Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Sunday, November 17, 2013

Warkah Terakhir Buat Isteriku

5:09 PM Posted by Lobam 2 comments
WARKAH TERAKHIR BUAT ISTERIKU

Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee

"MENEMUI kekasih hati Abang Nur Asma’ Abang masih ingat lagi satu kejadian yang membuka lembaran baru dalam hidup abang.

Di taman KLCC pada suatu petang yang hening, tatkala burung berterbangan riang, seusai abang menunaikan solat Asar. Sewaktu Abang ingin melangkah keluar daripada masjid, Abang telah bertembung bahu dengan seorang gadis yang dalam keadaan tergesa-gesa.

Pada pengamatan Abang gadis itu berperwatakan liar dan hidup dalam suasana bebas tidak terkawal kerana pabila terlanggar bahu dengannya, Abang pula dikatakan buta. Tidak langsung menunjukkan adab dan sopan adat ketimuran seorang wanita Melayu. Tanpa disedari sewaktu berlakunya pertembungan yang tidak diduga itu telefon genggam gadis itu terjatuh.
    
Selepas bertemu di suatu tempat yang telah dijanjikan, gadis itu mendapat semula telefonnya yang tercicir. Abang dan gadis itu bertukar-tukar nombor telefon. Bermula dengan sms terima kasih lalu membawa kepada satu hubungan yang sukar untuk dihuraikan. Hubungan yang mungkin lebih daripada seorang sahabat.
    
Tetapi, masakan Abang dapat menerima gadis tersebut sebagai bidadari hidup Abang. Abang Azhari. Tidak mungkin seorang Azhari boleh berkahwin dengan wanita yang sebegitu. Apa kata orang kampung nanti. Tercalarlah kredibiliti Abang sebagai seorang yang faqih agama, berkahwin dengan wanita yang tidak sekufu. 

Astaghfirullahhalazim… Ya Allah ampunilah hamba-Mu ini. Sepatutnya wanita sebegitulah harus Abang jadikan isteri agar mudah untuk Abang didiknya nanti. Pada waktu itu Abang ego. Ego pada diri. Bangga sebagai seorang Azhari.
    

Abang bertekad. Mungkin susah tetapi semuanya pasti dengan pertolongan Allah. Abang ingat lagi sewaktu Abang menyuruh gadis itu menukar cara pemakaiannya daripada jeans ketat dan t-shirt tidak berlengan kepada baju kurung yang lebih menonjolkan budaya ketimuran dan keayuan wanita Melayu, wanita tersebut berkeras. Budaya itu budaya kampung, tidak up to date, masakan perempuan kota ingin berpakaian seperti wanita desa, apa pula kata-kata rakan nanti jawabnya sombong.
    
Tetapi Abang tegurnya secara berhemah. Dengan lembut tutur kata Abang berkata padanya bahawa menutup aurat bukanlah satu budaya, tetapi ia adalah tuntutan Agama. Islam tidak melarang umatnya untuk bergaya tetapi mesti kena dengan batasnya. Abang terangkan padanya tentang cara-cara pemakaian tudung yang dianjurkan oleh Islam dan hikmah menutup aurat. Abang bacakan padanya ayat 31 surah An-Nur. Pada mulanya, nampak berat untuk gadis itu menerima teguran yang diberikan, tetapi atas dasar agama itu nasihat Abang tidak berputus asa. 

Alhamdulillah, walaupun berat, gadis itu masih tetap ingin cuba untuk berubah. Kini tiada lagi jeans dan t-shirt tetapi yang menyaluti tubuh mongel gadis tersebut hanyalah baju kurung. Tetapi tidak manis baju kurung tidak dipadankan dengan tudung kepala. Tidak sesuai baju kurung itu hanya dipadankan dengan rambut yang menggerbang. Kali pertama gadis itu menutup rambutnya yang panjang mengurai itu dengan jilbab labuh yang Abang hadiahkan kepadanya, memang nampak begitu janggal dan rasa ketidak selesaan itu mula menyapa. Tapi ia lebih selesa setelah sudah terbiasa.
    

Kini lengkaplah sudah pakaian yang berciri Islam yang sentiasa membungkus tubuh gadis itu. Kadangkala digayakan pula dengan jubah yang sungguh indah. Syukur, semuanya atas pertolongan Allah.
    
Sayang,
Bagi Abang tidak cukup rasanya pakaian sahaja yang baik, tetapi tidak pada kelakuan akhlaknya. Pakaian yang baik tidak menggambarkan pekerti akhlak si pemakai. Gadis itu Abang ajar dengan akhlak seindah Sayyidah Fatimah. Abang bersyukur kerana gadis itu sendiri yang ingin berubah, tanpa perlu dipaksa. Abang hanya mendorong sahaja. Kehidupan yang bebas, terkinja-kinja menari di kelab malam, t-shirt dan jeans, hilai tawa yang bersiponggang yang dahulu menjadi pujaan dan raja di hati semuanya telah ditinggalkan, solat lima waktu yang pada suatu ketika dahulu dibiarkan sepi kini menjadi rutin harian. Mengaji dan puasa sunat juga tidak pernah ditinggalkan. 
    
Sayang,
Pastinya jawapan siapakah gadis itu sudah terjawab. Tidak lain tidak bukan itulah Nur Asma’ Hji Bakri yang kini menjadi permaisuri di hati dan bakal bidadari Abang di Syurga yang abadi. Insya-Allah. Sayang, tanpa disedari sudah empat tahun kita mendirikan mahligai bahagia. Abang bersyukur kerana dikurniakan penawar di mata penyejuk di hati semuliamu Asma’. Abang juga bersyukur kerana selama empat tahun kita melayari bahtera tiada satu pun ribut badai yang melanda. Abang gembira kerana dikurnia anak kapal yang setia sepertimu dan diserikan pula dengan qurratul a’yun kita yakni Humairah, Insyirah dan Wajdi. Abang sentiasa mengharapkan agar penyambung zuriat kita dan pewaris harta kita mewarisi akhlak semulia Sayyidah Fatimah dan lelaki sehebat Saidina Ali. Itulah harapan Abang. Doa abang agar merekalah yang akan menjadi tonggak dalam membangunkan semula Islam yang kian luntur dalam jiwa Umat Islam kini. Merekalah harapan abang, harapan Sayang, harapan bangsa dan harapan semua.
    
Tetapi sayang, abang tidak dapat melihat mereka membesar di hadapan mata abang. Tidak dapat Abang didik dengan tangan Abang dengan sempurna., tidak dapat Abang curahkan dengan kasih sayang Abang dengan secukupnya. Mungkin takdir telah mencatatkan yang Abang tidak mampu melihat Islam gemilang hasil pengembelingan tenaga daripada mereka.
    
Sayangku Nur Asma’,
Kau didiklah putera dan puteri kita dengan akhlak semulia Rasulullah, kerana Rasulullah pernah bersabda mafhumnya : Terputus amalan seseorang itu setelah dia mati kecuali dengan tiga perkara.
    
Ketahuilah olehmu sayang, antara tiga perkara yang disebutkan itu ialah doa daripada anak-anak yang soleh. Sayang, hanya itulah yang akan kita dambakan setelah kita menemui Rabbul Jalil kelak. Doa anak yang soleh itulah yang akan menyelamatkan kita. Abang pasti, Abang tidak akan sempat untuk menjadikan mereka anak yang soleh. 

Abang yakin di atas pundak Sayanglah Abang hamparkan segala harapan dan impian kita. Segala-gala impian yang pernah kita impikan dahulu. Abang minta maaf kerana terpaksa membiarkan Sayang mengemudi bahtera ini seorang diri. Sesungguhnya itu bukanlah kehendak Abang. Carilah nakhoda baru jika diperlukan. Pastikan anak-anak kita tidak mati kelemasan disebabkan bahtera yang karam.
    
Sayang,
Pastinya Sayang tertanya-tanya mengapa Abang berkata sedemikian. Berat untuk abang katakan, bak kata pepatah diluah mati emak ditelan mati bapa. Tetapi inilah yang harus kita telan. Ketahuilah olehmu, Abang menghidap barah paru-paru yang krtikal. Sudah lama Abang menanggung penyakit ini tetapi Abang tidak sanggup untuk memberitahumu kerana risau ianya akan mengganggu hidupmu. Abang hanya dapat meneruskan kehidupan ini untuk beberapa bulan sahaja lagi. Kemudian kita akan berpisah. Berpisah buat selama-lamanya.
    
Ya Allah. Betapa sedihnya hatiku, setelah Kau kurniakan aku keluarga yang bahagia, isteri yang telah aku corakkan dengan acuan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Mu dan setelah kau kurniakan aku qurratul a’yun penyejuk mata, kini Kau akan mengambil aku daripada mereka. Ya Allah. Aku sabar dan aku tabah. Kerana untuk menemui-Mu itulah yang kudambakan. Tetapi aku terkilan, kerana aku tidak akan dapat bersama mereka yang amat aku cintai lagi. Akanku pastikan, mereka akan menerima sepenuh perhatian daripadaku hanya untuk beberapa bulan sahaja lagi sebelum aku menemui-Mu kelak. Aku pasrah dengan takdir-Mu Ya Allah.
    
Cintaku Nur Asma’
Abang harap kau dapat menerima takdir ini sepertimana Abang dapat menerima perpisahan yang bakal berlaku. Semoga cinta yang telah lahir ini akan membawa kita ke Syurga. Syurga yang abadi buat selamanya.

Yang mengasihimu
Abang..

Oleh Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
Telah diterbitkan di dalam Legend Comic di Mesir(2005)
Telah diterbitkan di dalam Antologi Cinta Dan Rona Kinanah(2006)

2 comments:

  1. :( terusik benar jiwa ini membacanya..ya ALLAH...begitu tingginya ksh syg seorg suami terhadap isterinya.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Puan kerana sudi membaca catatan ini.

      Delete