Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia serta para sahabat dan ahlul bait tercinta.
Menerima pelawaan daripada adik saya yang bertugas sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan untuk mendaki Bukit Broga sesuatu perkara yang tidak mungkin saya tolak. Sudah lama saya mengimpikan untuk menjejakkan kaki di bukit setinggi 400 meter itu. Satu demi satu program dirancang sejak saya masih berada di sekolah tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan.
Kisah bermula apabila kami menerima tugasan untuk melakukan Community Setting dalam menyebarkan tentang bahaya dadah. Pelbagai usul telah dicadangkan oleh ahli kumpulan tetapi kesemuanya nampak biasa sahaja. Tidak ada satu program pon yang mempunyai wow factor.
Saat buntu memikirkan program terbaik, tiba-tiba saya menerima panggilan daripada adik yang mempelawa saya untuk menyertai pendakian ke Bukit Broga bersama 66 orang pelajar sekitar Seremban dan Port Dickson. Ternyata pelawaan itu ibarat Bulan Jatuh Ke Riba.
Setelah berbincang, ternyata usul saya diterima ahli kumpulan. Bermulalah episod seterusnya iaitu penyediaan bahan edaran. Dengan kerjsama Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) USIM, kami menerima bahan-bahan seperti brosur, poster dan bunting berkaitan dadah, rokok dan alkohol.
Jam 4.20 pagi kami memulakan perjalanan dari Nilai ke Bukit Broga. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sekitar 30 minit, menjadi lebih lancar memandangkan tidak banyak kenderaan di awal pagi.
Ini merupakan pengalaman pertama kami. Kawasan bermula pendakian yang terletak berhampiran Universiti Nottingham ini kelihatan lengang. Mungkin masih awal pagi atau bukan hujung minggu membuatkan kehadiran pendaki tidak berapa ramai. Tepat jam 5.00 pagi kami memulakan pendakian.
Biarpun sudah ada track, pengalaman pertama kali membuatkan pendakian kami sedikit sukar. Keadaan gelap gelita juga sedikit sebanyak menyulitkan keadaan. Dengan bantuan 2 buah lampu suluh, bukit keras itu kami daki perlahan-lahan.
Mengikut pembacaan saya, bukit ini mempunyai 3 puncak. Kebiasaannya, pendaki akan berhenti setakat di puncak kedua memandangkan pendakian ke puncak ketiga agak mencabar. Keadaan yang curam serta tanah yang licin membuatkan pendaki lebih selesa berada di puncak kedua.
Pendakian kami bergerak lancar. Hanya berhenti beberapa kali sekadar untuk melepas lelah. Sedar tidak sedar sudah 40 minit kami mendaki. Pendakian kami terhenti di puncak pertama. Di situlah saya bertemu dengan adik saya beserta ahli rombongannya seramai 75 orang. Memandangkan kawasan itu agak rata, kami memutuskan untuk berhenti di situ sementara menunggu Subuh menjelma. Tepat jam 6.00 pagi sayup-sayup kedengaran ayat suci Al-Quran dikumandangkan dari surau di kaki bukit. Perasaan sayu menjalar masuk ke seluruh urat nadi. Pada ketinggian ini, hampir seluruh kawasan sekitar Broga dapat dilihat berbalam-balam. Deretan lampu jalan yang menyinar membuatkan susana subuh begitu indah.
Tatkala azan subuh berkumandang di bawah, saya rasa terpanggil untuk melaungkan kalimah azan di puncak Broga. Dalam kegelapan subuh dan hembusan bayu sejuk yang menggigit tulang, kami sujud menyembah yang Esa secara berjemaah. Rekreasi bukan penghalang untuk beribadah. Jika diamati secara halus, rekreasi itu juga merupakan satu ibadah. Beza antara adat dan ibadat adalah niat kerana Allah.
Usai menunaikan solat dan zikir ringkas, kami bergegas mendaki hingga ke puncak kedua. Jarak antara kawasan lapang hingga ke puncak kedua tidaklah terlalu jauh. Sekitar lima minit pendakian sahaja. Tiba di sini kami bergabung dengan rombongan pelajar yang mengikuti kem. Saat ini sudah ramai pendaki yang tiba untuk terus mendaki ke puncak ketiga.
Kami sepakat untuk berhenti di sini seketika sambil menikmati kemunculan sang mentari yang malu-malu untuk menunjukkan diri.
Ternyata pagi ini mentari lebih rela bersembunyi di balik awan yang tebal dari menyebarkan sinaran ke serata bumi.
Peluang yang ada, tidak kami lepaskan. Langsung flyers dan brosur kami edarkan. Sedikit penerangan ringkas kami berikan kepada guru dan pelajar yang terlibat. Matlamat kami hanya satu, menyampaikan risalah anti dadah sambil beriadah di Bukit Broga. Ternyata mereka menerima dengan rasa gembira.
Saat kemunculan mentari adalah saat yang begitu menyentuh hati. Ketika kita dimatikan seketika sewaktu tidur dan dibangkitkan semula sewaktu pagi, selayaknya kita bersyukur dan bangun sujud menyembah yang Esa. Kecantikan sinaran mentari mencecah bumi menyerlahkan keindahan Bukit Broga itu sendiri. Cahaya mentari yang menerobos awan gemawan menghasilkan jaluran sinar yang memukau pandangan. Indahnya ciptaan Ilahi. Beruntunglah bagi mereka yang berfikir.
Selepas beberapa ketika, kami meneruskan pendakian ke puncak terakhir. Ternyata pandangan di waktu siang lebih menyerlahkan kepayahan yang tersorok di dalam pekat malam. Hampir-hampir saya berputus asa untuk meneruskan pendakian. Mujur daya ditunjukkan dengan jalan yang kedua yang tidak kurang hebat cabarannya. Pendakian yang lebih curam tanpa bantuan akar yang menjalar membuatkan pergerakan saya begitu sukar. Berkat bantuan rakan-rakan alhamdulillah, saya di puncak Broga.
Usai memetik beberapa keping gambar, projek Community Setting kami teruskan. Flyers dan brosur kami edarkan kepada mereka yang berada di puncak. Mudah-mudahan sedikit sebanyak usaha ini akan menggetarkan hati mereka untuk menerima kenyataan bahaya najis dadah. Itu pun dengan izin Allah jua.
Sudah tiba saat untuk kami turun pulang. Ternyata aktiviti turun dari puncak Broga lebih melelahkan. Sewaktu siang kita dapat melihat segala mara bahaya yang merentangi perjalanan. Aduh. Susah benar perjalanan pulang ini. Jika sewaktu mendaki kita tidak dapat melihat jalan yang dilalui dek gelapnya malam. Tetapi di waktu siang, Nah, terbentang jelas apa yang ada di hadapan. Langkah kaki semakin sukar. Kadangkala terpaksa duduk menggelongsor. Hayunan kaki lebih berhati-hati agar tidak tersungkur. Selepas menempuhi segala kepayahan, akhirnya kami tiba di kaki Bukit Broga.
Jelas, Broga memberi pengalaman pendakian yang berbeza. Ini bukan kali pertama saya mendaki. Malah Gunung Datuk di Rembau serta Gunung Angsi di Kuala Pilah telah berjaya saya tawan. Mendaki di kawasan hutan yang tidak berapa hutan membuatkan semangat perlu digandakan.
Buat anda yang pertama kali ke Bukit Broga, apa yang perlu dibawa?
1. Lampu suluh.
2.Tiada syarat pakaian, cukup sekadar anda berasa selesa. Saya hanya memakai seluar jenas dan kemeja T.
3. Air untuk diminum.
4. Air untuk berwuduk. Sebaiknya wuduk sahaja di rumah. Setiap langkahan kita pasti diganjari pahala.
5. Sejadah untuk menunaikan solat subuh. Rugi rasanya jika dapat menikmati keindahan ciptaan Allah tanpa kita sujud kepada Allah.
6. Makanan ringan. Makanan yang dijual di sana agak mahal.
7. Bagi anda yang tidak tahan sejuk, pakai sahaja baju lengan panjang.
8. Kamera untuk menangkap gambar. Jika tidak, cukup hanya menggunakan telefon sahaja dan terus muat naik ke akun FB kerana ada talian telefon di puncak bukit sana.
Broga. Mung Tunggu Aku Datang Lagi.
1. Lampu suluh.
2.Tiada syarat pakaian, cukup sekadar anda berasa selesa. Saya hanya memakai seluar jenas dan kemeja T.
3. Air untuk diminum.
4. Air untuk berwuduk. Sebaiknya wuduk sahaja di rumah. Setiap langkahan kita pasti diganjari pahala.
5. Sejadah untuk menunaikan solat subuh. Rugi rasanya jika dapat menikmati keindahan ciptaan Allah tanpa kita sujud kepada Allah.
6. Makanan ringan. Makanan yang dijual di sana agak mahal.
7. Bagi anda yang tidak tahan sejuk, pakai sahaja baju lengan panjang.
8. Kamera untuk menangkap gambar. Jika tidak, cukup hanya menggunakan telefon sahaja dan terus muat naik ke akun FB kerana ada talian telefon di puncak bukit sana.
Broga. Mung Tunggu Aku Datang Lagi.
selalu dengar tentang bukit broga ni, tapi tak pernah daki lagi. Nak try sekali insyaallah!
ReplyDeleteKali pertama memang letih. Tapi kata kawan2 saya, hujung minggu budak2 pon naik. Heheh
DeleteTeringin nak naik. Tapi belum rezeki.
ReplyDeleteIkhlas,
profhariz.com
Insya-Allah. Saya pon lama rancang baru tercapai hasrat.
Deletewak pon penah naik puncak broga tuu., nice pictures
ReplyDeleteSeronok kan wak...
Delete