Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Tuesday, January 26, 2016

Anak-Anak Abah Yang Osem

9:45 PM Posted by Lobam 2 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.


Bagi anda yang pernah membaca buku Ulu Yam Di Liverpool pasti mengenali saudara Nazali Noor, seorang story teller yang mempunyai jiwa dalam setiap penulisannya. Jujur saya katakan yang saya mengenali Nazali Noor secara tidak sengaja. Pada waktu saya sedang mencari sebuah buku untuk dibeli, mata tertancap kepada buku Ulu Yam Di Liverpool di rak. Pantas tangan mengeluarkan telefon lalu meng Google review tentang buku ini.

Saya sangat bertuah apabila menemui komen-komen yang segar daripada para pembaca. Tanpa berikir panjang, laju saya mengambil buku itu lalu membayar harganya.

Bermula dari situ saya mula jatuh cinta. Ya. Jatuh cinta dengan setiap tulisannya. Pantas saya mencari beliau di Facebook. Tambah rakan dan Like fanpage nya. Sejak itu saya mula menjadi kipas susah mati (die hard fan) Nazali Noor.

Sumber: www.ieyra.com

Apabila mengetahui beliau akan melancarkan buku Ulu Yam Di Liverpool 2, saya terus bersetuju untuk turut serta walaupun pada waktu itu, saya langsung tidak pernah bersua muka dengannya. Sekadar berbual-bual ringan di dalam Facebook.

Setiap hari saya akan mengikuti setiap cerita beliau. Malah saya setkan juga, status-status beliau sebagai See First di FB. Setiap perkongsian pasti memberi inspirasi. Dikongsi dengan ayat-ayat yang ringan membuatkan jiwa lebih mudah untuk menerimanya.


Membaca Anak-Anak Abah ibarat menyelami sebuah biografi tentang kejayaan beliau mendidik anak-anak dengan cara yang paling osem. Ayat-ayat yang digunakan sangat mudah dihadam sehinggakan saya seperti mendengar nasihat secara terus daripada beliau. Bait-bait perkataan tidak formal sangat menangkap perasaan apatah lagi kisah-kisah yang dikongsi seperti mendengar hikayat yang tidak membosankan.

Jujur saya katakan, apabila saya membaca buku ini, saya bukan sahaja mengangguk tanda setuju malah tanpa sedar kadang-kadang saya juga berbicara dengannya. Contohnya, jika ada cerita menarik yang menangkap penglihatan, saya terus mengangguk dan secara spontan terkeluar perkataan 'betul jugak kan bang' 'aahla' 'sangat setuju' dan banyak lagi. Lebih menarik, setiap kata-kata nasihat yang mencengkam jiwa, saya akan lipat penjuru muka surat itu sebagai rujukan bila perlu.

Setiap bab pasti tidak dapat lari daripada drama air mata. Kerana cerita yang datang dari hati lebih mudah sampai ke hati, setiap kata-kata terus meresap ke dalam jiwa. Malah jika ada kisah sedih tanpa segan air mata ini meluncur laju menelusuri pipi gebu saya. Tambahan apabila setiap anak ada kisah yang mengetuk jiwa yang tersendiri.

Hati saya sangat tersentuh apabila membaca tentang kisah Najwa. Kebetulan juga saya mempunyai seorang anak perempuan selepas 3 anak lelaki lahir sebelumnya. Jiwa saya sangat tersentuh apabila anak perempuan hadir menemani isteri saya.

Baaaanyak sangat perkara yang saya fikir. Tambahan menjaga anak perempuan zaman ini bukanlah semudah yang disangka. Saya seorang Guru Bimbingan dan Kaunseling. Banyak kes yang saya jumpa melibatkan gelaja sosial berkaitan remaja perempuan. Panjang saya termenung. Apakah anak saya juga akan selamat apabila dewasa nanti. Bukan sekadar selamat dari godaan para lelaki yang berhidung belang tetapi apakah dia mampu untuk menongkah arus kedewasaan yang menggila.

Kisah Najwa membuatkan saya berfikir panjang. Anak lelaki, sejauh mana pun mereka pergi, ketaatan kepada ibu masih berada di tahap tertinggi tetapi berbeza dengan anak perempuan. Sebaik mana pun kita jaga, sampai masa akad diterima, hiraki ketaatan anak perempuan akan bertukar daripada sang ayah kepada suami yang lebih berhak. Walaupun dipaksa, anak perempuan tetap perlu mengikut kata suami. Aduhhhh.

Mampukah saya menjadi ayah yang osem kepada anak-anak saya yang empat itu seperti Nazali Noor menjadi ayah yang hebat di mata anak-anaknya. Ya memang saya tidak boleh menjadi sepertinya tetapi semangat yang ada pada diri Nazali Noor akan saya serapkan di dalam jiwa, setidak-tidaknya menjadi ayah yang disayangi anak-anak.

Membaca tulisan Nazali Noor, membuatkan saya banyak berfikir tentang kehidupan. Tentang karier, tentang keluarga, tentang masa bersama anak-anak dan banyak lagi perkara yang tak pernah difikirkan sejak dahulu. Saya benar-benar terhutang budi dengan beliau.



Malah kisah-kisah beliau memberi inspirasi untuk saya menulis novel terbaru iaitu Mandala Anak Merdeka yang mana sebahagian cerita ini diinspirasikan oleh kisah-kisah beliau sewaktu kecil. Aduh. Beruntungnya saya mengenali seorang insan yang bernama Nazali Noor.

Terima kasih Abang Nazali Noor. Anak-Anak Abah Memang Osem.


2 comments:


  1. wonderful issues altogether, you simply gained a emblem new reader. What would you recommend about your post that you made a few days in the past? Any sure? paypal login

    ReplyDelete
  2. However, prior to the investment, potential borrower should investigate Canadian housing marketplace and forms of mortgages available. canada mortgage calculator Prices are in Canadian dollars, can vary in countries aside from Canada, and are subject to improve without notice. mortgage payment calculator canada

    ReplyDelete