Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, March 1, 2014

Cara Pengiraan Zakat Pendapatan

8:37 PM Posted by Lobam No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat paling berharga iaitu nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait Baginda.

Wang merupakan aset yang paling penting masa kini. Dalam keripuhan kita mencari wang pastinya akan ada sedikit sebanyak dari perlakuan kita yang boleh menimbulkan keraguan dalam perolehan pendapatan. 

Sebagai contoh, pekerja yang mengambil lebih masa dari sepatutnya untuk minum pagi. Ada juga antara kita yang kerap masuk lewat ke tempat kerja, malah menggunakan harta pejabat untuk kegunaan peribadi. Kesemua perilaku itu boleh menimbulkan syubhah dalam pendapatan kita.

Sanggupkah kita memasukkan harta yang 'kurang bersih' ke dalam tembolok anak-anak dan isteri? Pastinya perkara sebegitu perlu kita elakkan. Sebagai orang Islam yang mempercayai rukun yang lima, zakat merupakan salah satu cara untuk menyucikan harta. Sesuai dengan maskud zakat dari segi bahasa (lughah) iaitu berkat, bersih dan berkembang.

Yang dinamakan bersih itu ialah, apabila dengan membayar zakat harta kita akan semakin bertambah malah tidak akan berkurangan sehingga menjadikan harta kita ibarat tunas-tunas pada tumbuhan yang mengeluarkan buah-buahan yang banyak. Rasulullah pernah bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim :
Harta tidak berkurang kerana sedekah (zakat) dan sedekah (zakat) tidak diterima dari pengkhianatan (cara yang tidak dibenar menurut syari'e)

Dinamakan bersih itu ialah, dengan membayar zakat, harta dan diri kita menjadi bersih dari kotoran dan dosa yang disebabkan oleh cara kita memiliki harta tersebut. Teringat saya akan kata-kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary "dalam harta kita ada hak orang lain, maka kembalikan hak mereka dengan cara bersedekah (zakat)"

Allah telah berfirman di dalam kitab-Nya yang mulia :
Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kami membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui (Surah At-Taubah Ayat 103)

Antara zakat yang tidak luput dari kewajipan seseorang itu ialah Zakat Pendapatan. Zakat pendapatan boleh dicarum melalui potongan gaji atau dibayar terus kepada asnaf yang 8.


Cara pengiraan zakat adalah seperti berikut :

1. Pendapatan Kasar (Tahunan)

A. Kirakan pendapatan tahunan (Tidak termasuk elaun)
Contohnya gaji pokok yang diterima setiap bulan ialah RM3000.00 maka RM3000.00 didarab dengan 12 bulan.

B. Kirakan bonus / elaun / dividen / lain-lain sumber pendapatan tahunan
Contohnya elaun bulanan yang diterima ialah RM800.00 maka RM800.00 didarabkan dengan 12 bulan.

A + B = Pendapatan Kasar Tahunan

2. Tolak Perbelanjaan Setahun

A. Tolak untuk diri sendiri sebanyak RM 9000.00 (tetap)

B Tolakkan RM3000.00 (tetap) untuk seorang isteri. 
Jika beristeri dua tolak RM6000.00

C. Tolakkan RM 1000.00 untuk setiap orang anak. 
Jika mempunyai 4 orang anak jumlah yang perlu ditolak ialah RM4000.00

D. Tolakkan dengan pemberian ibu bapa setahun. 
Jika diberi kepada ibu bapa RM200.00 sebulan didarabkan dengan 12 bulan.

E. Tolakkan dengan caruman KWSP iaitu 11% sebulan (jika ada)

F. Tolakkan caruman kepada organisasi yang membayar zakat.
Contohnya membuat potongan gaji kepada YPEIM.

Pendapatan Kasar Tahunan - Perkara A sehingga F = Pendapatan Layak Dizakat

Contoh Pengiraan :

Pendapatan Bulanan
RM3000.00 x 12 bulan = RM 36000.00

Elaun Bulanan
RM800.00 x 12 bulan = RM9600.00

RM36000.00 = RM 9600.00 = RM 45600.00

RM45600.00 adalah merupakan Pendapatan Kasar Tahunan

Tolak perbelanjaan setahun

a. Untuk diri sendiri = RM9000.00
b. Seorang isteri = RM3000.00
c. 4 orang anak = RM4000.00
d. Pemberian ibu bapa = RM 2400.00
e. KWSP (jika ada)
f. Caruman (jika ada)

a+b+c+d+e+f = RM18400 
RM18400 merupakan Perbelanjaan Setahun

A) Pendapatan Kasar Tahunan RM 45600.00 ditolak dengan
B) Perbelanjaan Tahunan RM 18400.00 akan dapat
C) Pendapatan Yang Layak Dizakat RM27200.00

C x 2.5% (kadar tetap zakat ) = RM 680.00 (Kadar Yang Perlu Dibayar Setahun)

RM680.00 dibahagi 12 bulan = RM56.67 (Kadar Yang Perlu Dibayar Sebulan)

Pembayar zakat boleh membuat pemabyaran melalui Pusat Zakat atau terus kepada asnaf yang 8.

Sahabat-sahabat boleh memuat turun Aplikasi iZakat Melalui Android atau IOS yang disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah (PPZ)

0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment