Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Monday, September 15, 2014

Membeli Belah Di Pekan Nabalu

10:43 PM Posted by Lobam , 3 comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat rezeki tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia.

Gunung Kinabalu terpampang jelas di belakang
Pekan Nabalu jarang disebut oleh kebanyakan pelancong yang bertandang ke Sabah. Malah jika dicari melalui carian Google tidak banyak blog yang bercerita tentang Pekan Nabalu secara detail. Kebanyakan penulis hanya menukilkan Pekan Nabalu hanya pekan terpencil menjadi transit kepada para pelancong untuk berehat atau membuang air sebelum meneruskan perjalanan  ke Kinabalu Park.


Sebenarnya pekan kecil Nabalu mempunyai sesuatu yang lebih dari apa yang kita jangkakan. Pekan Nabalu terletak sekitar 75km dari Kota Kinabalu atau mengambil masa lebih kurang satu jam lima belas minit perjalanan menggunakan kenderaan. Pekan Nabalu juga terletak tidak jauh dari Kinabalu Park yang mana menjadi kawasan permulaan pendakian ke Gunung Kinabalu. Terletak di kawasan berbukit pastinya menyajikan pemandangan yang mengagumkan. Ibarat lukisan indah yang tergambar di kanvas infiniti, Pekan Nabalu yang berlatar belakangkan puncak Gunung Kinabalu pasti menjentik atma. Indah di pandangan mata.   

Puncak dapat dilihat dengan jelas
Selain dari itu, Pekan Nabalu juga menjadi transit atau lokasi membeli belah yang terbaik. Ya memang banyak lokasi membeli belah yang popular di sekitar Kota Kinabalu. Selain Pasar Filipina dan Pasar Malam Kampung Air, Pekan Nabalu juga patut diletakkan dalam senarai lokasi membeli belah barangan cenderahati. Dengan berlatar belakangkan Gunung Kinabalu nan indah, persekitarannya juga cantik dan bersih malah udaranya turut nyaman. Lokasinya pula tidaklah semacet lokasi-lokasi jualan yang lain. Tidak ramai dan tidak perlu bersesak-sesak. Malah pengunjung juga boleh membeli belah dengan selesa. Dapat juga ziarah dari satu gerai ke gerai yang lain dengan bebas.


Di Pekan Nabalu terdapat satu pasar yang dinamakan Gerai Pekan Nabalu. Di gerai ini tersusun puluhan gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai jenis cenderamata. Saya berani katakan, harga jualan di Gerai Pekan Nabalu ternyata jauh lebih murah dari kawasan membeli belah yang telah saya sebutkan tadi. 

Pelbagai cenderahati ada dijual di sini

Sekadar memberi contoh, harga magnet peti sejuk di Kota Kinabalu adalah RM10 untuk 3 keping. Tetapi di sini anda boleh mendapat barangan yang sama dengan harga yang lebih murah. RM10 unuk 4 keping. Jika pandai memujuk tidak pelik jika boleh mendapat 5 keping untuk harga RM10. Itu hanya sekadar contoh. Banyak lagi barangan yang lebih murah dari pasar-pasar yang terletak di Kota Kinabalu. Yang penting kita pandai membezakan harga antara kedai yang lain.



Pekan Nabalu juga lokasi untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran. Hasil tanaman tanah tinggi pastinya jauh lebih segar dari kawasan bandar. Malah harganya jauh lebih murah. Ambil sedikit masa untuk membeli buah-buahan di sini. Rasai dan nikmati kesegaran buah-buahan dari tanah tinggi.


Terdapat satu kawasan di belakang gerai jualan yang berlatar belakangkan Gunung Kinabalu. Lokasi itu menjadi pilihan kepada para fotografer untuk mengabadikan detik-detik indah Gunung Kinabalu. Jika cuaca baik, puncak Gunung Kinabalu boleh dilihat dengan jelas dari pekan ini. Jika tidak, puncak gunung yang dilitupi awan gemawan nipis yang dilihat berbalam-balam juga sudah cukup mengujakan. Yang penting jurufoto pandai membidik gambar serta bijak mencari sudut yang menarik.


Jujur saya katakan, untuk membeli cenderamata Sabah, Pekan Nabalu adalah lokasi yang paling sesuai. Membeli belah di Pekan Nabalu boleh membuatkan kita terleka. Bukan sahaja terpegun dengan barangan yang diperagakan tetapi juga leka untuk tawar menawar harga. Sayangnya, mutiara tiada dijual di sini. Jika tidak harganya juga pasti lebih murah.

Jika ke Kundasang dan Ranau jangan lupa singgah membeli belah di Pekan Nabalu ya sahabat.

3 comments:

  1. best ni.. boleh pilih2
    cantik blog kamu

    jemput blogwalking
    www.yatiadam.com

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi ziarah. Terima kasih ^_^

    ReplyDelete