Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Tuesday, April 9, 2013

Ini Bandarku - Sungai Besar

12:26 AM Posted by Lobam , 1 comment
Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan tercinta.

Artikel mengenai Sungai Besar ini pernah saya hantar kepada pihak Majalah Libur dan Editornya telah menyatakan persetujuan untuk menyiarkan di dalam majalah perlancongan berbahasa Melayu itu. Tetapi selepas hampir setahun, artikel ini terus diperam. Berkali-kali email saya hantar tetapi jawapannya tetap sama. Akan disiarkan. Bagi saya, artikel ini sangat bermakna kerana karya ini mengingatkan saya kepada arwah sahabat saya - Adi.

Kami pernah berjanji untuk memperkenalkan Sungai Besar kepada masyarakat luar. Saya melalui medium penulisan manakala Adi melalui fotografi. Tetapi sayang, umurnya tidak panjang. Saya dedikasikan artikel khusus buat anda semua. Semoga arwah Adi akan ditempatkan dalam golongan orang beriman.

Bandarku Sungai Besar.


Nur ya Nur Kasih. Pasti ramai yang masih mengingati bait-bait lagu yang didendangkan oleh penyanyi 'world music' Yassin, lagu runut bunyi bagi drama Nur Kasih yang pernah disiarkan di TV3 beberapa tahun yang lalu. Keindahan sawah padi serta suasana kampung yang damai menjadi latar lokasi bagi drama yang pernah diangkat sebagai Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin 2010.


Pasti ada yang tertanya dimanakah letaknya lokasi yang mendamaikan ini. Mungkin ada yang mengatakan pengambaran dijalankan di Kedah mahupun Perlis. Tetapi tahukah anda, selain Kedah yang terkenal dengan jolokan Jelapang Padi Malaysia, terdapat sebuah lagi kawasan sawah padi yang terkenal di Negeri Selangor iaitu Sungai Besar.

Rata-rata penduduk Sungai Besar menjadikan sawah padi dan sawit sebagai sumber ekonomi mereka. Ada juga antara mereka yang bekerja sebagai nelayan dan peniaga. Sesungguhnya Sungai Besar adalah merupakan tanah yang subur dan makmur yang mana di sebelah timurnya terhampar luas bendang saujana mata memandang manakala di sebelah baratnya terhidang lautan Selat Melaka yang mendamaikan.


Kawasan yang terletak sekitar 120km daripada bandaraya Kuala Lumpur menghala ke utara ini juga disebut sebagai ‘Tua Kang’ dalam loghat Hokkien merupakan kawasan pentadbiran dalam daerah Sabak Bernam. Sungai Besar juga dilengkapi prasarana moden seperti pasar awam, mini stadium dan pusat membeli belah. Bagi penggemar pakaian, selain daripada Nilai 3, Sungai Besar adalah pilihan terbaik untuk mendapat harga yang murah. Malah terdapat sesetengah barangan yang harganya jauh lebih murah berbanding Padang Besar di Perlis. Tidak hairanlah jika setiap minggu kelihatan deretan bas persiaran beratur di sekitar Pekan Sungai Besar yang membawa pelancong dari pelbagai destinasi. Ada juga pelancong yang menyewa hotel semata-mata untuk membeli belah di sini.

Selain pusat membeli belah, Inap Desa juga menjadi produk daya penarik bagi kawasan Sungai Besar. Antara Inap Desa popular ialah Inap Desa Sungai Haji Dorani. Inap desa ini sering menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama mahupun filem sebagai lokasi pilihan terbaik. Kawasan yang popular dengan masakan jawa Nasi Ambeng ini juga menyediakan pakej terbaik buat pelancong. Bukan setakat menerima tetamu daripada dalam negara malah pelancong luar negara juga menjadikan Sungai Haji Dorani sebagai tentatif wajib pelancongan mereka. Banyak aktiviti yang dapat dijalankan seperti mengail belut, mengutip kerang, bersawah dan lain-lain lagi.

Selain itu juga terdapat penginapan chalet di D’Muara Marine Resort. Sekiranya air pasang, chalet yang terletak berjauhan dari pantai akan dinaiki air. Ini menampakkan seolah-olah chalet itu terapung di atas permukaan air.

Sungai Besar juga merupakan kawasan yang popular dengan makan ringan seperti kerepek dan Nata De Coco. Terdapat banyak kilang kerepek dan biskut serta sebuah kilang Nata De Coco yang popular. Kebanyakan produk ini dieksport keseluruh Malaysia. Satu lagi yang menjadi tarikan ialah gerai-gerai buah mangga dan jagung di sepanjang jalan SabakBernam - Sekinchan. Buah-buah mangga ini ditanam sendiri oleh penduduk setempat. Atas alasan itulah buah-buah mangga ini boleh dibeli dengan harga yang murah.

Sewaktu musim perayaan, Sungai Besar menjadi tumpuan peniaga biskut raya untuk mendapatkan bekalan. Ada banyak kilang yang membuat biskut raya, malah ada yang menjual Biskut Almond London dengan harga RM11.00 sebekas.


Selepas panen (menuai padi) masyarakat setempat juga menjadikan tanah sawah sebagai pusat rekreasi. Antara sukan ekstrim yang menjadi pilihan masyarakat ialah sukan motorcross. Setiap petang pasti ada sahaja acara motorcross yang dipertandingkan mengikut kategori tertentu. Malah sukan ini juga menerima peserta luar dari Sungai Besar seperti Hutan Melintang dan Teluk Intan.


Secara konklusinya, kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen Datuk Hajah Noriah Kasnon yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat ini mampu membangun dengan lebih pesat jika kawasan pelancongan ini dinaiktaraf dan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia. 

Saya Sayang Sungai Besar.

Sumber gambar - Koleksi peribadi Arwah Adi serta beberapa gambar yang telah mendapat izin untuk disiarkan.

1 comment: