Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Tuesday, February 11, 2014

Tetamu Segmen Jemput Berpantun Di Negeri FM

11:33 AM Posted by Lobam 6 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang tidak bersempadan. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait baginda.



Saat menerima lamaran daripada Kak Sabrina - Penyampai Radio Malaysia Negeri FM untuk turut serta dalam segmen Jemput Berpantun di slot Riuh Di Negeri membuatkan saya terkesima. Terdetik di fikiran, berbolak balik di dalam hati sama ada saya patut terima atau melepaskannya sahaja. Biarpun saya tahu saya tidak akan menerima apa-apa bayaran atas apa yang akan saya lakukan.


Selepas berbicara bersama isteri, kata putus diambil, ya saya memilih untuk pergi. Pada hemat saya, peluang yang sama tidak akan berulang lagi. Kenangan semasa terpilih untuk menghadiri temuduga Dana Belia 1Malaysia pada tahun lepas kembali bertandang. Saat itu proposal saya tidak kuat untuk dipertimbangkan dan saya diberi peluang kedua untuk memperbaikinya. Sayang, apabila saya dipanggil semula untuk ditemuduga pada disember 2013, saya terpaksa menolaknya akibat dari keripuhan persedian menempuhi peperiksaan akhir semester. Ternyata peluang itu tidak datang lagi.

Perbincangan demi perbincangan berlangsung dengan lancar walaupun tarikh telah dianjak beberapa kali akibat tiada kesesuaian masa antara saya dan pihak NFM. Akhirnya tarikh yang telah disepakati ialah 8 Februari 2014 bersamaan hari Sabtu.


Call time yang telah ditetapkan oleh pihak NFM ialah jam 2.30 petang iaitu setengah jam sebelum siaran ke udara. Saya tiba sedikit awal. Tatkala kaki melangkah ke ruang legar Pusat Penyiaran RTM Tuanku Muhammad di Sg Gadut Senawang, hati sudah berdebar-debar. Ini bukan kali pertama saya di radio. Seingat saya di Hot FM sahaja saya sudah masuk ke ruang konti tidak kurang tiga kali. Walaubagaimana pun di RTM suasananya sangat berbeza. Ketibaan saya, isteri dan anak disambut ramah oleh DJ Pyan yang mengendalikan segmen Jemput Berpantun. Langsung kami dibawa ke kamar tetamu untuk istirehat. Melalui kamar ini saya dapat melihat aksi DJ YK yang sedang ke udara pada waktu itu.


Kurang lebih jam 2.50 petang saya dibawa masuk ke dalam konti. Ternyata konti di sini lebih besar dan nampak selesa berbanding konti Hot FM yang sedikit kecil dan sempit. Pada peringkat awal saya diterangkan tentang perjalanan program, apa yang perlu dicakap dan sebagainya.


Tepat jam 3.10 minit petang saya mula ke udara. Akhirnya hasrat saya untuk berbicara di corong-corong radio tercapai. Di Hot FM hanya sebentar, sekitar beberapa minit sahaja. Kali ini microphone milik saya. Malah DJ Pyan memberi kebebasan untuk saya berbicara tentang apa sahaja dan kalam saya tidak dipotong ataupun disunting. Semuanya secara langsung. Terubat juga kekecewaan kerana tidak dapat menghadiri ujibakat penyampai radio di USIM tahun lepas.


Ternyata topik yang dibincangkan kali ini bukan sahaja berlegar kepada kisah sastera mahupun pantun semata tetapi lebih kepada bidang kerjaya saya. Malah saya diberi ruang untuk berbicara tentang kaunseling serta senario salah laku disiplin pelajar di sekolah. Alhamdulillah peluang yang diberi tidak saya sia-siakan.


Yang lebih membuatkan saya teruja ialah apabila dapat melayan kerenah pendengar. Terasa seakan selebriti sedang melayan peminat pula. Sukanya saya apabila ada pemanggil yang bertanya khabar dan mengajak saya berbicara. Malah ada juga yang tujukan pantun khas buat saya. Terima kasih kepada pendengar yang menghubungi saya di konti pada waktu itu.

DJ Pyan sedang membaca berita
Sepanjang pemerhatian saya, tugas penyampai di radio kerajaan lebih rumit berbanding penyampai di radio swasta. Mana tidaknya, bermula dari pemilihan lagu dan suntingan sampailah kepada membaca berita semuanya diletakkan di bahu penyampai yang sama. Jika di radio swasta, setiap suara yang menembusi talian akan dirakam dan disunting oleh penerbit kemudian barulah disiar. Berbeza dengan radio kerajaan, semuanya disiarkan secara langsung.

DJ YK sebelum selesai bertugas
Ternyata pengalaman seperti ini tidak boleh dijual beli. Jika di radio swasta, pendengar lebih teruja untuk berjumpa dengan penyampai popular tetapi di radio kerajaan pendengar lebih suka untuk mengetahui cara sesuatu radio beroperasi. 


Berada di Radio Malaysia Negeri FM ini juga menemukan saya dengan dua pupu saya yang tidak pernah bertemu. Tatkala suara saya memecah keheningan petang konti, langsung DJ Pyan menerima mesej daripada ibunya. Rupa-rupanya saya dan DJ Pyan bersaudara. Kami dari susur galur moyang yang sama. Ayah saya dan ibunya sepupu. Ternyata kehadiran saya di sini membuka ruang persaudaraan yang lebih luas. 


Saya berharap ini bukan kali terakhir saya ke sini. Mudah-mudahan ada rezeki untuk saya ke udara lagi.


Bagi anda yang mahu ikut serta dan ke udara di Radio Malaysia Negeri FM secara langsung, apa kata smskan permohonan anda ke nombor seperti tertera.

Jom dengarkan sedikit sedutan dari segmen Jemput Berpantun Radio Malaysia Negeri FM






6 comments:

  1. seronoknya Muiez dapat peluang jadi DJ & tak sangka dapat bertemu dgn saudara yg tak pernah berjumpa. subnanallah..Allahlah sebaik2 Perancang :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul kak. Tak sangka. Rupanya kami bersaudara. Hehehe

      Delete
  2. Amboi-amboi tambah glamour la ni

    ReplyDelete