Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, November 27, 2017

Hala Tuju Selepas Sarjana Muda

8:08 AM Posted by Lobam 1 comment
Image result for ke mana selepas ijazah




Assalamualaikum. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta ahlul bait dan sahabat baginda.

Sehari dua ini, kisah UPSR menjadi sohor kini (trending). Banyak pendapat yang diutarakan baik oleh ahli akademik sendiri mahupun netizen. Biarlah. Saya tidak mahu menyentuh tentang hal itu.


Selain daripada kisah UPSR, dinding media sosial juga meriah dengan warna-warni istiadat majlis konvokesyen yang dianjur oleh pelbagai universiti. Keseronokan jelas terpancar di wajah para graduan. Tidak dilupa ibu bapa mereka juga. Tahniah saya ucapkan.

Sabar adik-adik sekalian. Jika anda merasakan, kehidupan anda sudah sempurna, tunggu dahulu. Sebenarnya, perjalanan hidup anda baru sahaja bermula. Anda akan menempuhi kehidupan yang jauh lebih mencabar di luar sana selepas ini.

Jika semasa di universiti, semuanya ditanggung. Tidak ada wang, telefon sahaja keluarga di kampung. Sehari dua kemudian anda boleh kembali tersenyum riang apabila wang dapat dikeluarkan dari mesin ATM.

Sekarang tidak lagi wahai adik-adik ku. Inilah kehidupan anda. Kehidupan sebenar.

Semalam saya bertembung dengan anak murid yang sudah menyelesaikan ijazah sarjana mudanya tahun lalu. Seperti biasa, soalan wajib tanya, “buat apa sekarang?” Seperti biasa juga jawapan klise yang saya terima, “sedang menganggur cikgu.”

Allahu. Tiada kata yang dapat saya ucapkan. Anak murid saya ini tidak sendirian. Ramai lagi rakan-rakan yang senasib dengannya. Malah saya yakin, ribuan lagi graduan yang telah menamatkan pengajian setahun, dua tahun lalu masih belum mendapatkan pekerjaan.

Kita patut mengucapkan terima kepada kerajaan apabila mewujudkan SL1M. Dengan SL1M, graduan ini akan dilatih secara hands on di dalam industri yang bersesuaian. Tetapi SL1M bukan penyelesai masalah. Kerana selepas habis tempoh, graduan akan kembali menganggur.

Saya bersyukur kerana tidak merasai tempoh pengangguran. Allah permudahkan rezeki saya. Selepas pulang ke Malaysia, saya ditempatkan di Pejabat Agama Islam Daerah Rembau sebagai budak pejabat. Waktu itu elaun hanya RM500 sahaja. Tidak lama selepas itu, saya dipilih untuk menjadi guru pula. Dua bulan selepas menjadi guru, saya berkahwin. Dengan elaun RM500 yang saya terima dahulu, saya kumpul untuk kehidupan selepas berkahwin sementara menunggu gaji yang tertunggak selama 3 bulan.

Ya, itu adalah cerita sepuluh tahun dahulu. Sekarang? Zaman sudah berbeza. Situasi juga tidak sama.

Kepada para graduan, SELAMAT DATANG KE DUNIA SEBENAR. Dunia yang penuh mencabar. Dunia yang membuatkan anda menyesal dan terasa seperti ingin kembali semula ke zaman belajar.

Tempuhilah kehidupan ini dengan reda demi meneruskan kelangsungan hidup. Setidak-tidaknya untuk membayar keseronokan yang telah anda kecapi dahulu. Hutang PTPTN.

Semoga berjaya adik-adikku.

1 comment:

  1. Payah ustaz. Duit gaji beribu pon xlepas skrg ni. Allah. Semoga dipermudhkn urusan

    ReplyDelete