Syukur Alhamdulillah atas kurniaan rezeki yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Mulia, keluarga Baginda serta para sahabat dan ulamak yang meneruskan legasi perjuangan Baginda Rasul.
Alhamdulillah bertemu lagi kita di entri ini. Jutaan terima kasih saya layangkan kepada pembaca blog Kisah Seorang Lobam yang masih setia membaca biarpun tiada apa yang istimewa. Sekadar hanya bercerita tentang seputar Kisah Kehidupan Seorang Lobam.
Hari ini saya rasa sangat bertuah kerana saya telah terpilih dalam Projek 10 Blogger anjuran Blogger Eyriqazz. Insya-Allah selepas ini bermulalah kehidupan saya sebagai penulis jemputan di halaman sebelah sana. Biarpun hanya dalam tempoh percubaan tetapi siapa yang tidak rasa gembira bila dapat berkerjasama dengan blogger yang mencapai 3000 UV sehari.
Para pembaca yang budiman. Jika anda melalui Lebuhraya Klang - Teluk Intan melalui jalan Kuala Selangor - Tanjung Karang - Sekinchan - Sungai Besar pasti anda dapat menjamu pandangan dengan melihat hamparan sawah padi yang cukup indah di sepanjang perjalanan. Pemandangan indah itu pasti mampu mencuci daki-daki debu kota yang melingkari kehidupan saban hari. Hasilnya ketenangan pasti singgah di sanubari menghalau kekusutan yang dialami.
Malah setiap tempat juga ada jenama mereka sendiri. Terutamanya makanan. Jika lalu di Kuala Selangor, jangan lupa untuk merasai kelazatan Cendol Durian Borhan. Jika berada di Sekinchan pula Mentarang Lazat Sekinchan sedia menanti. Oh ya. Alang-alang sudah sampai di Sekinchan, jangan lupa untuk singgah membeli buah-buahan segar di sepanjang perjalanan. Jika anda meneruskan perjalanan menghala ke Sabak Bernam, pasti anda akan tiba di satu kawasan yang dinamakan Kampung Sungai Limau. Di situlah letaknya sebuah warung Cendol yang agak terkenal di kawasan itu iaitu Cendol Atok. Warung yang terletak bersebelahan jalan besar akan berada di sebelah kiri anda jika menghala ke arah Sabak Bernam.
Warung ini dimiliki oleh sepasang suami isteri. Suaminya agak uzur dan hanya berkerusi roda. Mungkin itulah ATOK yang dimaksudkan. Walaupun namanya Cendol Atok, tetapi nampaknya Opah yang banyak menguruskan perjalanan warung. Warung ini juga menyediakan pelbagai variasi cendol dengan harga yang sangat berpatutan. Malah mangkuknya juga lebih besar dari warung cendol yang lain.
Para pengunjung boleh mencuba pelbagai perasa cendol. Untuk saya sudah pasti Cendol Durian menjadi pilihan. Santannya yang berlemak serta kemanisan gula melaka pasti menjentik deria rasa anda. Terasa segar di kerongkong saat cendol berlari-lari masuk menuju ke perut. Kemanisan gulanya seakan melompat-lompat minta ditelan. Wah. Sungguh menyenangkan Selain cendol, warung ini juga menyediakan 2 menu makanan iaitu Rojak dan Laksa. Bagi penggemar rojak dan laksa jangan lepaskan peluang untuk mencuba kedua-dua makanan ini. Bagi saya, rojaknya sangat segar ( tidak lembik ) dan kuah kacangnya pula cukup dari segi rasa. Begitu juga dengan laksa. Kuahnya pekat dan lazat pasti anda akan menghirup sehingga ke titisan yang terakhir.
Cendol Durian + Pulut |
Rojak yang lazat |
Terima kasih.
uihhhh... mengujakan..
ReplyDeletetapi, jauh la :)
Mama Adam. Nanti kalau tersesat ke Sungai Besar bolehlah singgah. Hehehe.
Delete