Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Friday, November 1, 2013

Saguhati Peraduan Menulis Khutbah Jumaat Anjuran JAIS

7:55 PM Posted by Lobam , 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kurniaan rezeki kehidupan serta nikmat beragama Islam. 

Bulan Ramadhan lalu saya ada menyertai peraduan Menulis Teks Khutbah Jumaat anjuran Jabatan Agama Islam Selangor. Hari ini saya menerima keputusannya. Lima kali pihak penganjur menghubungi saya. Kebetulan telefon saya habis beteri. Mungkin tidak dapat dihubungi melalu panggilan saya dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas. Syukur Ya Allah. Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada sambutan Maal Hijrah di Masjid Shah Alam selasa nanti.

Saya kongsikan teks khutbah Jumaat yang telah saya karang. Tulisan jawi tidak dapat dikongsi atas sebab teknikal.



Puasa Membentuk Peribadi Muslim
Oleh : Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ramadan merupakan satu bulan yang cukup bererti bagi seluruh Umat Islam. Pelbagai peristiwa besar telah berlaku di bulan Ramadan al-Mubarak. Malah sejarah ini terjadi semenjak sebelum penghijrahan Rasul sehinggalah selepas Baginda dan para sahabat berhijrah. Antara peristiwa yang paling besar berlaku dalam bulan Ramadan ialah pensyariatan oleh Allah kepada seluruh umat Islam akan ibadah puasa. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: “PUASA, MEMBENTUK PERIBADI MUSLIM

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Puasa dari segi bahasa membawa maksud menahan diri, manakala dari segi istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehinggalah terbenamnya matahari yang disertakan dengan niat. Secara umumnya, puasa di bulan Ramadan hanya difardukan pada tahun kedua hijrah. Puasa bukan hanya difardukan kepada umat Nabi Muhammad sahaja malah kewajipan berpuasa telah disyariatkan kepada umat-umat yang terdahulu sebelum kita seperti yang telah terlakar dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang telah saya bacakan pada permulaan khutbah tadi. Pensyariatan berpuasa juga telah disebut di dalam hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang bermaksud :

  Islam dibina di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan ”.

Sewajarnya kita perlu sedar, puasa sebenarnya mempunyai banyak hikmah yang tersembunyi. Ibarat lumpur yang gelap, siapa sangka di dalamnya terdapat butiran mutiara yang berharga. Orang yang berpuasa dapat melatih diri dan anggotanya agar menjadi orang yang sabar. Orang yang mempunyai sifat sabar pastinya akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat dan hikmah berpuasa. Orang yang sabar tidak akan berputus asa dalam mengejar kecemerlangan demi membangunkan negara.

Bagi mereka yang berpuasa, Allah telah menyediakan ganjaran yang terbaik buat mereka. Malah Allah telah berjanji akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”.(Riwayat Bukhari)

Antara hikmah lain berpuasa di bulan Ramadan ialah

Pertama: Puasa mampu menjana kekuatan rohani dan jasmani. Dr. Allan Cott dalam bukunya Fasting: The Ultimate Diet menyenaraikan banyak kelebihan puasa daripada sudut sains. Antara kelebihannya ialah :
1. Menurunkan tekanan darah.
2. Mengawal kadar lemak.
3. Menajamkan fungsi deria, otak dan minda.
4. Meredakan stress
5. Memberi kita kekuatan mengawal.

Jelas di sini bahawa perbuatan berpuasa ( menahan lapar dan dahaga )  mampu menyihatkan tubuh badan. Lebih indah kiranya perbuatan menahan lapar dan dahaga itu disertakan dengan niat yang ikhlas dan disulami rasa keimanan pasti akan membuahkan hasil yang lumayan.
Kedua : Puasa merupakan benteng atau perisai yang mampu melindungi manusia daripada perbuatan dosa dan maksiat. Sepertimana saranan Nabi kepada anak-anak muda yang belum mampu untuk berkahwin agar berpuasa, supaya dapat menundukkan hawa nafsu yang menggila.

Sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan Nasai
Puasa adalah pelindung

Dan yang Ketiga : Puasa dapat melahirkan sifat-sifat terpuji dan mulia seperti pemurah, toleransi, tabah dan simpati sekaligus dapat meruntuhkan sikap keegoan yang bersarang dalam hati.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
            Pada tahun 1972, Dr. Yuri Nikolayev dari Moscow Research Institute of Psychiatry berjaya merawat 7000 pesakit yang menghadapi pelbagai masalah psikologi. Antaranya schizophrenia dan neurosis ( kemurungan ). Hakikatnya puasa menjadikan minda kita lebih cerdas dan tubuh lebih cergas seperti mana sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Naiim maksudnya

Berpuasalah supaya kamu sihat”

Seorang insan yang mempunyai tubuh badan yang sihat pasti memudahkannya untuk menunaikan ibadah dengan sempurna. Tubuh badan yang sihat mempunyai hubungan rapat dengan pemikiran yang sempurna. Ternyata akal yang cerdas terletak pada tubuh badan yang cergas.

Sidang Jemaah Yang Dihormati Sekalian

            Ibadah puasa adalah merupakan ibadah rahsia. Jika solat, pasti nampak pergerakannya. Jika bersedekah, pasti nampak wangnya. Jika membaca al-Quran pasti nampak perbuatannya. Tetapi jika kita berpuasa, apa buktinya? Tiada bukti yang jelas menunjukkan seseorang itu sedang berpuasa. Jika lapar dan dahaga serta letih menjadi kayu pengukur, mereka yang tidak berpuasa juga merasai perkara yang sama. Seperti mana firman Allah melalui hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari maksudnya :

“Sesungguhnya amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa maka dia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya”

            Selain berpuasa, kita dituntut untuk mengindahkan bulan Ramadan dengan ibadah-ibadah sunat. Ibadah-ibadah inilah yang akan menampung segala kekurangan yang ada dalam puasa kita. Antara perkara sunat yang dituntut ialah :
Pertama : Menundukkan pandangan dan mengawalnya daripada melihat sesuatu perkara yang berunsur maksiat.
Kedua :  Memelihara lidah daripada bercakap kasar, berdusta, mengumpat serta berkata perkara-perkara yang keji.
Ketiga : Memelihara pendengaran daripada mengdengar perkara-perkara yang lagha.
Dan Keempat : Memelihara angota-anggota lain seperti tangan dan kaki daripada melakukan perbuatan dosa atau sebarang kemaksiatan kepada Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan-perkataan dusta dan perbuatan ( berbuat dusta ) maka Allah tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya “

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Puasa juga mampu untuk mendidik hati yang lemah dan penuh sifat haloba. Ibadah puasa sebenarnya menjadikan kita lebih menginsafi atas kesusahan orang lain. Lantas, kita diseru untuk memperbanyakkan sedekah agar mereka yang berada di dalam kesusahan turut merasai nikmatnya Ramadan. Firman Allah dalam surah at- Taghaabun ayat 16:
Maksudnya: Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (dijalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.

Jika kita menunjukkan tauladan yang baik, nescaya tauladan yang baik itu akan diikut oleh orang yang melihatnya. Hidup ini ibarat boomerang, apa yang kita lontar ianya pasti akan kembali kepada kita. Sifat pemurah banyak diceritakan melalui hadis Nasi s.a.w. Malah memberi makan kepada mereka yang berpuasa turut mendapat ganjaran yang besar.

Rasulullah s.a.w turut menaqalkan hadis seperti yang direkodkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bermaksud :
”Barang siapa memberi makan ( bagi berbuka puasa ) kepada orang yang berpuasa maka kepadanya dibalasi keampunan kepada dosa-dosanya dan bebas daripada api neraka jahanam. Dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa sedikitpun mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu.”
Maka sahabat-sahabat berkata :
”Ya Rasulullah, tidak semua kami mempunyai sesuatu yang dapat berikan kepada orang yang berpuasa bagi berbuka.”
Jawab Rasulullah :
Allah mengurniakan balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu bagi dia berbuka puasa”
Ternyata memberi makan kepada orang yang berbuka puasa akan diganjari pahala seperti mana orang yang berpuasa tanpa sedikitpun mengurangkan pahala orang berpuasa itu. Atas dasar itulah, ibadah puasa mampu mendidik hati agar lebih menyayangi sesama insan. 

Muslimin Yang Diredai Allah,

Perjalanan Ramadan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Setelah Ramadan melewati perhentian Rahmah dan Maghfirah, kini stesen Keampunan dan Terlepas Dari Api Neraka bakal muncul menjelma. Selama tiga puluh hari kita berpuasa, pernahkah kita terfikir. Adakah puasa kali ini mampu menjadikan diri kita sebagai seorang mukmin yang sejati? Adakah puasa kali ini mampu melepaskan kita daripada api neraka? Mampukah puasa kita pada tahun ini menandingi takat kesempurnaan puasa-puasa kita pada tahun yang lalu? Adakah kita layak untuk mempersembahkan puasa kita pada tahun ini kepada Allah? Jika ya, ternyata puasa kita mampu untuk mencegah diri daripada kemungkaran. Jika tidak, bagaimana akan kita bawa diri seusai melewati madrasah Ramadan dan menempuhi 11 bulan yang penuh pancaroba sebelum kita menemui Ramadan tahun hadapan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:

Maksudnya: Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.



Jumlah perkataan : 1247 patah perkataan
Jumlah mukasurat : 7 muka surat
Rujukan :
1. Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 2 Kementerian Pelajaran Malaysia
2. Menghayati Ramadan Al-Mubarak, Ab Razak Mat Saat, PEKDIS SPI, JPN Kelantan
3. Travelog Ramadan al-Mubarak, Syahrul Nizam Junaini, PTS Islamika Sdn. Bhd.
4. Sekolah Kehidupan, Habin Faisal Mohamed, HFZ Group Sdn. Bhd.
5. 101 Rekreasi Hati, Dr Zahazan Mohamed & Nik Wafdi Nik Jaafar, Telaga biru Sdn. Bhd.
6. Teks Khutbah Jumaat JAKIM 19 julai 2013.
7. Tulisan Jawi serta format khutbah diambil daripada Teks Khutbah JAKIM – MaghfirahMu Inspirasiku.


3 comments: