Assalamualaikum.
Syukur kepada Ilahi atas kurniaan tidak bertepi, selawat dan salam buat Sayyidina Nabi.
Pertama kali menerima email menyatakan saya terpilih untuk menyertai #TSDayOut edisi Skytrex Adventure sangat mengujakan. Apatah lagi bila mengetahui yang kami bakal melakukan aktiviti ekstrem yang tidak pernah terbayang sebelum ini. Debaran semakin kencang, terasa bulu roma tegak berdiri apabila mengetahui yang kami akan 'terbang' 17 meter dari aras bumi dan melaksanakan 27 aktiviti. Kekuatan fizikal dan mental kami benar-benar akan diuji .
Seawal jam 5.30 pagi saya sudah bangun untuk mempersiapkan diri. Usai solat subuh, kereta saya pandu menuju ke destinasi. Biarpun sudah 6 tahun mendiami bumi bertuah Sungai Besar, Shah Alam nampaknya masih asing di mata saya apatah lagi Taman Botani Negara. Perjalanan dipermudahkan dengan bantuan GPS. Rupanya Taman Botani Negara juga dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah. Syukur saya kembali selepas berbelas tahun tidak ke mari.
Kami dibawa menaiki kenderaan yang disedia khas. Seramai hampir 30 orang memenuhi perut bas. Masing-masing nampak teruja. Ada yang pertama kali ada juga peserta yang setia. Wajah dimaniskan, senyuman diukir, salam dihulur tanda persahabatan baru bermula. Bagi saya yang baru pertama kali, pasti nampak sedikit asing. Masa inilah untuk menambah kenalan yang terdiri daripada pelbagai jantina dan bangsa.
Setibanya kami di tapak aktiviti - Skytrex Adventure kami diperkenalkan dengan En Azlan, pemilik Skytrex Adventure yang peramah. Serba sedikit tentang aktiviti yang akan dijalankan diterang secara lanjut. Perasaan teruja semakin memuncak. Tambahan bila melihat kumpulan lain yang sudah bermula lebih awal. Terasa gatal sahaja kaki ini untuk memanjat.
Selepas memakai peralatan keselamatan, kami diajar cara-cara menjalankan aktiviti ini. Saya menjadi peserta keempat yang mencuba. Sangat teruja.
Kini tibalah masanya untuk merealisasikan segala impian. Jika beberapa hari lalu, terbayang-bayang di fikiran apa yang bakal saya lakukan. Kini saya sudah berada di sini dan sedia untuk beraksi.
Tangga setinggi 17 meter saya daki. Satu persatu anak tangga saya jejaki. Semakin lama pendakian semakin perlahan. Ternyata saya tewas. Belum separuh anak tangga didaki, saya sudah berhenti untuk melepas lelah. Ternyata ujian pertama begitu getir. Kata-kata semangat yang dilontar daripada rakan diatas menjadi bekal untuk meneruskan pendakian. Alhamdulillah pelantar setinggi bangunan tiga tingkat itu berjaya saya jejaki.
Setelah memeriksa peralatan keselamatan benar-benar selamat untuk digunakan, saya meneruskan ujian kedua. Ternyata ujian kedua mampu saya tempuhi. Biarpun lelah, langkah perlu maju ke hadapan. Langkah saya susun, gerak saya atur satu persatu halangan saya lalui. Ternyata ujian ini benar-benar menguji ketakutan. Kepala senak memikir melawan segala perasaan. Adakah perlu diteruskan atau hanya menyerah sahaja. Tambahan pula beberapa check point menyediakan 'tangga kecemasan' sebagai alternatif jika peserta menyerah kalah. Saya nekad. Bukit Cerakah tidak akan saya tinggal tanpa menghabiskan halangan yang tersedia.
Setibanya di satu check point, instructor memberi pilihan sama ada untuk menggunakan jalan pintas iaitu dengan cara flying fox atau mencuba halangan earthquake. Nekad saya memilih earthquake.
Selepas cuba melangkah, ternyata cabaran ini paling sukar. Menggigil kaki saya di 'atas udara'. Hanya bergantung harap kepada sebatang paip yang diikat dengan dua utas tali dan peralatan keselamatan yang disangkut pada seutas wayar. Oh, ini benar-benar kerja gila. Kaki terhayun ke depan dan belakang. Bulu roma semakin galak berdiri. Darah terasa menyirap ke kepala. Tiada apa yang terbit di fikiran melainkan saya perlu berpatah balik. Bila difikirkan berpatah balik lebih sukar dari meneruskan langkah, langsung saya ubah fikiran. Biarpun saya terpaksa berfikir di luar kewarasan fikiran pada waktu itu saya tekad, langkah perlu diteruskan. Sukarnya kaki melangkah. Kaki tidak boleh berdiri serentak di paip yang sama. Jika tidak pasti kita akan terbuai. Silap langkah akan terjatuh. Perlahan-lahan kaki melangkah biarpun terasa lembik lutut akhirnya saya berjaya juga.
Satu lagi cabaran yang tidak kurang ekstremnya dari earthquake ialah monkey jump. Hati bertambah gelisah bila melihat rakan wanita di hadapan saya jatuh tergantung. Mujur pada waktu itu tangannya sempat mencapai tali. Kebetulan pula rakan itu jatuh di permulaan cabaran, langsung dibantu oleh instructor yang bertugas.
Aktiviti yang paling saya gemari ialah flying fox. Penutup bagi segala cabaran peserta akan melalui aktiviti flying fox sepanjang 100 meter. Terasa bebas apabila meluncur di udara sambil menjerit untuk melepaskan tekanan. Puas, sangat puas.
Jom kita layan beberapa lagi keping gambar yang ekstrem.
Yang terakhir. Inilah acara yang ditunggu-tunggu. Sukur saya telah dipilih cebagai pemenang dalam cabaran fotografi yang diadakan serentak semasa acara berlangsung. Habuannya, RM250 tunai untuk dibawa pulang. Terima kasih Tourism Selangor atas pengalaman yang saaaaangat berharga ini. #TSDayOut Skytrex Adventure benar-benar memberi impak yang mendalam buat diri saya. Sekarang saya sudah kuat dan bersedia untuk atasi ketakutan yang ada. Double thumbs up untuk Tourism Selangor. Lepas ini pilih saya lagi ya @}------- untuk Renuga dan Tim #TSDayOut. Informasi mengenai Skytrex boleh dibaca melalui entri Memacu Adrenalin di Skytrex Adventure Shah Alam
0 Komen Sedia Untuk Dibaca:
Post a Comment