Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Wednesday, January 22, 2014

Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan 2014

2:47 PM Posted by Lobam , 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Pujian bagi Allah tuhan sekalian alam serta selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Tanggal 12 Rabiul Awal lebih 1480 tahun yang lalu lahirnya seorang insan yang membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya kebenaran. Setiap tahun, tarikh itu ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia bagi meraikan ulang tahun kelahiran insan yang dinobatkan sebagai tokoh yang paling berpengaruh oleh Michael H. Hart dalam bukunya Senarai 100 Tokoh Yang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah.

Pelbagai cara melalui adat dan budaya dilakukan bagi menzahirkan rasa kecintaan dan kerinduan kepada Rasulullah yang mulia. Semua ini dilaksanakan bagi mengenang perjuangan Nabi Muhammad dalam mengembangkan Islam serta menawarkan sakinah kepada umat manusia di dalam jannah. Hanya syafaat baginda sahaja yang didamba sebagai kunci bagi mencapai kebahagiaan hakiki di alam sana nanti.


Kementerian Pendidikan Malaysia juga tidak terkecuali. Rasa kecintaan itu diimarahkan dengan Majlis Sambutan Maulidur Rasul KPM Peringkat Kebangsaan dikelola oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia. Acara yang melibatkan pelbagai kontinjen daripada seluruh semenanjung Malaysia itu berjaya merafa'kan rasa kehambaan dan kerinduan kepada baginda Rasul melalui laungan selawat yang didendangkan.

Program yang dimulakan dengan perarakan oleh kontinjen-kontinjen yang terdiri daripada warga pendidik, pegawai kementerian dan jabatan serta pelajar sekolah sekitar Johor Bahru itu menyaksikan penglibatan sekitar 500 peserta dengan pakaian kebangsaan serta sepanduk yang berwarna-warni. Para kontinjen berarak dan berselawat sehingga ke Dewan Sultan Iskandar di mana lokasi Majlis Sambutan Maulidur Rasul diadakan. Laungan selawat yang dialunkan oleh para kontinjen memenuhi ruang angkasa UTM Skudai seawal jam 7.30 pagi.  


Ketika para kontinjen berarak mengambil tempat di dalam dewan, alunan selawat yang dipimpin oleh para pelajar SMKA Johor Bahru menyeri ruang dewan. Seterusnya majlis diteruskan dengan alunan zikir Asma'ul Husna dan diikuti oleh lagu Bangsa Johor.


Ceramah khas Maulidur Rasul yang disampaikan oleh YBhg. Al-Fadhil Ustaz Mohd Rifqi bin Myiddin, Guru Cemerlang Pendidikan Islam dari SMK Taman Universiti mengambil tempat sejurus acara bacaan doa dan alunan ayat-ayat suci al-Quran didendangkan. Saya tertarik dengan ulasan beliau mengenai kesilapan ibu bapa dalam menentukan masa hadapan anak-anak yang bergantung kepada keinginan dan kemahuan ibu bapa bukan melalui pencapaian dan kemahiran anak-anak itu sendiri. Sebagai contoh, anak-anak yang kurang dalam pelajaran serta sedikit nakal dalam sahsiah dan akhlak dihantar ke sekolah tahfiz untuk menghafal al-Quran. Al-Quran merupakan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada Rasul junjungan mulia. Tidak semua manusia mampu untuk membawa al-Quran di dalam dada mereka. Tambahan pula kepada anak-anak yang kurang berjaya dalam akademik serta santun akhlak mereka. 

Menurut beliau, sepatutnya anak-anak ini dihantar mengikut bidang yang mereka minati. Sekiranya mereka minat kepada bidang automotif, lorongkan mereka kepada jalan yang mereka ingini. Perkara ini telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad sebagai qudwah hasanah lebih 1400 tahun yang lalu. Kebijaksaan Rasul dalam menempatkan para sahabat mengikut bidang mereka telah meletakkan Islam ke mercu kegemilangan. Sebagai contoh, Muaz bin Jabal seorang yang bijak serta faqih dalam agama diberi tugas dalam bidang hukum feqah. Dek kerana postur tubuhnya yang kecil serta ketidak mampuannya mengusung pedang ke medan jihad, Zaid bin Tsabit diberi tanggungjawab untuk berjihad melalui lisan dan penanya sebagai penulis wahyu Nabi. Begitu juga Usamah bin Zaid seorang remaja yang tidak mempunyai penampilan yang menarik serta lahir dalam keluarga miskin diberi peluang menggempur pasukan Romawi di Syam semasa berumur 18 tahun dek kerana keberanian serta kehandalannya. 

Detik masa 30 minit yang berlalu seakan tidak terasa. Bait-bait indah yang dilontarkan melalui kalam Ustaz Mohd Rifqi ternyata mampu menjadi mutiara yang berharga. Ternyata benarlah bahawa Nabi Muhammad itu seorang insan ulung menjadi tauladan setiap ummah dalam mengecapi nikmat mawaddah di dalam jannah.

Seterusnya, ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengambil tempat diikuti ucapan perasmin oleh YBhg. Tuan Haji Abdullah bin Md Din Pengarah Bahagian Pendidikan Islam mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.


Dengan berakhirnya ucapan perasmian itu, Sambutan Maulidur Rasul sudah sampai ke acara kemuncak. Majlis kali ini juga menyaksikan 3 buah buku dakwah terbitan PEKDIS dilancarkan. Buku-buku tersebut ialah Kuliah 3 Minit (KULTIM), Buku Panduan Doa Rasmi serta sebuah travelog dakwah Senipis Qithmir Kurma.


Sebelum majlis penganugerahan berlangsung tetamu jemputan serta dif kehormat dijamu dengan halwa telinga yang disampaikan oleh para pelajar SMKA Johor Bahru. Alunan ayat berzanji serta nasyid Ya Hanana dan Ya Badrotim menyapa pendengaran.


Majlis penganugerahan dimulakan dengan penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Kreatif ( Cerpen Berunsur Islam ) Para pemenangnya seperti berikut :

Pemenang Utama membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 1500.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Nazri bin Hussein
Rumah Mahabbah
Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang Kemaman Terengganu

Tempat kedua membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 1000.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Ayu Mardiana binti Aziz
Khaulah Aleppo
SK Convent Jalan Peel Kuala Lumpur

Tempat ketiga membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 700.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Wan Marzuki bin Wan Ramli
Mencari Manusiawi
SK Sultan Ibrahim Pasir Mas Kelantan



10 hadiah penghargaan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM 250.00 beserta trofi, buku-buku sumbangan DBP dan sijil.

Nasuha Muzamir Yusof
Sesudah Pendosa Pulang
Perak

Suhaimi Jamaudin
Doa Ibu
Perak

Siti Kalsom Md Taib
Cinta Berkalang Duka
Johor

Shafizah Mohd Zangi
Pendakwah Kental
Perak

Zainun Mustapha
Jengahlah Surau Itu
Terengganu

Juwairiah Md Jamil
Cerlak Taubat
Kedah

Suradi Hassan
Ranting-ranting matahari
Johor

Siti Fatimah Osman
Meniti Renjisan Di Tanah Suci Makkah
Johor

Abdul Muiez Mohammad Ruslee
Terima Kasih Guru
Selangor

Tengku Norlaila Tengku Ismail
Syurga Yang Ditinggalkan 
Johor

2 comments:

  1. Best..mudah-mudahan memberi semangat pada penulis lain, yg sedg mncri peluang dan ruang..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Peraduan ini sebagai pemugar semanagt untuk lebih sukses. Insya-ALlah mudah-mudahan rakan-rakan lain juga tururt merasa tempiasnya.

      Delete