Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Sunday, February 24, 2013

Le Tour De Langkawi Menggamit Memori Silam

9:46 PM Posted by Lobam , No comments
Assalamualaikum.

Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang melimpah ruah, selawat dan salam buat Sayyiduna Rasul tercinta.

Syukur alhamdulillah. Setelah seminggu bertungkus, cuti hujung minggu adalah saat yang paling dinanti-nanti. Pasti ramai yang menghabiskan masa bersama keluarga hari ini. Begitu juga dengan saya. Tetapi hari ini agak istimewa. Mana taknya, Sungai Besar menjadi laluan perlumbaan Le Tour De Langkawi 2013 peringkat ke empat dari Tapah ke Kapar, Klang.


Bila mengingatkan tentang LTDL, pasti memori semasa menuntut di SMKA Pedas, Negeri Sembilan bertandang kembali. Ibarat tayangan gambar yang terpancar di papan layar satu persatu tergambar di memori. Memandangkan sekolah kami terletak di tepi jalan, setiap kali LTDL kami akan berbaris di sepanjang bahu jalan untuk menyambut pelumba-pelumba yang melalui trek perlumbaan. Dengan perasaan gembira kami mengibarkan jalur gemilang dan melambai-lambai menggunakan 'tangan besar' yang disediakan. Saat para pelumba melintasi barisan, kami akan bersorak dan bertepuk tangan memberi semangat buat mereka. Ternyataan saat-saat itu sangat membahagiakan. Tetapi semuanya hanya tinggal memori. Sudah 13 tahun alam persekolahan ditinggalkan. Semakin hari usia semakin memanjat tua.

Hari ini, peristiwa itu berulang kembali. Dengan rasa teruja saya bersama ratusan warga Sungai Besar memenuhi sepanjang jalan di pekan yang sedang membangun. Setelah 6 tahun mendiami kawasan permai ini, baru hari ini berkesempatan mengulangi aktiviti yang pernah saya lalui dahulu.


Seawal jam 11 pagi kelihatan orang ramai sudah berpusu-pusu memenuhi bahu jalan sedangkan jangkaan pelumba melintasi kawasan kami adalah sekitar jam 12 tengah hari. Trafik juga semakin perlahan. Sekitar jam 11.20 pagi jalan semakin sesak. Boleh dikatakan trafik tidak bergerak. 11.25 pagi kedengaran siren polis memecah suasana. Gerombolan kereta yang membawa nama penaja-penaja besar mula kelihatan. Mereka berhenti dan mengedarkan barang-barang tajaan seperti air mineral, 'tangan besar' dan banyak lagi. Lagu LTDL juga dikumandangkan melalui speaker yang diletakkan di atas kereta.





Pada jam 12.14 tengah hari kelompok pelumba pertama kelihatan melintasi kawasan kami. Ketibaan mereka disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.






Beberapa minit kemudian para penonton bersurai dan trafik kembali lancar selepas satu jam tersekat dalam kesesakan.

Jelas, perlumbaan LTDL hari ini mengembalikan kenangan alam persekolahan dahulu. Benarlah, seperti kata Imam Ghazali
Imam Ghazali = ” Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?”
Murid 1 = ” Negeri Cina “
Murid 2 = ” Bulan “
Murid 3 = ” Matahari “
Murid 4 = ” Bintang-bintang “
Iman Ghazali = ” Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun keadaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama”.
Keputusan peringkat keempat Tapah - Kapar boleh dilihat di sini






0 Komen Sedia Untuk Dibaca:

Post a Comment