Perkongsian Peribadi, Pendidikan dan Kerjaya. Semua Kisah Lobam

Saturday, January 26, 2013

Peraduan Umrah Percuma Bersama Penulis Novel Popular

10:58 PM Posted by Lobam , 4 comments

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang berharga. Selawat dan salam juga buat Sayyiduna Rasul Tercinta. Bertemu lagi kita di dalam rahmat Ilahi.

Bagi peminat novel Sejarah Islam, nama Abdul Latip Talib pasti bukan asing lagi. Penulis yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Jelebu baru-baru ini telah berjaya mengangkat novel Sejarah Islam dan Pejuang Melayu ke tahap yang membanggakan. Beliau telah menjadi idola kepada penulis-penulis muda yang mahu memulakan langkah di dalam bidang penulisan. Pemilik nama panggilan Pak Latip ini pernah terbang merentasi benua semata-mata untuk menyampaikan dakwah dan memugar semangat penulis-penulis muda yang berada di luar negara.

Malah kesungguhan Pak Latip dapat dilihat dari usaha beliau yang sanggup berkelana ke serata dunia semata-mata mahu mencari fakta yang tepat mengenai ikon yang bakal ditulis. 

Bagi meraikan peminat-peminat Sejarah Islam, Pak Latip menganjurkan satu peraduan mudah untuk pembaca setia karya-karya penulisan beliau. Hadiahnya saaaaaangat lumayan. 
Pakej Umrah Percuma buat 3 pembaca bertuah
Wah. Sangat mengujakan. Cara penyertaannya juga mudah. Hanya Tuliskan Kesan Ke Atas Diri Saya Selepas Membaca Novel Sejarah Islam dan PM beliau di FB bersama sekeping gambar. Untuk makluman pembaca semua, ini adalah tahun kedua beliau menganjurkan peraduan seperti ini.

Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba. Inilah penyertaan saya yang dipetik dari laman Facebook beliau. Doakan kejayaan saya ya. Doa dari kalian sangat saya dambakan. Jom kita sertai bersama-sama.. 

PESERTA KE 14 

KESAN KE ATAS SEORANG GURU CEMERLANG SETELAH MEMBACA NOVEL SEJARAH ISLAM 




Assalamualaikum Tuan yang mulia.

Bersama ini saya sertakan penyertaan saya.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah syukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang tidak bertepi. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat dan ahli bait baginda. Syukur di kesempatan yang ada ini, saya diberi kekuatan untuk mencoretkan sedikit nukilan buat perkongsian kita bersama.

Alhamdulillah. Saya mula mengenali Pak Latip lewat karya beliau iaitu Tariq, Menang Ataupun Syahid. Karya Agung ini diperkenalkan kepada saya melaui adik ipar yang juga peminat karya-karya penulis tersohor ini. Di awal pembacaan, saya sudah tertarik dengan gaya bahasa yang santai serta info sejarah yang bukan digayakan dalam bentuk ceramah mahupun artikel. Plot perbualan nampak kemas serta gaya bicaranya tidaklah keterlaluan. Ibarat kata Dari Mata Jatuh Ke Hati, begitulah apa yang saya rasa. Bermula dengan menyelak beberapa halaman akhirnya tanpa sedari habis sebuah buku saya langsaikan.

Tiada kata secantik bahasa. Begitulah saya ibaratkan karya-karya hebat ini yang berjaya merubah atmosfera penerbitan novel sejarah tanah air. Jika dahulu novel sejarah pasti hanya dipandang sebelah mata. Tetapi dengan kelahiran novel sejarah karya sasterawan Abdul Latip Talib ini mampu menembusi pasaran remaja serta menambat hati orang dewasa. Tanpa kita sedar, terselit mutiara indah di balik lumpur yang menyelaputi cengkerang tiraman. Dalam lambakan novel picisan yang membawa kepada kelalaian, terselit juga khazanah negara yang perlu dijaga bagi memastikan sejarah Islam dan pahlawan negara diabadi dan diangkat selayaknya.

Pertemuan dengan Tariq, membuatkan episod kecintaan saya kepada novel-novel sejarah Islam semakin mekar membunga. Satu demi satu saya selami akhirnya membuatkan naluri saya terjentik. Ya inilah yang saya cari selama ini.


Jujur saya katakan, dahulu saya lebih gemar membaca karya-karya cinta, karya-karya perosak bahasa dan karya-karya picisan yang bersepah di pasaran. Tetapi sejak bertentang mata dengan karya agung ini, saya mula belajar mencintainya. Saya berkhalwat malah karya-karya hebat ini sentiasa menjadi peneman saya di ranjang. Sebelum mengakhiri diari seharian hidup saya, tidak lengkap kiranya jika tidak membaca barang seperenggan dua buat pemugar semangat dalam menempuhi hari esoknya.

Sudah pasti ketokohan serta kegagahan dan ketaatan para pejuang ini kepada Maha Pencipta membuatkan hati saya tersentuh. Masakan tidak, dalam sibuk menyiapkan diri demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi, ketaatan mereka kepada Tuhan tidak pernah surut. Malah semakin meluap-luap rasa cinta kepada Rasulullah serta kehambaan kepada Yang Maha Agung. Kerdilnya diri saya bila mengingatkan, yang saya hanya sekadar insan biasa. Lupa kepada Tuhan selepas berjaya. Angkuh dengan kehidupan yang sempurna. Sedangkan para sahabat dahulu hidup dalam kesusahan semata-mata ingin mengejar kehidupan sejahtera di syurga yang abadi. Masya-Allah zalimnya diri saya kepada Tuhan yang maha pencipta. Jauh benar iman saya jika mahu diukur dengan kekuatan dan kekentalan iman para sahabat.

Sebuah lagi judul yang benar-benar membuka lorong kejayaan saya ialah Karya HIJRAH. Karya itu benar-benar membantu saya dan dengannya juga memberi rezeki yang melimpah ruah kepada saya dengan izin Allah semestinya. Sudah pasti apabila tibanya Muharram membawa ke Rabi’ul Awal karya agung itu akan menajdi rujukan utama saya. Subhanallah, atas kurniaan rezeki yang datang dari pintu yang tidak disangka-sangka. Masakan tidak, saya berjaya membawa cerita yang lari dari kebiasaan. Yang kita tahu ketika kelahiran Sayyiduna Rasul, Abrahah bersama tenteranya menyerang Mekah. Padahal kisah mengapa Abrahah menyerang Kaabah jarang dibuka sirahnya. Dengan kelahiran khazanah HIJRAH, saya berjaya membawa kisah sisi Abrahah dan al-Qlisynya. Sudah pasti, ramai yang tersenyum girang kerana sirah kelahiran Rasul diceritakan dari sisi serangan Abrahah bersama tentera bergajahnya pula. Modal yang sikit tetapi pulangannya Tabarakallah. Hanya Allah sahaja yang mampu menilai betapa berharganya ilmu yang jarang didendang itu.

Disamping itu juga, karya agung ini menjadi sumber rujukan utama saya ketika sesi pengajaran dan pelajaran di sekolah. Sudah pasti dengan kepelbagaian sumber rujukan menjadikan sesi pembelajaran sangat berkesan. Kadang-kadang saya membuat dalam bentuk lakonan dan kadang-kadang dalam bentuk penceritaan. Harapan saya agar apa yang telah saya lakukan akan memberi kesan dalam fikiran anak-anak pelajar sekalian.

Tambahan pula, perpustakaan sekolah telah menyediakan beberapa set siri Sejarah Islam karangan Tuan Yang Mulia. Sudah pasti saya berbangga. Nampaknya siri yang dahulu hanya dipandang sepi kini menjadi juara antara buku yang kerap dipinjam pelajar. Lebih menggembirakan lagi bila Perbadanan Perpustakaan Awam Sungai Besar juga menyediakan buku-buku tulisan Tuan di sana. Wah nampak hebat. Impak fenomena Pak Latip telah menggegar dunia penulisan sejarah Islam di Malaysia mengalahkan fenomena Gangnam Style yang meletup seketika dan terus sepi selamanya.

Kehebataan Saidina Rasul dalam mendidik para sahabat baginda juga membuka ruang untuk saya meneroka TEKNIK MENDORONG CARA NABI seperti yang diperkenalkan oleh Puan Ainon yang mulia. Jujur saya katakan, karya-karya agung inilah yang mendorong saya untuk mengikuti kursus batch pertama di De Palma tahun lalu. Alhamdulillah ternyatalah bahawa Sayyiduna Rasul adalah merupakan qudwah hasanah dan apa yang dibawa adalah benar belaka.

Dengan menggunakan TEKNIK MENDORONG CARA NABI perlahan-lahan saya aplikasikan kepada anak-anak saya. Ya saya yakin apa yang dibawa oleh Sayyiduna Rasul adalah benar. Insya-Allah pasti kejayaan akan mengiringi anak-anak saya kelak. Bagaimana semua ini bermula? Sudah tentu, tenaga yang tertanam ini berjaya saya cungkil hasil dorongan daripada karya-karya agung sentuhan emas daripada Pak Latip yang mulia.

Ya benar, karya-karya agung inilah yang telah merubah kehidupan saya. Saya sangat bersyukur kepada Allah atas kurniaan seorang insan yang mulia. Bertungkus-lumus membanting tenaga demi memastikan sirah Rasulullah dan para sahabat diangkat ke tempat selayaknya. Biarpun pernah dipalit derita dengan fitnah beliau bersekongkol dengan syiah, tetapi hanya Allah yang mampu menilai dimana selayaknya dia. Semoga Tuan Yang Mulia juga Tokoh Maulidur Rasul Daerah Jelebu akan terus tsabat dalam arena dakwah penulisan dalam memandaikan bangsa di era millennium ini. Saya mendoakan agar kudrat tuan sentiasa muda dalam menegakkan syiar islam ke mata dunia.

Salam sayang daripada hamba yang hina

Abdul Muiez bin Mohammad Ruslee
Guru Bimbingan & Kaunseling
SAM Sungai Haji Dorani
Sungai Besar, Selangor


4 comments:

  1. Alhamdulillah.. Hj. Abdul Latip Talib bermurah hati sungguh

    ReplyDelete
  2. wah! terkasima akak baca..in sha Allah boleh menang ni..penceritaan tulus dr hati.Mcm nak tulis jg je..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jom kak. Rezeki Allah siapa yang tahu. Jom.

      Delete