Assalamualaikum.
Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta Ahul Bait baginda.
Lusa seluruh kaum India yang beragama Hindu akan menyambut hari Thaipusam. Secara umumnya Thaipusam menurut wikipedia bermaksud :
Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.
Selain penyeksaan diri untuk mendapat restu daripada Dewa Murugan, madu, susu dan kelapa juga dipersembahkan kepada dewa-dewa tersebut.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel mencadangkan agar kelapa yang digunakan di kuil sempena Thaipusam dikitar semula dengan cara menghantar ke kilang minyak untuk diproses. Malah Presiden MIC itu juga berkata amalan ini telah lama digunakan di negara India.
Berita ini mendapat liputan meluas daripada pelbagai portal berita seperti Malaysia Kini, Astro Awani, The Borneo Post, Bernama dan banyak lagi.
Sumber gambar : FB Sahabat Halal Jakim |
Apakah hukum sebenar memakan bahan yang digunakan untuk tujuan keagamaan? Isu ini menjadi pendebatan hangat ramai pihak. Akhirnya Sahabat Halal JAKIM hadir memberi penjelasan. Berikut adalah merupakan penjelasan yang disiarkan melalui laman FB mereka.
ULASAN MENGENAI PENDAPAT UNTUK MENGITAR SEMULA KELAPA YANG DIPECAHKAN DI KUIL SEMPENA PERAYAAN THAIPUSAM.
Terdapat kemusykilan di kalangan penganut Islam berhubung penggunaan semula kelapa yang telah dipecahkan sempena Perayaan Thaipusam sama ada dibenarkan oleh syariat Islam atau sebaliknya. Persoalan yang menjadi pertanyaan ialah adakah bahan makanan yang digunakan dalam upacara keagamaan agama lain (bukan Islam) boleh diguna atau dimakan oleh penganut Islam?
Hukum makan sembelihan korban untuk berhala adalah haram kerana adanya unsur mensyirikkan Allah. Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan anak panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. (al-Maidah:90).
Apakah pula hukum mengambil manafaat daripada makanan selain daripada sembelihan korban untuk berhala? Contoh makanan seperti nasi, pulut, buah-buahan, wang etc?
ULASAN HUKUM
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam, dalam garis panduan tersebut telah dinyatakan antara kriteria yang perlu dipatuhi ialah majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak, di mana antara contoh perkara yang bertentangan dengan syarak tersebut ialah mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa.
Hukum yang berbangkit ialah hukum orang Islam mengguna atau memakan bahan makanan yang telah digunakan dalam upacara agama lain seperti upacara memecah kelapa yang dilakukan untuk memohon rahmat dari Dewa Murugan dan sebagai simbolik bagi membebaskan diri dari kejahilan dan kemunduran. Ia juga sebagai satu amalan membayar nazar atau niat yang biasanya dilakukan pada hari perayaan Thaipusam atau Deepavali.
Antara pandangan hukum adalah seperti berikut:
1. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, ketika ditanya tentang isu ini telah berkata, hukumnya adalah haram kerana buah berkenaan digunakan untuk upacara pemujaan dan penyembahan yang ternyata syirik dan bertentangan dengan agama Islam.
2. Dato’ Hj. Md. Saleh Hj. Ahmad, salah seorang ahli Panel Pakar Syariah juga berpendapat ia sekurang-kurangnya boleh menimbulkan syubhat yang perlu dielakkan oleh orang Islam.
3. Dr Ustaz Azhar Idrus memberi jawapannya sebagai makruh jika makanan itu bukan bertujuan untuk pemujaan tuhan mereka.
4. Syeikh Abdul Aziz bin Baz (Bekas mufti Arab Saudi) berkata "...harta itu boleh dimanafaatkan kerana telah ditinggalkan oleh pemiliknya, serta hukumnya tidak sama dengan bangkai (korban untuk berhala)."
"...makanan yang tidak bercampur dengan daging sembelihan korban berhala (pemujaan) ini HALAL bagi orang yang mengambilnya untuk dimakan/dimanafaatkannya."
Dalilnya ketika Nabi Muhammad SAW mengambil harta (yang dipersembahkan oleh org Musyrik) yang tersimpan pada berhala al-Laata dan Baginda memanafaatkannya untuk melunasi hutang sahabat 'Urwah bin Mas'ud ats-Tsaqafi. Baginda tidak menganggap persembahan harta tersebut kepada berhala sebagai larangan mengambilnya. ***sumber Fathul Majiid
KESIMPULAN
Berdasarkan garis panduan yang dibuat sebelum ini adalah jelas bahawa perbuatan memecah kelapa adalah termasuk dalam kategori upacara keagamaan agama selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
Pandangan awal daripada beberapa orang alim ulama yang dirujuk menunjukkan perbuatan memakan atau menggunakan kelapa tersebut tidak dibenarkan (haram) menurut ajaran Islam atau sekurang-kurangnya termasuk dalam kategori syubhah yang perlu dielakkan oleh Umat Islam.
Secara konklusinya, yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas seperti mana sabda baginda Rasul tercinta.
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
[رواه البخاري ومسلم]
Terjemah hadits / ترجمة الحديث :
Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir radhiallahuanhu dia berkata: Saya mendengar Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati “.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
0 Komen Sedia Untuk Dibaca:
Post a Comment