Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, November 23, 2013

Cara Memilih Durian Yang Baik

12:57 AM Posted by Lobam , , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi.

Minggu lepas saya berpeluang untuk pulang ke kampung mertua di Seri Iskandar. Dari Sungai Besar, banyak jalan yang boleh digunakan untuk ke sana. Saya memilih laluan Seberang Perak sebagai laluan utama. Pasti ada sebab mengapa saya pilih laluan itu.


Ya, di sekitar Sungai Besar dan selatan Perak musim durian sudah menjelma. Ketika melalui laluan di Seberang Perak membawa ke Pasir Salak dan Kampung Gajah bau durian mencuri masuk ke dalam kereta. Ternyata aroma durian kali ini benar-benar menjentik nubari.

Ada antara kita yang tidak tahu memilih durian mana yang mempunyai isi yang baik. Bila pulang ke rumah, alangkah kecewanya bila melihat durian yang dibeli tidak seperti yang diharapkan.

Saya ada bertanya kepada beberapa orang yang arif tentang durian, bagaimana cara untuk memilih durian yang baik. Di sini saya kongsikan beberapa tips seperti apa yang telah diceritakan.

1. Jika durinya besar dan jarang ini bermakna isinya kering dan rapat dan begitulah sebaliknya.

2. Isi duiran juga boleh dinilai melalui baunya. Jika baunya manis dan harum insya-Allah isinya juga pasti menarik.

3. Elakkan membeli durian yang telah merekah. Secara logiknya durian yang merekah bererti sudah terlalu masak. Jika terlalu masak isinya tidak segar.

4. Ketuk tepuk durian dengan benda tumpul. Durian yang masak akan menghasilkan bunyi yang jitu ( susah untuk diterangkan bagaimana bunyinya ). Kita ambil contoh, perut kosong jika ditepuk bunyinya kosong. Tetapi jika perut yang penuh bila ditepuk bunyinya padat. Begitu juga dengan buah durian ( cuba sendiri jika mahu dengar bunyinya )

5. Saya lebih gemar membeli buah yang mahal sederhana mahal berbanding buah longgok yang dijual murah. Biasanya saya, isteri dan anak akan makan sekitar 2 hingga 3 biji sahaja. Kita bukan mahu makan sampai kenyang. Kadang-kadang jika buahnya bagus, sebiji sudah memadai. Saya kira dengan melabur lebih sedikit, saya boleh mendapat buah yang berkualiti berbanding buah longgok yang dijual dengan harga RM 10 yang mana rata-rata hanya sebiji dua sahaja yang boleh dimakan. 

6. Kami lebih gemar menikmati durian di tempat jualannya. Bagi saya ini cara yang lebih praktikal. Mana taknya, jika buah tidak elok penjual akan terus menggantikannya tanpa banyak soal ( biasanya penjual tidak suka cara begini ) Saya pernah membeli buah yang harganya RM 7 sebiji. Sayangnya buah yang disangka elok rupanya keras ( mangkar ). Terus si penjual membelah sebiji durian lagi. Saya hanya perlu membayar RM3 sahaja untuk buah yang kedua. 

Sedikit tambahan. Saya pernah terbaca cara untuk mengurangkan bau durian di dalam kereta. Selain menggunakan daun pandan, saya pernah cuba petua belah ( bila disebut belah, potongannya mesti dari atas ke bawah ) tangkai durian menjadi 4 dan letakkan di dalam plastik yang berisi buah durian. Alhamdulillah ternyata petua ini berhasil. Kalau anda cuba tapi tak berhasil, jangan salahkan saya ya.

Selamat menjamu durian ^_^

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment