Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, December 10, 2012

Kolam Air Panas Gadek, Ikon Pekan Alor Gajah

2:48 AM Posted by Lobam 2 comments
Assalamualaikum.

Saya kira sudah lama tidak pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan. Kesempatan yang ada sempena berlabuhnya Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 tidak saya lepaskan. Hampir dua bulan saya tidak mengjengah desa tercinta. Jadi kepulangan saya pada kali ini harus dirancang sebaiknya. Agar cuti  sekolah yang masih bersisa dapat dimanfaatkan dengan bijaksana.

Cuti kali ini saya berkesempatan untuk membawa isteri dan anak-anak mengejengah ke Kolam Air Panas Gadek. Sudah hampir lima tahun kami berkahwin, inilah kali pertama saya membawa isteri tercinta ke kolam air panas ini biarpun lokasinya hanya sekitar 20 km dari rumah ayahanda dan bonda saya.


Kawasan Air Panas Gadek ini terletak di Kampung Ganun 7 km daripada pekan Alor Gajah. Biarpun kolam ini tidak segah Kolam Air Panas Pedas mahupun Kolam Air Panas Sungai Klah tetapi fasiliti yang dibina mampu menjadikan Kolam Air Panas Gadek sebagai tempat berlibur yang mampu bagi semua golongan. Kolam Air Panas Gadek ini juga menjadi ikon pelancongan bagi kawasan Alor Gajah.


Kolam air panas semula jadi ini dikatakan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit terutamanya penyakit kulit dan sakit sendi. Kolam ini sentiasa panas dan tidak pernah kering biarpun sudah lama wujud.


Dahulu, kolam ini tidaklah sehebat seperti yang ada kini. Memandangkan kawasan ini berpotensi menarik pelancong ke daerah ini, maka kawasan ini telah dinaik taraf. Banyak wakaf yang telah disediakan. Ada juga kolam air panas berbumbung yang ibaratnya seperti kolam air panas persendirian yang sesuai digunakan untuk seisi keluarga.




Takat suhu airnya juga berbeza bagi setiap kolam. Ada yang suam malah ada juga yang agak panas. Bagi kami, cukuplah kolam air suam sebagai pilihan memandangkan dua orang anak kami masih kecil. Suhunya sangat sesuai untuk bayi kami yang berusia lima bulan.



Bagi pengunjung yang suka berenang, ada juga sebuah kolam air panas yang besar disediakan untuk anda. Apa yang penting airnya panas secara semula jadi.


Sebanyak lima kolam berbumbung disediakan. Ada juga beberapa kolam kecil yang mana suhu airnya berbeza. Malah pihak pengurusan juga menyediakan 8 kolah seperti kolah di bilik mandi untuk para pengunjung merendam kaki.


Bagi yang beragama Islam, usah khuatir kerana pengurusan Kolam Air Panas Gadek juga ada menyediakan surau yang cukup selesa untuk menunaikan ibadat. Tandasnya juga bersih.

Untuk kanak-kanak, ada juga disediakan taman permainan yang mempunyai beberapa buaian dan papan gelongsor.


Bagi pengunjung yang tidak mahu bersesak atau berpanas pada waktu siang, kolam ini juga beroperasi pada waktu malam selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Bayarannya juga sangat berpatutan iaitu RM 5.00 bagi dewasa dan RM 3.00 bagi kanak-kanak. Wifi juga disediakan kepada para pengunjung. Jadi apa lagi, jangan lupa untuk memuat naik gambar anda di Instagram ^__^

Bagi anda yang mahu ke sini. 

1. Jika melalui lebuhraya PLUS - 12 km
Ambil susur keluar Tol Simpang Ampat dan Tampin kemudian tuju ke arah Alor Gajah.

2. Jika anda dari Bandaraya Melaka - 30 km
Ikut Lebuhraya AMJ menuju Alor Gajah kemudian pilih jalan ke Tampin.

Bagi anda yang tercari-cari tempat untuk menginap, saya kira banyak homestay di sekitar kawasan itu. Ataupun anda menginap sahaja di Bandaraya Melaka. Selepas seharian meneroka keindahan Bandaraya Warisan Dunia itu, malamnya pula anda lepaskan lelah dengan berendam air panas di Kolam Air Panas Gadek. Sungguh menyegarkan. Tak percaya? Cubalah.







2 comments:

  1. tak jauh dr Ampangan kan..ok la bila2 nanti akk g

    ReplyDelete
  2. Kalau dari ampangan agak jaih jugak kak. Tapi xpa. Sekali sekala jalan. Hehe.

    ReplyDelete