Oleh Abdul Muiez bin Mohammad ruslee
PAGI ini seperti biasa aku ke
kuliah. Biasanya aku menaiki tremco-sejenis van membawa penumpang. Tetapi sejak
seminggu yang lalu, aku memilih untuk menaiki keretapi pula. Perjalanan
daripada Bandar Shibin el-Kom ke kota Tanta yang mengambil masa selama satu
jam memaksa aku bertolak seawal jam 7
pagi, untuk memastikan aku sampai ke kuliah sebelum jam 9. Berada di puncak
waktu perubahan musim sejuk kepada panas tidak begitu menyeksakan. Tidak
menjadi kesukaran untuk aku menyiapkan diri di awal pagi. Walaupun mentari baru
sahaja menampakkan sinar tetapi bandar Shibin yang menampung hampir empat ratus
ribu penduduk ini sudah mula sesak. Penumpang sudah memenuhi mahattoh qodim.
Aku
terpaksa mengasak sekumpulan pemuda arab yang bersesak untuk menaiki keretapi.
Bukan tidak mahu beratur, tetapi itu bukan budaya maysrakat Mesir. Jika aku
menunjukkan sikap berlemah lembut dan bersopan santun yang ada pada diri setiap
rakyat Malaysia pasti aku tidak mendapat tempat di dalam tren. Gerabak terakhir
aku dekati. Alhamdulillah pagi ini rezeki aku. Jika tidak pasti aku terpaksa
berdiri dalam menempuhi perjalanan ke kota Tanta yang memakan masa hampir satu jam
itu. Tetapi biasanya kebanyakkan mereka akan turun di Quaisna. Seusai membayar
tambang sebanyak 75piasters, lantas aku terus membuka Al-Quran yang sentiasa
dibawa kemana-mana. Tren mula bergerak.
Sedang
asyik aku menghafaz Al-Quran, ketenangan aku tiba-tiba dicantas. Di hadapanku berdiri
seorang pemuda berbangsa arab sambil menyuakan sebungkus tisu kepadaku. Hampir
sepanjang seminggu permusafiranku akan terjumpa dengan empunya wajah yang kacak
ini, saling tidak tumpah seperti penyanyi hebat Mesir-Amru Diab. Kecantikan
yang tersembunyi di sebalik kecomotan. Mungkin umurnya dalam lingkungan awal 20-an
duga ku. Tapi malang nasibnya, pemuda itu hanya menjual tisu.
Astaghfirullahalazim. Lain pula yang aku fikir. Tanpa berlengah aku menyeluk
saku lalu memberinya wang sebanyak 50 piasters tanpa mengambil tisu yang
diberi. Pemuda itu pun berlalu. Pergi ke penumpang yang lain pula. Pada riak
wajahnya tergambar keperitan hidup yang ditanggungi. Aku dapat merasakannya. Hatiku
berasa kurang enak. Bukan sekali, malah sudah seminggu aku menatap wajahnya
yang kusam itu. Bukan tidak ada orang yang meminta sedekah dengan menjadikan tisu
sebagai alasan tetapi pemuda itu begitu menarik perhatianku dan yang pasti,
terdetik dihatiku untuk mendekatinya. Hatiku meronta. Ya, aku mesti
mendekatinya. Aku memberanikan diri untuk memanggilnya.
“Wahai saudaraku, boleh kamu kemari
sebentar?” pintaku. Lalu pemuda itu berjalan ke arahku. Terhoyong hayang
badannya mengikut rentak tarian tren yang bergerak. Niatku untuk menghafaz
Al-Quran terpaksa aku tangguhkan.
“Wahai saudaraku, siapakah namamu?”
aku memulakan bicara.
“Apakah itu penting bagimu?” terpacul
soalan daripada mulutnya.
“Sekadar ingin tahu. Bukankah Tuhan
telah menjadikan manusia untuk saling kenal mengenali?” aku melemparkan dalil.
“Tetapi ini bukan masanya” seakan mahu
bergerak pergi
“Pemuda, aku benar-benar ingin
mengetahui namamu” aku separuh menjerit
“Yusif” tuturnya penuh santun.
“Izinkan aku menjalankan tugasku.”
pintanya seakan merayu.
“Tidak Yusif. Kau duduk sahaja di
sini. Nah 10 Junaih untukmu asalkan saja kamu mahu menemaniku hingga ke Kota
Tanta. Itupun jika tindakanku ini tidak keterlaluan.” pintaku penuh mengharap.
“Terima kasih sahaja wahai sahabatku.
Aku bukan meminta sedekah!” suaranya sedikit keras.
“Ya aku tahu, tapi bukankah tisu itu
hanya sebagai alasan untuk kamu meminta wang. Masakan kamu mengambil wang
tetapi tisu tidak pula kamu bagi. Ambillah, kamu perlukan wang bukan? Kalau
kamu menjual tisu dalam tren ini pun pendapatannya pasti tidak lebih daripada 8
Junaih. Ini hadiah dariku. Ambillah.”
“Terima kasih wahai pemuda.
Sesungguhnya aku tidak mampu untuk menolak kesungguhanmu itu.” lantas wang 10 Junaih
itu bertukar tangan.
Keretapi berhenti di Mahattoh Quaisna.
Ramai penumpang turun. Tren yang tadi penuh sesak kini menjadi lapang. Dalam
gerabak terakhir ini hanya tinggal sepuluh penumpang. Tiga wanita membawa
barang, dua lelaki membawa beg bimbit dan tiga kanak-kanak berpakaian sekolah.
“Wahai pemuda, siapakah gerangan
namamu?” Yusif menyambung katanya yang mati sebentar tadi. Matanya tepat
memandangku. Sambil melabuhkan punggungnya di sebelahku.
“Apakah ia penting bagimu?” aku
memulangkan paku buah keras padanya.
“Ini tidak adil. Beginikah sikap
pelajar Malaysia yang menuntut di Al-Azhar?” bentaknya dalam nada keras. Dua
lelaki segak dengan kot tersarung di badan memandang tanpa dipaksa. Mungkin
pelik bagi mereka melihat rakyat tempatan bersembang dengan lelaki ajnabi.
“Bagaimana kamu tahu aku pelajar
Malaysia?” seraya menggaru kepalaku yang tidak gatal.
“Tidak sukar untukku mengenalimu. Kamu
orang luar. Senang sahaja untukku mengagak dari mana asalmu” terangnya panjang
lebar.
“Baiklah. Panggil sahaja aku Rijal.
Yusif izinkanku bertanya sesuatu” sambil memasukkan Al-Quran di dalam poket
baju melayuku. Kopiah yang tersarung di kepala aku letakkan di paha. Lantas
rambut lebatku terbang mengurai mengikut tiupan angin yang membelai.
“Tanyalah jika ianya tidak menyinggung
perasaanku.”
“Bolehkah kamu ceritakan dimana kamu
tinggal Yusif dan kenapa pula kamu menjaja tisu? Aku kepingin benar untuk
mengetahui sejarah hidupmu.” ujarku penuh pengharapan.
Khali. Mungkin berperang dengan
perasaan. Apakah harus bercerita atau berdiam sahaja. Aku membiarkannya.
Tiba-tiba Yusif bersuara.
Tiba-tiba Yusif bersuara.
“Di jalanan. Aku orang miskin. Mana
mungkin untuk aku sekeluarga menyewa rumah walaupun sewaannya hanya sekadar 30
Junaih. Kau juga tahu bukan. Inilah nasib kami. Golongan bawahan sentiasa
ditindas walaupun di bumi sendiri. Yang kaya akan terus kaya dan miskin akan
tetap merempat. Hanya dengan menjual tisu inilah aku dapat memenuhkan tembolok
ayah dan adik-adikku” kelihatan manik-manik jernih di birai matanya. Tetapi
cepat-cepat diseka.
“Begitu besar pengorbananmu Yusif.
Pasti Allah akan membalas kebaikan untukmu. Sabarlah” bahunya kurangkul dengan
harapan kata-kataku tadi bisa memberi kekuatan buat dirinya.
"Negara kamu masih mengamalkan kasta?” aku
meminta kepastian.
“Ya benar Rijal. Aku memiliki sijil
sekolah menengah tetapi semua permohonan kerjaku ditolak dek kerana aku
golongan bawahan.” suaranya melirih hiba.
“Sehingga begitu sekali? Bagaimana
pula dengan ibu dan bapamu?” Perbualan menjadi semakin rancak. Bertalu-talu
soalan ku lemparkan kepadanya.
“Ibu sudah lama meninggal kerana
penyakit kencing manis yang dihidapinya. Dahulu ayahku seorang tentera. Tapi
kini khidmatnya tidak diperlukan kerana sakit buah pinggang yang dialami dan
kakinya yang kudung. Dia dibuang begitu sahaja. Tiada pembelaan dan tiada
pampasan. Tiada pihak yang mahu mengenang jasanya atas apa yang telah dia
sumbangkan pada negara.” bahu Yusif sedikit terhenjut. Butiran mutiara jernih megalir
dari birai mata turun menelusuri pipi kusamnya.
“Maafkan aku Rijal. Aku terlalu
beremosi. Lama benar aku menyimpannya. Tidak siapa yang peduli. Bila ada teman
yang ingin berbicara, ingin aku lepaskan semuanya. Aku lemah Rijal. Lelaki
tidak sepatutnya menangis.” terang Yusif tanpa dipaksa.
“Tidak. Kau tidak bersalah. Maafkan
aku. Aku simpati terhadapmu Yusif.” Pautan dibahunya makin kejap. Aku menyesal
kerana terlalu gopoh ingin mengorek rahsia hidupnya. Kerana keterlanjuran
katakulah membuatkan dirinya hiba di kala ini.
“Tak mengapa. Itu perkara biasa. Dahulunya
ayahku seorang tentera. Khidmatnya sudah menjangkau hampir 30 tahun. Tetapi
tidakku sangka begini pengakhiran kerjayanya. Bukan sedikit jasanya dicurahkan
kepada negara Mesir ini, tetapi...” henjut di bahu makin perlahan.
Tanpa dipaksa sekali lagi pemuda arab berhampiran kami memandang. Entah apa yang mereka fikirkan, aku sendiri tidak tahu. Biarlah. Bukan kami melakukan perkara sumbang. Mungkin kerana esakan Yusif itu membuatkan mereka berasa sangsi. Sesekali tren yang kami naiki terhuyung hayang. Angin yang menerobos melalui jendela yang terbuka menambahkan kesejukan pagi yang menggigit tulang.
Tanpa dipaksa sekali lagi pemuda arab berhampiran kami memandang. Entah apa yang mereka fikirkan, aku sendiri tidak tahu. Biarlah. Bukan kami melakukan perkara sumbang. Mungkin kerana esakan Yusif itu membuatkan mereka berasa sangsi. Sesekali tren yang kami naiki terhuyung hayang. Angin yang menerobos melalui jendela yang terbuka menambahkan kesejukan pagi yang menggigit tulang.
“Ayahku pernah terlibat dalam
peperangan menentang Israel laknatullah dibawah pentadbiran Presiden Anwar
Sadat. Misi mereka adalah untuk membebaskan Semenanjung Sinai yang mana pada
masa itu Semenanjung Sinai dibawah taklukan Israel. Peperangan yang mengambil
masa hampir dua belas tahun itu berakhir pada tahun 1979.” cerita Yusif panjang
lebar tanpa dipinta.
“Bagaimana peperangan itu boleh
berakhir?” aku bertambah minat. Bunyi gerabak yang membingit langsung tidak
menggugat kosentrasiku.
“Pada tahun 1979 Mesir telah memeterai
perjanjian damai dengan Israel. Mesir menuntut supaya Semenanjung Sinai yang dirampas
oleh Israel laknatullah dibebaskan. Akhirnya Sinai dimiliki oleh Mesir.”
“Ceritalah lagi tentang sinai
kepadaku.” pintaku penuh pengharapan.
“Apa benar kamu ingin tahu?” soal
Riham sambil memintal hujung tudungnya.
“Sudah tentu!”
“Semenanjung Sinai adalah tempat suci.
Di tanah suci itulah telah terlukis sejarah dimana Allah telah mengutuskan Nabi
Musa untuk berdakwah kepada kaum Bani Israel. Disana juga terdapat
tempat-tempat yang mulia seperti Thur Sina di mana ia menjadi tempat Nabi Musa
berkhalwat dan menerima kitab Taurat daripada Allah. Tanah itu juga menjadi
saksi di mana Nabi Muhammad pernah singgah sewaktu baginda di isra’kan.
Walaupun Sinai menjadi milik Mesir tetapi mereka telah merampas Taba yang
terletak di timur Sinai. Itu yang membuatkan kami sedih. Di situ terdapat salah
satu daripada kubu-kubu Salahuddin al-Ayubi. Itu milik umat Islam. Kesan
sejarah ketamadunan Islam harus umat Islam yang menjaganya. Tetapi mujurlah
kubu itu terletak berhampiran dengan sempadan. Jika tidak pasti mereka telah
menghancurkan kubu tersebut.” ujar Yusif penuh semangat. Di matanya terpancar
cahaya pengharapan agar khazanah Islam seperti itu dijaga dan dipelihara
daripada dimusnahkan oleh tangan-tangan kotor kuffar laknatullah.
“Seronoknya mendengar cerita kamu.
Tetapi apakah kepentingan Sinai kepada Negara Mesir?”
“Seperti yang aku katakan tadi, Sinai
adalah tempat suci bukan sahaja bagi Negara Mesir tetapi kepada seluruh umat
Islam. Sinai juga memberi pendapatan terbesar bagi Negara Mesir melalui
industri perlancongan dan Terusan Suez. Ia menjadi jalan potong kepada
kapal-kapal pedagang yang ingin ke negara-negara sebelah timur. Kapal-kapal
yang ingin melalui terusan Suez akan membayar cukai yang tinggi kepada
kerajaan. Melalui Suez mereka akan menelusuri Laut Merah dan terus ke negara-negara
lain di sebelah timur untuk berdagang dan sebagainya.”
“Banyak yang kamu tahu.” Aku sedikit
kagum.
“Aku belajar di sekolah.” Terang
Yusif.
“Kemudian?” Aku benar-benar teruja
dengan ceritanya.
“Oh ya! Rentetan daripada peperangan
tersebut mengakibatkan ramai tentera Mesir yang kecundang. Ayahku hampir-hampir
sahaja maut dek bedilan peluru Israel. Mujur Allah masih berkehendakkannya
untuk menjadi khalifah di bumi yang penuh barakah ini. Dia hanya tercedera.
Kakinya putus akibat terpijak periuk api yang masih aktif.” tiba-tiba riak wajah Yusif bertukar rupa. Perasaan
sedih menyelubungi dirinya apabila berbicara mengenai peperangan yang meragut
kebebasan ayahnya untuk begerak.
“Masya-Allah, sampai begitu sekali?”
Aku melemparkan simpati.
“Setelah tentera Mesir memenangi
peperangan itu dan Semenanjung Sinai berjaya dirampas semula, bekas-bekas
tentera seperti ayahku dan rakan-rakannya diraikan dalam satu sambutan besar-besaran
pada tahun 1981 di dataran Hayyu Sadis Kaherah. Tanpa disedari perayaan itu
bakal menjadi satu peristiwa sejarah yang berdarah bagi negara Mesir.”
“Apakah peristiwa itu?” pintasku
sambil mengelap sedikit peluh yang terpercik di dahi.
“Pada temasya yang penuh gilang
gemilang itulah, Presiden ke tiga Mesir iaitu Anwar Sadat ditembak mati oleh
sekumpulan puak pelampau ketika melakukan listas hormat dihadapannya. Anwar Sadat
ditembak oleh puak-puak yang tidak besetuju Mesir memetrai perjanjian damai
dengan Israel.” Keretapi berhenti di stesen berikutnya. Penumpang mula
berpusu-pusu memenuhi gerabak kami.
“Sampai begitu sekali? Mengapa mereka
tidak berpuas hati?”
“Mungkin mereka tidak bersetuju kerana
Mesir terlalu bermurah hati untuk duduk semeja dan memetrai perjanjian damai
dengan sebuah negara haram seperti Israel.” Yusif memberi pendapatnya. Cuaca
yang beransur panas dek mentari yang sudah semakin garang menyiram cahayanya
membuatkan dahiku sedikit berpeluh. Angin yang menerobos masuk masih tidak
mampu menghilangkan panas yang menyelubingi diriku. Penumpang yang memenuhi
gerabak membuatkan bahang sedikit terasa.
“Begitu agung jasa ayahmu. Bukan
sedikit keringat yang diperahnya untuk menyelamatkan maruah negara dan
sekaligus menegakkan kalimah Allah di bumi Mesir ini. Sepatutnya dia dianggap
sebagai seorang wira yang mempertahankan negara. Jika di Malaysia orang-orang
sebeginilah di anggap sebagai pejuang yang mempertahankan negara sejak
pemerintahan British lagi. Kini alhamdulillah, sudah 53 tahun negara kami
merdeka” sambil membetulkan duduk kopiah di kepala, aku menerangkan padanya.
“Kamu beruntung kerana hidup di dalam
negara yang aman seperti Malaysia.” ujar Yusif sedikit sayu.
“Kesyukuranku tidak pernah terbatas
wahai Yusif. Boleh aku bertanya lagi?”
“Silakan. Kamu sudah membayarku untuk
bercakap. Biarlah aku bercakap setimpal dengan bayaran yang kamu berikan.”
suaranya agak mendatar. Mungkin terdetik perasaan cemburu di dalam hatinya.
“Usah kamu berkata sedemikian Yusif.
Aku benar-benar ikhlas untuk menolongmu. Sudah ramai aku berjumpa dengan
penjual tisu sepertimu tetapi aku masih belum mengetahui kisah silam yang
membelenggu hidup mereka. Hari ini biar aku leburkan kekusutan yang melanda
jiwaku ini.”
“Sudahlah Rijal. Apalah yang ada pada
kami. Oh ya, apakah tadi kamu berhajat untuk bertanyaku soalan?”
“Ya, hampir sahaja aku terlupa. Mengapa
ya Negara Mesir masih mengagungkan kekuasaan firaun, yang sudah pastinya ke
neraka daripada mendaulatkan sejarah Islam yang masih tersembunyi di celahan
pepasir sahara di bumi seribu menara ini. Cuba kau lihat sahaja pada wang
kertas dan syiling, pasti tertera gambar firaun walaupun dibelakangnya terdapat
gambar masjid? Mengapa tidak sahaja diletakkan sahaja gambar universiti
Al-Azhar yang menjadi kebanggan seluruh dunia?” aku sedikit bingung. Inilah
persoalan yang berlegar dalam benakku sejak awal ketibaan aku ke bumi berkat
ini.
“Seperti yang aku katakan tadi wahai Rijal,
semuanya kerana wang. Industri perlancongan merupakan penyumbang yang terbesar
dalam ekonomi negara Mesir. Kamu lihat sahaja piramid yang tersergam megah di
Giza seperti mana megahnya firaun dalam hati-hati kaum kuffar. Berapa banyak
keuntungan yang dikaut hasil daripada pembelian tiket untuk melihat kesan
peninggalan firaun laknatullah itu. Bagaimana pula dengan maqam Imam Syafie.
Begitu juga dengan maqam Saidina Hussain yang terletak di Khan el-Khalili.
Adakah dikenakan bayaran untuk menziarahi mereka? Pastinya mana-mana perkara
yang tidak mendatangkan keuntungan akan diketepikan. Mujurlah Saidina Hussain
‘tinggal’ di kawasan perlancongan. Jika tidak pasti nasibnya akan sama seperti
mana Imam Syafie dan ahli bait yang lain seperti Saidatina Aisyah dan imam-imam
yang besar lain seperti Imam An-Nawawi atau abid seperti Rabiatul Adawiyah.
Mereka dipinggirkan. Malah maqam mereka tidak diurus dengan baik.” suara Yusif
melirih hiba.
“Aku benar-benar sedih atas apa yang
telah berlaku kepada ulamak-ulamak yang tersohor ini. Andai aku punyai kuasa
pasti aku akan ‘memelihara’ mereka dengan sempurna.” nekadku. Masakan tidak.
Walaupun Saidina Hussain beruntung kerana tinggal di kawasan perlancongan
tetapi sebaliknya baginda terpaksa menahan malu kerana disekitar kawasan
‘rumahnya’ itu sentiasa penuh dengan kuffar yang tidak tahu adab dan sopan
dalam berpakaian. Tidak langsung
menghormati negara Islam ini. Bukan setakat negara Islam, tetapi ketika mereka
berada di Khan el-Khalili, secara tidak langsung mereka juga berada di kawasan
‘rumah’ Saidina Hussain. Alangkah malunya andai ditakdirkan Allah, Saidina
Hussain tiba-tiba bangkit semula dan melihat kawasan sekitar rumahnya telah
dicemari dengan tangan-tangan kotor dan jijik itu dengan perangai yang bisa menggugurkan iman orang
Islam.
“Bagus Rijal. Pemimpin seperti kamulah
yang umat Islam tunggu. Tegakkan kalimah Allah di muka bumi dan hindarkan
segala bentuk maksiat yang bisa mendatangkan kemurkaan Allah. Aku juga ingin
sekali berjuang, tetapi aku tidak mampu.” puji Yusif terhadap semangat juangku
sebentar tadi. Tetapi pujian yang melambung itu pastinya tidak melalaikan malah
tidak langsung memakan prinsip yang aku pegang sejak hatiku benar-benar ingin
kembali kepada Islam sepenuhnya dahulu. Bukan aku tidak Islam sebelum ini,
tetapi imanku hanya senipis kulit bawang dan seringan kapas. Bisa diterbangkan
angin kemana sahaja dan tidak tetap pendirian. Sejak kakiku memijak bumi
kinanah ini aku telah bernekad untuk kembali kepada Islam sepenuhnya. Bukan
Islam suku-suku.
“Inilah doktrin yang telah disuntik
oleh pihak barat untuk melihat umat Islam lari daripada kembali kepada jalan
yang lurus ini. Akibat kejengkelan itulah, umat Islam kini lalai dan terjerumus
ke kancah maksiat. Malah ada yang telah lari daripada Allah secara total.” aku
meneruskan kata-kataku yang tersekat dek pujian yang dilemparkan Yusif tadi.
“Diam tak diam kita sudah pon hampir
di Kota Tanta. Lima minit lagi insya-Allah kita akan membawa haluan
masing-masing. Walaupun aku tidak layak untuk memberi kata tetapi atas dasar
agama itu nasihat, ingin aku lemparkan sebuah wasiat buatmu wahai Rijal.
Belajarlah sungguh-sungguh mengenai agama kita. Kamu adalah ulamak yang masih
dalam pembinaan. Gunalah masa yang ada untuk menuntut ilmu demi menegakkan
Islam dan menjulang Islam keseluruh dunia. Ingat wahai Rijal Islam itu tinggi
dan tidak ada yang tinggi lagi melainkan Islam. Pihak barat sentiasa
melemparkan najis dan tohmahan kepada agama suci ini, maka tugas kamulah untuk
menyucikannya semula agar Islam dipandang mulia. Seronok aku berkenalan dengan
pelajar Malaysia sepertimu. Doakan keselamatan kami sekeluarga. Semoga Allah
memelihara kami daripada tangan-tangan hina yang ingin menjauhkan kami daripada
Islam. Semoga berjumpa lagi.” bingkas dia bangun lalu menyelinap di celahan
orang yang berdiri, meninggalkanku temanggu seroang diri.
“Yusif! Yusif!” suaraku separa
menjerit. Tetapi kelibat Yusif terus hilang daripada pandangan.
Apa
yang bermain di benakku ialah mengapa Yusif berlalu begitu sahaja. Pergi dengan
hanya meninggalkan satu wasiat yang cukup berharga. Umpama mutiara yang
meluncur laju kukutip satu persatu untuk
kujadikan kalung azimat yang berguna lalu kutitipkan buat insan lain.
Aku membuang pandangan pada tempat duduk Yusif dan wang 10 Junaiah yang aku berikan padanya tadi
tetap pada kerusi itu. Ada seketul batu atasnya. Adakah dia tertinggal atau
sengaja ditinggalkan? Aku benar-benar bingung. Kota Tanta sudahpun aku hampiri.
Aku bernekad. Esok akan kucari Yusif untuk kumemulangkan semula wang sepuluh
Junaih ini dan mengucapkan terima kasih padanya atas nasihat yang begitu
beharga itu. Pastinya pengalaman berharga bersama Yusif akan terus tersemat
dalam ingatan sampai bila-bila.
0 Komen Sedia Untuk Dibaca:
Post a Comment