Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, April 28, 2014

Pokai Kerana Telefon Pintar

9:49 PM Posted by Lobam 4 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Memiliki telefon pintar yang terbaru memang menjadi idaman setiap insan. Apatah lagi jika menggenggam telefon canggih dan digayakan bersama rakan-rakan pasti memberi seribu satu kepuasan kepada pemiliknya. Tambahan gajet yang dilengkapi dengan aplikasi yang hebat pasti akan memudahkan urusan seharian.

Fenomena remaja dan telefon pintar sudah lama menular di Malaysia. Bukan sekadar mahasiswa di universiti tetapi kanak-kanak masih dibangku sekolah juga sudah mampu menggayakan telefon yang berharga mencecah ribuan ringgit. Jika diamati, perlukah telefon pintar di usia remaja? Adakah telefon pintar itu digunakan secara maksima atau sekadar menjadi trend terkini? Mungkinkah jenama telefon pintar akan mengangkat martabat seseorang?

Sumber Kosmo
Sedar atau tidak, kerana terlalu mengikut trend memiliki telefon pintar boleh menyebabkan pokai. Memang benar, ukur baju di badan sendiri, tetapi adakah telefon pintar berjenama mahal yang dimiliki itu digunakan secara maksima?

Ayuh kita lihat trend penggunaan telefon pintar. Selain menggunakan kamera yang mempunyai definisi tinggi, aplikasi wajib yang kebiasaannya ada dalam telefon pintar seseorang ialah Facebook, WhatsApp, WeChat, Instagram, Waze, Youtube dan beberapa aplikasi laman sosial yang lain. Apakah berbaloi membayar wang RM2000 semata-mata untuk menggunakan aplikasi ringan seperti itu? Tidak ramai rasaanya yang menggunakan telefon bimbit mereka semaksima mungkin, berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.  Saya juga mempunyai telefon pintar. Banyak aplikasi yang saya install di telefon. Saya sangkakan saya akan gunakan semua aplikasi yang ada. Tetapi jangkaan saya silap. Setiap dua minggu telefon saya akan memberi peringatan tentang aplikasi yang jarang atau tidak saya gunakan. Jika dilihat dari memori, telefon saya hanya dipenuhi dengan gambar sahaja. Itu pon saya tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada apabila saya hanya menggunakan kamera 9 megapixel berbanding 13 megapixel yang ditawarkan.

Trend ini semakin parah apabila mahasiswa di universiti sanggup berlapar semata-mata mahu memiliki telefon bimbit sehingga menyebabkan mereka pokai. Tambah menyedihkan apabila menghabiskan duit pinjaman semata-mata mahu nampak hebat dikalangan rakan-rakan. Tanpa mereka sedar tindakan itu akan menjerat diri mereka.

Saya kira remaja zaman sekarang lebih beruntung. Jika mahu diungkit kisah lama pasti ramai yang tidak percaya. Itulah realitinya Generasi Y kini. Sebagai seorang guru, saya kerap bercerita tentang kesusahan semasa zaman ibu bapa saya membesar kepada anak-anak murid. Ternyata apa yang saya cerita dianggap seperti kisah fantasi yang sering diada-adakan.

Tetapi adakah mereka lupa, keberuntungan itulah yang akan membuatkan mereka sengsara. Ya, menggunakan duit pinjaman untuk membeli telefon bimbit memang seronok. Pilihlah apa sahaja telefon bimbit yang ada di pasaran asalkan sepadan dengan wang yang ada. Tetapi tiba saat masa untuk membayar, pasti golongan ini merupakan insan yang paling liat untuk membayarnya. Kerana apa? Kerana mereka tahu mereka telah mengalirkan wang yang mereka perolehi ke jalan yang merugikan.

Pasaran telefon bimbit tidak panjang masanya. Jika kita merasakan hari ini telefon bimbit kita yang paling canggih, tunggulah beberapa bulan lagi. Pastinya telefon kita tidak akan menjadi siulan orang lagi.

Adakah saya seorang yang cemburu? Siapa tidak pernah berangan untuk memiliki telefon mahal. Tetapi bila sudah ada wang di tangan, langsung saya gunakan akal yang dipinjamkan secara maksima. Fikirkan tentang baik dan buruknya. Fikir tentang masa hadapan dan fikirkan juga apa kebaikan yang boleh saya lakukan dengan wang yang ada. Ternyata fikiran saya masih waras. Biarpun sudah bekerjaya dan memiliki pendapatan yang baik, belum tergamak rasanya untuk saya menghabiskan wang ribuan ringgit semata-mata untuk membeli keperluan yang tidak penting dalam kehidupan.

Kepada para mahasiswa, gunakan wang anda sebaik mungkin. Jangan biarkan diri anda pokai kerana telefon bimbit.

4 comments:

  1. Replies
    1. Kadang-kadang kita lupa. Adakah penggunaan telefon bimbit itu keperluan atau kehendak.

      Delete
  2. Alhamdulillah Akak mampu ukur baju di badan sendiri dan alhamdulillah Allah beri percuma gajet2 tu .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tahniah kak. Bukan senang nak dapat percuma. Hehehe.

      Siapa yang tak teringin. Tapi bila dah ada duit masa itu kita akan berfikir semula sama ada benda ini penting atau tidak.

      Delete