Lepasan SPM 1

2 comments: